Azmin dicabar pecat guru Kafa....Ada Berani Kah?

SABAK BERNAM – Umno Selangor mencabar Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang lantang memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan berhimpun mengambil tindakan memecat guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Ekhsan Bukharee Badrul Hisham.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, jika tindakan tidak berperikemanusiaan itu diambil, ia jelas menunjukkan penghinaan kepada Mohamed Azmin yang sebelum ini terkenal dengan sikap memperjuangkan hak-hak rakyat.

Menurutnya, Mohamed Azmin di Parlimen misalnya adalah seorang pemimpin yang lantang meminta kerajaan BN memberikan kebebasan bersuara dan berhimpun untuk membela rakyat, namun sikapnya itu berbeza di Selangor.

“Ini menunjukkan bahawa Mohamed Azmin cakap di Parlimen lain, bila jadi menteri besar bertindak lain dan beliau menekan dan menindas seorang guru Kafa yang menyuarakan masalah yang dihadapi di negeri ini.

“Guru Kafa terbabit bukannya menimbulkan masalah dengan mengadakan perhimpunan Bersih, perhimpunan Blackout dan perhimpunan GST,” katanya pada Lawatan Pemantauan Projek Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Panjang, di sini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, PR yang diberi mandat untuk mentadbir negeri ini disifatkan sebagai hilang pertimbangan dan bersikap zalim terhadap seorang guru Kafa yang hanya mempertahankan haknya sepertimana yang dijanjikan PR dalam PRU lalu.

“Ini hak dia (Ekhsan Bukharee), patutnya dia dilayan (kerajaan negeri). Dia datang dengan (niat yang) baik mewakili seluruh guru Kafa bagi menuntut kenaikan elaun seperti yang dijanjikan,” katanya.

Noh berkata, kerajaan negeri juga didesak memberikan peruntukan kepada guru Kafa Selangor mengikut apa yang diberikan Kerajaan Persekutuan agar jumlah itu seimbang sekali gus mengeluarkan guru Kafa daripada garis kemiskinan.

“Kerajaan Persekutuan beri RM800 dan kerajaan negeri RM500 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,300 sebulan. Kerajaan negeri seharusnya menaikkan RM500 kepada RM800 menjadikan keseluruhan RM1,600 sebulan,” katanya.

Pas turut digesa bertegas dalam isu itu dan mengotakan janji PRU13 mereka.

Sebelum ini, Ekhsan Bukharee dihalang memasuki Dun bagi menuntut janji PR menaikkan elaun guru Kafa daripada RM1,300 kepada RM1,500.

Berikutan perbuatan itu, guru Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar itu berkemungkinan menerima tindakan tegas daripada Jabatan Agama Islam Selangor.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana