PAS hidung tak mancung pipi tersorong-sorong?

Kini semakin ketarakejelikan yang cuba disembunyikan oleh DAP dan PKR bahawasanya PAS adalah satu beban atau bagasi politik yang harus dinyahkan, terutama di Sabah dan Sarawak.

Berhadapan topografi politik di Semenanjung, DAP secara rasminya masih mahu memanfaatkan pengaruh PAS di kalangan pengundi Melayu dan Islam supaya menyokongnya bertanding di kawasan-kawasan yang ramai pemilih Melayu.

Bagi DAP fungsi khusus PAS  ialah untuk memecahkan undi Melayu kepada tiga – PAS, Umno dan PKR. Justeru jika nisbah pengundi bukan Melayu cuma 40 peratus pun, DAP pasti calonnya akan menang di kawasan berkenaan.

Sebab itu dalam pertelagahannya dengan PAS, parti dominasi Cina itu masih mahu menjalin hubungan politik dengan PAS. Yang ditolak hanya presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sahaja.

Yang didambakan oleh DAP dan PKR ialah pengaruh, ahli dan penyokong PAS yang rajin, ikhlas dan berani serta jentera pilihan raya PAS yang tersusun.

Bagaimanapun di Sarawak, DAP sedikitpun tidak mengambil hirau apabila pimpinan partinya di negeri itu mengambil langkah tegas dan pantas untuk “menceraikan” PAS daripada perjanjian kongsi kuasa.

Jelas DAP dan PKR berhati kering dalam berpolitik

Tindakan DAP ini segera diekori oleh PKR di Sabah. DAP dan PKR tergamak melakukan demikian ke atas PAS kerana rekod pengaruh PAS di kedua-dua negeri itu terbukti tidaklah meluas dan masih belum mendalam seperti Semenanjung.

Lantas PAS dianggap tidak diperlukan dalam percaturan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Barisan Nasional di negeri-negeri berkenaan.

Perkara ini perlu dijadikan iktibar oleh pemimpin dan penyokong PAS. Kini adalah cukup jelas betapa “keringnya hati” pemimpin-pemimpin DAP dan PKR dalam berpolitik. Alasan talak yang digunakan hanyalah kerana PAS mahu menjadi sebuah parti Islam yang luhur.

Tiba-tiba semangat setiakawan bersandarkan rasa hormati menghormati sesama sahabat dalam Pakatan Rakyat terlerai begitu sahaja. Adakah alergi politik PKR dan DAP ini sebenarnya manifestasi kebencian terhadap satu cabang ajaran Islam, iaitu hudud?

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menunjukkan sikap kepura-puraan yang amat tinggi dalam hal ini. Beliau menegaskan, PKR tidak menyokong rancangan PAS mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan bukan kerana menolak hukum Allah.

Sebaliknya, kata Azmin, partinya tidak menyokong kerana kecewa dengan sikap pimpinan PAS yang membelakangi persefahaman bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti di mana hudud tidak termasuk dalam kerjasama itu.

Adakah dalam perkataan lain, Azmin ingin mengatakan di antara hukum yang ditentukan Allah dengan persyarikatan politik dengan pihak bukan Islam, perjanjian dengan manusia kafir itu yang harus diutamakan?

Jika perlu meloloskan diri daripada jerangkap politik sekalipun tidak perlulah Azmin mengaku di satu sisi tidak ingkar perintah Allah tetapi pada sisi lain mengaku mahu mengutamakan persefahaman politik dengan bukan Islam, maka hukum Allah harus diketepi.

Sikap hipokrit PKR terserlah dalam isu hudud

Hipokrasi PKR terdedah lebih luas apabila Pengerusi PKR  Sabah, Datuk Lajim Haji Ukin mengisytiharkan bahawa PKR Sabah mempunyai autonomi untuk membuat keputusan menyingkir PAS dari Pakatan Rakyat Sabah.

“Saya baru sahaja (Isnin lalu) mengirim mesejmelalui What’sApp kepada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beliau menjawab bahawa perkara itu (menyingkir PAS) terpulang kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Shamsul Shamsul Iskandar Md Akin pula menyatakan bahawa Biro Politik PKR kelmarin (Selasa) akan meminta Lajim memberi penjelasan berhubung tindakannya itu.

Menurut Shamsul, tindakan PKR Sabah memutuskan hubungan dengan PAS itu amat mengejutkan ketika Pakatan Rakyat bergelut untuk menyelamatkan hubungan antara PAS dan DAP.

"Apa yang dilakukan oleh PKR Sabah itu tentunya mengejutkan pimpinan Pusat tetapi malam ini (Selasa) parti akan memanggil pengerusi PKR Sabah untuk memberikan penjelasan kenapa keputusan tersebut dibuat,” kata Shamsul.

Sikap berdolak dalih pemimpin-pemimpin PKR dalam menangani pertelagahan isu hudud dengan PAS sehingga menggugurkan talak terhadap parti Islam itu seharusnya amat mengecewakan ahli-ahli PAS.

Ini kerana PKR bukan parti didominasi non-muslim dan ia tidak harus bersikap sama seperti DAP yang jelas dikuasai oleh bukan Islam.

Jika DAP “mencari gaduh” dengan mencerca presiden PAS hanya kerana beliau mahu merapatkan lagi ahli dan penyokong PAS dengan ajaran Allah, apakah pula alasan PKR sebuah parti pimpinan orang Islamjuga terikut-ikut memutuskan hubungan dengan PAS?

PKR Pak Turut DAP?

Benarkah PAS akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang ?

Yang lebih memedihkan ialah apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang akibat tindakannya mahumelaksanakan hudud di Kelantan.

Dalam blognya,  Kit Siang mengakui ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat akan mengalami nasib teruk jika pakatan pembangkang itu gagal diselamatkan. Namun beliau menegaskan PAS akan rugi lebih teruk.

“PAS mungkin hilang hampir semua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di luar Kelantan akibat pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah 2015 dan Rang Undang-Undang Persendirian yang akan dibentang Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mengenai pelaksanaan hudud.

“Dengan kehilangan 30 peratus daripada undi bukan Islam, PAS akan hilang tujuh kerusi parlimen dan 29 kerusi negeri dimenanginya pada PRU13,” katanya.

Pemimpin DAP itu berkata, PAS akan kalah teruk di Johor, Perak dan Melaka serta tewas di Selangor, Pahang dan Kedah.

“PAS akan hanya memiliki kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di negeri-negeri utara,” kata Lim sambil menambah parti itu mungkin hanya memperolehi 14 kerusi parlimen dan 54 kerusi negeri.

Kit Siang berkata, kekalahan PAS di Terengganu pada pilihan raya pada 2004 dan Kedah pada 2013 harus menjadi peringatan bahawa parti itu tidak boleh mengambil mudah sokongan diterimanya dan mengingatkan ia juga boleh hilang kuasa di Kelantan.

Demikian gambaran isi hati DAP dan PKR terhadap PAS. Namun PAS masih yakin pendekatan Pakatan Rakyat akan menang akhirnya. Cuma masalahnya, adakah PAS hidung tak mancung pipi tersorong-sorong?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana