Mana Mahu Cari Lagi Kerajaan Seperti Ini.....Terima kasih kerajaan Malaysia – Pelajar

Itulah luahan seorang pelajar, Syed Mohsein Syed Hassan Fadak, 18, di atas usaha murni kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia dari Yemen susulan pergolakan di negara Asia Barat tersebut.
Ujarnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan telah bertungkus-lumus membawa keluar semua rakyat Malaysia dari Yemen dengan segera dan selamat sejak pergolakan mula tercetus.

“Proses evakuasi yang dilaksanakan Malaysia adalah antara yang terbaik sehinggakan terdapat rak­yat dari negara jiran menumpang rombongan kami untuk keluar dari Yemen.
“Selain berjaya dibawa keluar dari Yemen, kami diberikan penginapan yang selesa selain menaiki penerbangan pulang ke tanah air dengan semuanya dibiayai oleh pihak kerajaan,” kata pelajar jurusan Syariah di Madrasah Sieyun, Yemen.

Syed Mohsein merupakan antara 52 pelajar Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Hadramawt, Yemen kemudian ke Muscat, Omar sebelum diterbangkan ke tanah air.
Mereka tiba dari Muscat dengan menaiki pesawat Qatar Airways QR884 dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Selain mereka, sebanyak 46 lagi rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Hadramawt akan berlepas dari Doha, Qatar dengan menaiki pesawat Qatar Airways QR852 dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 8.30 malam ini.

Sebelum ini, kerajaan berjaya membawa pulang kumpulan pelajar dari Sanaa, ibu negara Yemen yang bergolak berikutan pertempuran antara pejuang Houthi dengan tentera penyokong Presiden Yemen.
Turut menarik perhatian dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia itu adalah seorang pelajar berusia 12 tahun, Hasanul Basri Mustafa Kamal yang menyifatkan perjalanan menaiki bas selama 13 jam dari Tarim, Yemen ke Salalah, Oman kelmarin merupakan satu pengalaman tidak boleh dilupakan.
Ujarnya, sepanjang perjalanan, pihak kedutaan Malaysia di Yemen dan Oman sentiasa memantaunya pada setiap masa ekoran status umur pelajar jurusan Bahasa Arab di Madrasah Mustafa, Tarim itu yang masih kanak-kanak.

“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana dapat kembali ke kampung halaman dan di sini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia yang banyak membantu kami membawa keluar dari Yemen,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada Hasanul Basri, Mustaffa Kamal Hamzah, 40, bersyukur dan berasa lega setelah anaknya selamat tiba di KLIA pada hari ini dengan selamat.
Ujar personaliti agama televisyen itu, anaknya akan menyambung pengajian bidang agama di Yemen apabila pergolakan di negara berkenaan selesai.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana