Azmin Ali terlalu biadap tuduh polis barua UMNO

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terlalu biadap apabila menuduh polis menjadi barua UMNO dan Barisan Nasional (BN), tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
"PKR semakin terdesak sehingga buat tuduhan kurang siuman terhadap pihak polis, tindakan Azmin itu juga berbau hasutan dengan mengajak rakyat membenci pasukan keselamatan," tegasnya.

Tuduhan Azmin itu kata beliau, merupakan satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan terhadap seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menteri Besar Selangor itu sudah melampau batas dan bersikap kurang ajar apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam," tegasnya.

Menurut beliau, penghinaan yang dilakukan oleh Azmin tidak boleh diterima dan sekaligus mencerminkan PKR sangup mengetepikan undang-undang kerana desakan politik.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden PKR itu," katanya sambil menjelaskan pembangkang sanggup menghalalkan cara untuk mengekalkan kuasa politik.

Beliau menyifatkan Azmin sengaja melakukan provokasi jahat bagi mencetuskan kegelisahan orang awam dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap polis.

"Tuduhan Azmin itu amat serius dan jika dibiarkan tanpa tindakan undang-undang, dikhuatiri akan mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan keselamatan secara keseluruhannya," tegas beliau.

Tambah Syed Ali lagi, pihak polis tidak mencampuri urusan politik sebaliknya menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga dan memulihara ketenteraman awam.

"Apabila ada yang langgar undang-undang termasuk dilakukan oleh pemimpin politik, maka pihak polis terpaksa bertindak berasaskan prosedur sedia ada," ujarnya.

Beliau mendakwa, tuduhan kesat secara terbuka Azmin terhadap pihak polis khususnya kepada Ketua Polis Negara (IGP), Datuk Seri Khalid Abu Bakar amat keterlaluan.

Ketika berucap di satu majlis ceramah politik di Permatang Pauh malam Isnin lalu seperti yang dilaporkan oleh portal berita malaysiakini.com, Azmin Ali bertanya kepada hadirin sekiranya pegawai cawangan khas (SB) turut serta di ceramah itu.

"SB ada di belakang? Kalau ada datang depan. Saya tak takut. Beritahu Ketua Polis Negara, tolonglah, nak jadi Ketua Polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua UMNO dan BN?," kata Azmin disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

Selepas itu, Azmin kemudian sekali lagi dilaporkan mengajukan soalan dan meminta hadirin menjawab sama ada Khalid menjaga keselamatan negara atau UMNO.

"Saya nak tanya orang Permatang Pauh, orang Permatang Pauh kena jawab malam ini. Ketua Polis yang ada sekarang menjaga keselamatan negara atau keselamatan UMNO dan BN?" soal Azmin.

Mengulas lanjut, Syed Ali menegaskan Azmin tidak sepatutnya menggunakan pentas politik  untuk membuat tuduhan terhadap IGP dan mengaitkannya dengan UMNO mahupun BN.

"Mengapa kaitkan UMNO, apakah selama ini orang UMNO tidak ada yang ditahan polis, apakah orang UMNO kebal ?" soal beliau.

Sebagai Menteri Besar tegas beliau,  Azmin sepatutnya berfikiran lebih rasional kerana undang-undang sedia ada di negara ini tidak mengecualikan seseorang individu atau kumpulan tertentu.

"Dia (Azmin) sengaja ambil kesempatan dalam ceramah politik untuk melepaskan geram dengan menghina pasukan polis dan IGP, ini perlakuan yang tidak bermoral," katanya.

Beliau kesal kerana pemimpin pembangkang sering menunding jari kepada pihak polis di atas kesalahan yang mereka lakukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sependapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan menyertai pembangkang walaupun beliau dilihat banyak mengkritik pentadbiran Datu Seri Najib Tun Razak.

"Pada hemat saya, tidak mungkin Dr. Mahathir akan membelakangkan UMNO walaupun dia dilihat mengkritik kerajaan yang ada sekarang," ujarnya.

Dr. Mahathir ujar beliau, merupakan negarawan dan pemimpin UMNO yang sayangkan kepada parti dan rakyat serta negara ini.

Menurut beliau, pembangkang sengaja memutarbelitkan teguran Dr. Mahathir dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyebelahi mereka.

"Sepertimana dakwaan Mukhriz kononnya Dr. Mahathir akan turun ke PRK Rompin dan menyertai perhimpunan haram di Sogo baru-baru ini, jelas pembangkang sengaja memperalatkan nama Dr. Mahathir untuk meraih sokongan," tegasnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana