Bersatulah ahli-ahli UMNO di Permatang Pauh

Jika dinilai dari sudut gerak kerja, UMNO Bahagian Permatang Pauh boleh disifatkan cukup aktif dalam mendekati penduduk di kawasan tersebut. Selepas pilihan raya umum lalu, UMNO bahagian ini tidak pernah lelah menyelesaikan masalah pelbagai lapisan masyarakat.

Daripada golongan miskin, peniaga, petani sehinggalah kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU), tidak ada yang terlepas daripada menerima bantuan oleh UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Semuanya itu pula dilakukan dengan hakikat UMNO bukanlah parti yang dipilih oleh pengundi di Parlimen ini.

Malah, tidak satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Permatang Pauh ini iaitu sama ada Penanti; Permatang Pasir atau Seberang Jaya yang diwakili UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Sebab itu dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu ini, UMNO dan BN sebenarnya berada dalam keadaan yang boleh dianggap selesa.

Jika gerak kerja dan usaha mereka yang berterusan turun padang selama ini dijadikan ukuran, tidak mustahil pengundi yang selama ini tegar menyokong pembangkang boleh beralih arah.

Keyakinan itu dikuatkan lagi dengan jaminan UMNO negeri bahawa calon yang akan diletakkan dalam PRK itu kelak adalah anak tempatan yang menetap dan berbakti di kawasan itu.

Ini merupakan faktor calon yang kritikal kerana sejak silih berganti diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, boleh dibilang dengan jari berapa kali penduduk dapat mengadu masalah kepada pemimpin berkenaan.

Kerana kesibukan kedua-dua pemimpin pembangkang itu yang lebih memberi tumpuan mengekalkan kuasa di peringkat Pusat, kebajikan penduduk Permatang Pauh diabaikan.

Maka adalah satu kelebihan bagi UMNO yang sudah memberi jaminan bakal meletakkan calon anak tempatan dalam PRK berkenaan kelak berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini seolah-olah hampir pasti meletakkan keluarga Anwar sekali lagi sebagai calon.

Namun dalam menyatakan UMNO semakin memperluaskan pengaruhnya di kubu kuat PKR itu, masih ada kebimbangan yang tidak boleh disembunyikan dari sudut percaturan politik dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

Budaya seperti sabotaj, cantas-mencantas dan iri hati sepanjang PRK itu kelak adalah sesuatu yang sangat ditakuti.

Sebab itu dalam tempoh masa yang cukup singkat menjelang PRK berkenaan, adalah lebih baik UMNO Bahagian Permatang Pauh mengenal pasti kelompok yang dilihat bakal membawa masalah kepada jentera parti daripada membicarakan soal siapa yang layak bertanding.

Kerana pada akhirnya apa yang ditakuti UMNO terus ditolak di Parlimen Permatang Pauh bukanlah serangan daripada pembangkang, tetapi pengkhianatan daripada ahli-ahli sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana