Iklan Nikah Di Siam: Akhbar Harian Diberi Amaran - KDN

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Khamis mengeluarkan surat amaran kepada sebuah akhbar harian kerana menyiarkan iklan agensi perkahwinan termasuk menyediakan perkhidmatan nikah poligami secara sah di Thailand yang bertentangan undang-undang negara ini.

Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Mohammad Naim Idris berkata, surat amaran pertama itu dihantar secara pos daftar, selain menfakskannya kepada ketua pengarang akhbar berkenaan.

"Surat amaran kepada ketua pengarang akhbar harian tersebut dihantar hari ini. Kita berharap akhbar berkenaan tidak lagi menyiarkan iklan sedemikian kerana ia ternyata melanggar undang-undang negara.

"Pihak penerbit akhbar sepatutnya lebih sensitif sebelum menyiarkan iklan seperti ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Pada Rabu, sebuah akhbar harian tempatan dilaporkan menyiarkan iklan agensi pernikahan di Thailand secara sah.

Dalam iklan tersebut turut menyediakan nombor telefon yang boleh dihubungi untuk urusan perkahwinan serta nikah poligami secara sah di negara jiran.

Mengulas lanjut, Mohamad Naim berkata, surat tunjuk sebab akan menyusul jika penerbit akhbar berkenaan gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan masih menyiarkan iklan seumpamanya.

"Sekiranya surat tunjuk sebab dikeluarkan, pihak penerbit perlu memberikan alasan mengapa iklan tersebut disiarkan.  Jika mereka memberikan jawapan yang tidak memuaskan,  permit akhbar tersebut boleh digantung atau ditarik balik.

"Setakat ini kita belum sampai ke tahap itu, kita hanya keluarkan surat amaran kepada pihak penerbit akhbar tersebut supaya mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama," ujarnya.

Menurutnya, pihak penerbit akhbar tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 (1), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Jika disabitkan melakukan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, KDN telah mengesan penyiaran iklan tersebut dalam akhbar harian berkenaan pada Rabu.

"Ini kesalahan yang jelas kerana penerbitan iklan tersebut mengajak orang awam bernikah di luar negara dan ia sememangnya bertentangan dengan undang-undang negara.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan pula boleh mengambil tindakan terhadap pengiklan kerana menyiarkan iklan yang memperdayakan pengguna," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana