Hadi jadi sasaran PKR-DAP sebab sikap tegasnya yang tidak berganjak dari keputusannya - Haron Din

BANGI: Majlis Syura Ulama PAS akan berdiri teguh serta menyokong kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain mempertahankan sebarang keputusan yang berkait dengan dasar parti Islam itu.

"Saya nak mengatakan sesiapa pun yang dipilih menjadi presiden PAS yang baru kami dalam Syura akan pastikan presiden akan terus mempertahankan PAS serta tidak mudah mengikut telunjuk orang lain," kata Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

Beliau berkata walaupun pelbagai dakwaan terhadap Abdul Hadi ketika ini, namun ia diharap tidak menyebabkan pemimpin itu hilang tumpuan dalam usaha memperkukuhkan parti.

"Atas itulah saya merasakan hubungan di antara presiden dengan pihak Pakatan Rakyat ini semakim hari semakin renggang yang berakhir dengan beberapa mesyuarat Pakatan Rakyat yang presiden tidak pergi dan ini semua orang tahu.

"Tidak pergi kenapa apa? Dia tak mahu ubah sebarang keputusan dia, mereka mungkin panggil dia nak mesyuarat dan nak ubah keputusan tapi dia tak pergi," katanya  dalam pertemuan dengan Antarapos.

Jelas Haron lagi, setiap kemelut yang berlaku boleh diselesaikan dan dirunding dengan cara baik kerana jika tidak, ia akhirnya merugikan parti.

"Atas ketegasan itulah mungkin mereka tak boleh terima maka berakhir dengan mereka putus hubungan dengan presiden tapi peliknya tidak putus dengan PAS," katanya.

Hubungan PAS-DAP renggang ekoran kemelut yang berlaku bersabit polemik pelaksanaan hukum hudud, menyaksikan Abdul Hadi menjadi sasaran komponen Pakatan itu.

Konflik berkenaan tercetus susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengatakan parti itu tidak boleh lagi bekerjasama dengan Abdul Hadi kerana didakwa tidak jujur dan tidak bermaruah.

Ini susulan tindakan Abdul Hadi mengemukakan usul Rang Undang-Undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat tanpa merujuk perkara itu kepada Majlis Pimpinan Pakatan terlebih dahulu.

Pada 18 Mac lalu, Ahli Parlimen Marang itu memasukkan satu usul bagi membawa Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Pindaan berkenaan dicadangkan bagi membuka laluan kepada pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan DUN Kelantan 19 Mac lalu.

PAS tidak akan berundur dalam mempertahankan dasar

Tambah Haron, Abdul Hadi menjadi sasaran komponen Pakatan kerana sikap tegas Ahli Parlimen Marang itu dalam beberapa isu kebelakangan ini menyaksikan tokoh politik itu tidak berganjak daripada pendiriannya.

"Saya kenal presiden lebih daripada DAP kenal presiden, saya pun lama dengan dia (Abdul Hadi) dalam perjuangan dan saya tahu ketegasan dia.

"Di antara perkara yang tersirat bukan tersirat yang mungkin DAP tidak suka dengan presiden PAS ini kerana sikap ketegasannya nak melaksanakan hudud tanpa ada ruang untuk dibagi pilihan sama ada menangguhkan ataupun tidak melaksanakan," katanya.

Beliau memberi peringatan kepada komponen Pakatan agar tidak berterusan memberi tekanan termasuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap usaha pelaksanaan hukum hudud.

"Maknanya kalau mereka terus bekerjasama dengan presiden PAS sekarang ini bahawa PAS tidak akan berundur ke belakang dalam konteks mempertahankan dasar.

"Mereka mengharapkan kalau dapat tukar presiden maka presiden baru boleh ikut telunjuk mereka kerana itulah mereka hendakkan tukar," katanya.

Selain itu, Haron turut meminta ahli PAS supaya tidak terpengaruh dengan sesetengah pihak yang mengatakan Abdul Hadi gagal memimpin dan mengurus parti dengan baik.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana