Pindaan Akta Hasutan Bukti Kerajaan Bertanggungjawab - Bekas Hakim Negara

KUALA LUMPUR 14 April - Rang Undang-Undang Akta Hasutan (Pindaan) 2015 jelas menampakkan kesungguhan dan tanggungjawab kerajaan terhadap ketenteraman serta keamanan negara  di samping profesionalisme dalam penggubalannya.

Bekas Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, secara peribadi, sebelum meneliti isi kandungannya satu persatu, beliau merasa gembira kerana tegurannya mengenai tiga 'rampasan' telah diambil kira.

“Maka sekarang Rang Undang-Undang ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri, dasarnya di peringkat awal pun, ditentukan oleh kementerian berkenaan dan penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Syabas!,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun kata Abdul Hamid, ada pindaan yang mengejutkan beliau iaitu mengenai perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut dan tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah Akta hasutan.

“Ini agak memeranjatkan saya. Saya tidak fikir pindaan ini perlu, terutama sekali memandangkan kepada perkembangan di akhir-akhir ini. Kritikan terhadap hakim dan mahkamah tidak boleh disamakan dengan kritikan terhadap ahli politik dan kerajaan.

“Untuk kritik hakim di Parlimen pun memerlukan satu usul yang disokong tidak kurang daripada satu perempat ahli dewan (Perkara 127). Mengkritik penghakiman ada caranya,” katanya.

Mengulas lanjut kata Abdul Hamid, kutukan terhadap hakim, mahkamah dan badan perundangan tidak sepatutnya dibiarkan.

“Cuma saya harap selepas ini mahkamah sendiri akan tegas dalam memakai prosiding menghina mahkamah (contempt of court).

“Janganlah sampai hakim-hakim dilihat sebagai 'cabut' apabila dikutuk oleh penjenayah,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menyambut baik pindaan lain termasuk perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak lagi menjadi kesalahan.

“Mengikut huraian yang diberikan, pindaan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Selain itu, pindaan memasukkan misalan untuk menjelaskan bahawa perbuatan mengapi-apikan mana-mana orang atau mana-mana kumpulan untuk menuntut pemisahan mana-mana negeri dari Malaysia adalah perbuatan menghasut. Memandangkan apa yang sedang berlaku di sabah sekarang, ini memanglah wajar,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan pindaan seksyen baru 5B bertujuan untuk memberi mahkamah kuasa untuk menghalang seseorang tertuduh di bawah seksyen 4 yang dilepaskan dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia.

“Ini termasuklah memerintahkan orang yang tertuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya. Dalam hal keadaan seseorang yang tertuduh yang tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan apa-apa dokumen perjalanan kepada orang itu,” katanya.

Beliau menambah, pindaan tidak kurang penting juga adalah seksyen baru 5A memperuntukkan seseorang tertuduh atas kesalahan di bawah sub seksyen 4(1A) dan terdapat perakuan secara bertulis Pendakwa Raya yang menyatakan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada tertuduh demi kepentingan awam, orang itu tidak boleh dilepaskan dengan jaminan.

“Peruntukan ini penting untuk mengelak tertuduh meloloskan diri,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana