Banteras 'ustaz militan' Kita Perlu Berhati Hati Sehingga Jangan Terjebak

PIHAK berkuasa agama amat menghargai segala usaha yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara ini. Pada masa yang sama, pihak berkuasa agama juga sentiasa memantapkan proses penapisan kepada pendakwah asing yang berdakwah di negara ini melalui prosedur sedia ada. Prosedur pemberian Pas Lawatan Visa Ikhtisas kepada pendakwah luar negara yang masuk ke Malaysia bagi mendapatkan sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama adalah pemohon yang membuat permohonan Pas Lawatan Visa Ikhtisas untuk mengajar di dalam negara dalam suatu tempoh yang ditetapkan.

Proses mendapatkan Pas Lawatan Visa Ikhtisas untuk penceramah dan tenaga pengajar dari luar negara yang datang mengajar di negara ini, prosedur temu duga atau ujian lisan akan dibuat pada peringkat Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), sebelum permohonan berkenaan dipanjangkan kepada JAKIM bagi tujuan pengesahan dan sokongan. Bagi memastikan pemohon mempunyai tauliah serta layak mengajar di negara ini, syarat seperti berikut perlu dipatuhi: Mengajar di sekolah yang berdaftar dengan JAIN/MAIN; Lulus temu duga yang dijalankan oleh JAIN, MAIN atau Jabatan Mufti Negeri bagi mendapatkan sokongan dan kesahihan mengenai akidah, penguasaan ilmu al-Quran dan kefahaman Ahli Sunah Wal Jamaah setiap pemohon; Pertimbangan sokongan diutamakan kepada tenaga pengajar dan penceramah yang mempunyai kelulusan pendidikan pengajian Islam dari mana-mana institusi awam di Malaysia.

Tidak dinafikan wujudnya beberapa penyelewengan dan keraguan ketika permohonan ikhtisas dirujuk kepada JAKIM. Antaranya ada permohonan yang dikemukakan dengan melampirkan sijil pengajian yang dipalsukan dan menimbulkan keraguan serta syak bagi mendapatkan pengesahan daripada JAKIM. Berikutan itu, JAKIM mengambil inisiatif dengan menguatkuasakan prosedur kepada pemohon untuk mengemukakan sijil asal pengajian, bukan lagi salinan yang boleh diambil dari internet dan boleh direka oleh pihak penganjur. Keraguan pada sijil yang sering dikesan adalah kesalahan ejaan yang ketara, kesilapan tatabahasa, pertukaran nama pada sijil, pemohon dari penganjur yang sama mempunyai sijil pengajian yang sama, terdapat dua bahasa dalam satu sijil dan penipuan lain. Jika pihak penganjur atau pemohon gagal melampirkan sijil asal pengajian, permohonan berkenaan akan ditolak serta-merta. Pada masa sama, beberapa usaha bagi memastikan kuliah yang disampaikan oleh penceramah atau tenaga pengajar tidak bertentangan dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi pegangan masyarakat Islam di negara ini, pemantauan dilaksanakan secara berkala dan mengejut ke atas mereka oleh pihak JAIN atau MAIN, khususnya apabila aduan diterima.

Perketat syarat masuk penceramah luar Bagi menyokong usaha PDRM dalam menjaga keamanan negara, JAKIM juga prihatin dan memandang ia sebagai satu isu yang tidak boleh dipandang enteng. Oleh yang demikian, prosedur dan syarat kemasukan penceramah dan tenaga pengajar ke negara ini akan diperketatkan lagi dengan menitikberatkan tempoh sokongan yang akan diberikan, syarat umur pemohon, pengesahan sijil pengajian daripada agensi agama negara pemohon, mengehadkan bilangan penceramah dan tenaga pengajar di satu-satu premis dan lain-lain lagi. Penambahbaikan prosedur dan syarat ini akan dibincangkan bersama beberapa agensi kerajaan yang terbabit sama dalam pemberian visa ikhtisas kepada pemohon. Bagi kategori kedua pula, pemohon yang dibawa masuk dalam tempoh singkat bagi tujuan jemputan ceramah atau penganjuran program tertentu di Malaysia.

Bagi tujuan ini, pihak penganjur atau pemohon perlu mendapatkan kebenaran dan tauliah daripada Jabatan Mufti di negeri berkenaan. Pengesahan kebenaran akan diberikan kepada pihak penganjur ataupun pentauliahan akan terus diberikan kepada penceramah selepas saringan dan prosedur dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri. JAKIM juga bersedia untuk menyekat dan menarik balik mana-mana Pas Lawatan Visa Ikhtisas dari memberi sokongan kepada pendakwah dari negara tertentu jika disarankan atau dicadangkan oleh pihak PDRM, khasnya bagi membendung penularan ideologi baru dan berbahaya kepada negara termasuk IS. JAKIM amat berharap agar orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kehadiran penceramah jangka masa singkat khasnya yang membawa ideologi bertentangan dengan Ahli Sunah Wal Jamaah, dapat memberi kerjasama yang baik dan melaporkan aduan kepada Jabatan Mufti Negeri, sebelum dibawa kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan sekatan visa pemohon dari dibawa masuk ke Malaysia.

Penularan ideologi IS Mengulas lanjut berhubung doktrin dan ideologi IS yang masuk ke negara ini melalui salah satu punca iaitu pembawaan dari penceramah luar negara boleh dibahaskan dengan lebih luas lagi selain dari aspek teknikal yang saya nyatakan di atas. Pendekatan temu duga sahaja sudah pasti tidak memadai dalam memastikan setiap individu yang ditemu duga benar-benar memahami dan seterusnya menghormati undang-undang ataupun fatwa yang berkuat kuasa di negara ini. Seketat mana pun proses temu duga itu, mereka boleh menyembunyikan identiti sebenar semata-mata untuk melepasi fasa tapisan tersebut. Justeru, selain melakukan tapisan melalui sesi temu duga, proses pemantauan lanjut terhadap sesi kuliah, pengajian atau program tersebut pula harus dibuat bagi memastikan sama ada individu itu benar-benar sesuai untuk menyampaikan kuliah atau berkongsi ideanya, terhadap apa juga isu di negara ini. Selain itu kita seharusnya menyedari pada zaman serba canggih ini, aliran maklumat bukanlah terhad kepada penyampaian secara langsung dengan menghadiri kuliah semata-mata.

Kuliah secara 'livestream' atau apa jua perkongsian maklumat secara 'online' melalui saluran media baru juga memainkan peranan besar dalam menyebarkan pelbagai ideologi menyimpang ketika ini. Justeru, segala usaha untuk menyekat aliran masuk ideologi asing ke dalam negara ini haruslah mengambil kira semua saluran ini. Pemantauan perlu sokongan semua Segala kemungkinan ini bukan bermaksud untuk menonjolkan kelemahan sistem sedia ada, tetapi bagi membuka mata masyarakat tanggungjawab yang didukung pihak berkuasa agama dan keselamatan bagi memelihara keharmonian negara di negara ini amat berat jika tidak dibantu dengan kerjasama dan sokongan semua pihak. Dari sudut yang lain pula pastinya terdapat pula golongan liberal dan sekular yang giat memperjuangkan agenda kebebasan bersuara ini, akan menentang sekeras-kerasnya usaha menyekat kebebasan bersuara sebegini. Bagi mereka sesiapa sahaja boleh berkongsi apa jua buah fikirannya, dan 'tapisan' sebenar adalah individu yang mendengar itu sendiri.

Atas dasar mengimbangi dua kemungkinan yang ekstrem ini, maka kerajaan sedar bahawa perlu ada manhaj yang sederhana berteraskan prinsip wasatiyyah agar kerajaan tidak dilihat terlalu longgar dalam menapis penceramah luar negara sehingga mereka sewenang-wenangnya keluar masuk negara ini tanpa kawalan dan tidak juga dilihat terlalu 'keras' sehingga menyekat sebarang usaha dakwah yang ingin dibuat di negara ini. Memperkasakan peraturan sedia ada tidak bermakna kita menghalang usaha dakwah daripada terus berkembang di negara ini, sebaliknya ia antara usaha penting bagi memastikan aliran ideologi yang dibawa masuk ke negara ini bertepatan dengan Ahli Sunah Wal Jamaah yang diiktiraf di negara kita, disamping menilai ketulenan seorang pendakwah bersandarkan sijil pengajian mereka.

Di sini letaknya kerjasama erat antara pihak berkuasa agama dan keselamatan dalam menjalankan pemantauan terhadap mana-mana individu atau pihak yang mengadakan program menampilkan tokoh luar negara yang menyebarkan ideologi menyeleweng sebegini. Masing-masing mempunyai autoriti dalam bidang yang harus berfungsi dalam suasana saling melengkapi dan berkongsi pandangan dan idea. Saya fikir apa jua cadangan sama ada pengenalan prosedur baharu atau penubuhan apa-apa jawatankuasa atau badan-badan baharu yang bertujuan mengawal gejala baharu ini harus mengambil kira sejauh mana kapasiti semasa dioptimumkan. Selain itu keperluan bertindak mengikut 'awlawiyyat' (keutamaan) amat penting untuk diperhalusi. Segala usaha yang diambil berdasarkan prinsip Maqasid al-Syariah, iaitu hifz al-din (menjaga agama) yang menjadi satu dasar dan akar tunjang JAKIM dalam menentukan Islam tidak dicalar dengan ideologi yang bertentangan dengan syariat. Di samping itu, kepercayaan masyarakat terhadap keputusan dan tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam apa jua keadaan harus dipandang dengan pandangan hikmah untuk kebaikan agama, masyarakat dan negara. Bukan dengan menuding jari, mencari kesalahan dan kelemahan tanpa menimbang kebaikan dan keburukan masa depan terhadap generasi masa depan dan negara.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana