Tidak timbul isu hudud, Pas janji bantu PKR...Kenapa Takut Sangat Ni?

BUKIT MERTAJAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan soal menarik balik keputusan parti berhubung isu hudud tidak timbul kerana pimpinan Pas Pusat sudahpun memberi jaminan menyokong kempen PRK Permatang Pauh.
 
Beliau berkata, atas jaminan itu, PR dijangka tidak menghadapi masalah untuk menghadapi PRK itu, walaupun beberapa penganalisis politik membayangkan perpecahan yang sedang berlaku dalam kalangan komponen pakatan akan memberi kesan negatif kepada keputusan PRK kelak.
 
"Saya telah nyatakan bahawa saya yakin dengan kepimpinan sama ada di peringkat kawasan, negeri dan pusat untuk melihat bahawa kerjasama ini perlu dipertahankan, diperkuatkan.
 
“... kerana apabila kita masuk dalam PRK adalah untuk menang dan melakukan perubahan. PR termasuk Pas, PKR dan DAP ... ada dasar bersama yang kami pertahankan selama ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada kariah Masjid Mengkuang, Kampung Mengkuang Semarak, dekat sini, hari ini.
 
Beliau ditanya mengenai pendirian Pas Permatang Pauh yang masih enggan memberi kerjasama penuh kepada PR sepanjang kempen PRK yang bermula selepas penamaan calon esok.

Ditanya sama ada pimpinan PKR akan menarik balik kenyataan rasminya untuk tidak menyokong hudud, Azmin berkata, soal itu tidak timbul kerana PR berpegang kepada dasar bersama.
 
Menteri Besar Selangor itu berkata, apa yang penting pada masa kini ialah semua pemimpin dalam Pakatan harus bersatu-padu bagi memastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh kekal di tangan PKR.
 
“... tidak timbul soal tarik balik (kenyataan tidak menyokong hudud), kami nak bincang bagaimana kerjasama ini dapat diperkukuhkan dan saya yakin dengan kepimpinan sedia ada, di peringkat PR ia dapat dihasilkan dalam bentuk gerak kerja bersama dalam PRK ini," katanya.
 
Beliau turut memberi jaminan PKR akan berjumpa dengan pihak Pas Permatang Pauh untuk memberi penjelasan serta meyakinkan mereka mengenai keutamaan dalam memenangi PRK ini.
 
Pada mesyuarat agung kawasan yang lepas, Pas Permatang Pauh menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada PRK kali ini.

Ditanya sama ada presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan sekali lagi dipilih menjadi calon PKR bagi PRK kali ini, Azmin berkata keputusan hanya akan diketahui malam ini.
 
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
 
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu esok dan pengundian 7 Mei.- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana