Walaupun Dihina dan Dicaci Rakan Sekutunya.....Pengorbanan Pas untuk DAP, PKR

DALAM Bahagian 1 disiarkan semalam, diceritakan rekod perpecahan yang pernah berlaku dalam Pas bermula daripada keluarnya pengasas Pas, Haji Ahmad Fuad dari parti itu hinggalah kepada apa yang berlaku menjelang PRU 1990 apabila Pas bergabung dengan Semangat 46 di bawah payung Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Sebahagian ahli Pas yang tidak bersetuju dengan penggabungan itu atas sebab mereka melihat Semangat 46 tidak ada bezanya dengan Umno, ambil tindakan meninggalkan Pas. Kumpulan ini dikenali sebagai Gerakan Islah atau Pas 51. Mereka kemudian menubuhkan parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) untuk menyaingi Pas.

Keupayaan Pas mendapatkan semula pemerintahan Kelantan daripada BN pada 1990 ternyata berjaya melemahkan lagi Gerakan Islah yang sudah sedia lemah, yang kemudian dijenamakan semula oleh Musa Salleh dan penyokongnya sebagai AKIM (Angkatan Keadilan Islam Malaysia). AKIM bagaimanapun tidak mampu menyaingi pengaruh Pas yang pesat berkembang selepas pembubaran Semangat 46. Ramai ahli Semangat 46 termasuk wakil-wakil rakyat menyertai Pas.

Seperti mana kisah keluarnya Tengku Razaleigh daripada Umno setelah tewas tipis kepada Dr Mahathir dalam perebutan jawatan presiden parti pada 1987 memberi kesan tidak langsung kepada Pas, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti yang sama pada 1998 juga meninggalkan impak hampir serupa.

Pada era reformasi, penglibatan pemimpin dan ahli Pas begitu ketara dalam memberi sokongan terhadap Anwar. Presiden Pas, Ustaz  Fadzil Noor ,  antara yang terawal tiba di rumah Anwar di Bukit Damansara pada malam pemecatannya, 2 September 1998.

Sebahagian besar yang turun ke jalanan membela Anwar pada peringkat awal adalah orang Pas. Begitu juga sebagai jentera pilihan raya. Dalam kata lain, keupayaan yang ditunjukkan oleh pembangkang pada PRU12 dan PRU13 yang boleh dikira sebagai rekod pencapaian paling gemilang mereka, banyak disumbangkan oleh Pas.

Pada masa itu, perbezaan ideologi  yang sejak sekian lama menjadi duri dalam daging dalam hubungan Pas dengan DAP terutama yang berkaitan dengan hudud dan pemerintahan Islam nampaknya seakan masih mampu diselindungkan. Meskipun kadang kala tercetus juga perbalahan namun ia tidaklah mencapai tahap serius.

Ini mungkin juga disebabkan oleh ‘pengorbanan’ pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang sanggup melakukan transisi politik daripada Negara Islam (yang dimeterikan menerusi Dokumen Negara Islam pada 2003) kepada Negara Berkebajikan pada muktamar Pas ke 57 tahun 2011.

Meskipun dasar Negara Berkebajikan berulang kali ditegaskan tidak lari daripada asas-asas pemerintahan Islam dan tidak boleh ditafsirkan seperti konsep Welfare State yang diamalkan di beberapa negara bukan Islam, ramai tetap melihat pengenalan jenama baharu itu sebagai tindakan sekadar tindakan untuk meredakan tentangan DAP yang begitu alergi terhadap istilah Negara Islam sejak sekian lama.


Pasma

Begitupun Pas mengalah, dari semasa ke semasa, ada sahaja isu pertentangan kedua-dua parti meletus. Konflik Pas dengan DAP semakin tegang hingga membawa kepada apa yang berlaku sekarang selepas peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh pada Jan 2014.

Pas tidak bersetuju dengan perancangan PKR untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor untuk digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (pada mulanya Anwar sendiri) yang dipilih untuk bertanding PRK Dun Kajang kerana Khalid dianggap tidak melakukan apa-apa kesalahan yang mewajarkannya dipecat.

Kelantangan Pas mempertahankan Khalid bukan sahaja menyebabkan konflik parti itu dengan PKR dan DAP semakin memburuk malah turut mencetuskan barah dalam Pas sendiri. Ini menyebabkan Pas terbahagi dua, kelompok yang menyokong Haji Hadi dengan kumpulan yang pro PR.

Kumpulan yang pro PR sebahagiannya adalah mereka yang bukan daripada aliran ulama. Mereka daripada golongan profesional yang sebelum ini penyertaan mereka ke dalam Pas begitu diraikan.

Bersama mereka adalah kumpulan aktivis yang bukan daripada ulama, juga bukan profesional tetapi kumpulan yang cukup popular dalam kalangan ahli Pas sebagai penceramah, penggerak demo jalanan dan sebagainya.

Secara tidak langsung, ini menyebabkan dalam Pas seolah-olah wujud kumpulan yang menentang ulama, sesuatu yang sangat kontradik dengan ciri-ciri Pas sebagai sebuah parti Islam.

Di tengah-tengah konflik itu, lahir pula Pasma yang memperkenalkan dirinya kepada  khalayak politik tanah air sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang agendanya adalah untuk mengukuhkan hubungan Pas dengan PKR dan DAP. Bagaimanapun, kecurigaan orang ramai terhadap Pasma, terutama dari dalam Pas tidak dapat disembunyikan.  

Meskipun begitu kenyataannya, Pasma dilihat oleh banyak pihak sebagai mempunyai agenda politik. Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi terus menerus dicurigai.

Sementelahan pula tatkala berlaku krisis beliau dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang ketika itu Menteri Besar Kedah, ada pemimpin tertentu di peringkat Pusat yang menyebelahi Azizan.

Justeru, setiap langkah Pasma diperhatikan,  apa lagi dengan adanya ceramah-ceramah yang dianjur NGO itu dikatakan berbaur kecaman terhadap pemimpin-pemimpin Pas yang tidak bersetuju dengan DAP.

Inilah yang memarakkan lagi kecurigaan bukan sahaja terhadap pemimpin Pasma malahan juga pemimpin tertentu dalam Pas termasuk mereka yang daripada hierarki tinggi lantaran dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan Pasma.

Bukan sahaja mesra dengan pemimpin DAP dan PKR, malah Pasma dilihat seakan tidak menyenangi dan tidak disenangi pemimpin tertentu dalam Pas. Ada ketikanya kemesraan dengan pemimpin parti PKR dan DAP seperti sengaja mahu ditunjuk-tunjuk untuk membuktikan kesungguhan mereka mahu terus bersama PR dalam mencapai matlamat menuju Putrajaya.

Pada ketika inilah timbulnya cerita bahawa usaha sedang diatur untuk menjatuhkan Haji Hadi dari kerusi Presiden Pas pada pemilihan Jun ini. Dalam keadaan ini, apa yang tidak pernah berlaku dalam Pas sejak bermulanya era kepimpinan ulama pada 1983 ditonjolkan tanpa segan silu. Abdul Hadi dikecam, dimaki di merata penjuru.

Dua dekad lalu, perwakilan Pas Kedah, Abdul Wahab Abdul Rahman yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu, dikecam teruk dalam Harakah hanya kerana beliau mengangkat tangan dan menuding jari ketika menyertai perbahasan muktamar. Cikgu Wahab dituduh berkelakuan biadab kerana menuding jari terhadap ulama sedangkan sebagai seorang guru, sudah jadi kebiasaannya untuk bergaya sedemikian ketika bercakap apa lagi berhujah serius.

Malang Cikgu Wahab, peristiwa itu berlaku pada ketika ulama begitu dihormati, disanjung  tinggi dalam Pas. Apa yang beliau tidak sengajakan, dilakukan tanpa sebarang niat buruk, pun dicurigai. Tetapi sekarang ulama bukan sahaja tidak dihormati malah dicaci maki  secara terbuka begitu sahaja oleh ahli Pas sendiri!

Hilang sudah kedudukan Pas sebagai parti yang mempunyai tahap integriti paling tinggi dalam kalangan parti pakatan.

Baru-baru ini, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marsuki menjangkakan Pas akan berpecah bermula pemilihan Jun ini. Bagaimanapun katanya kumpulan yang tersingkir akan meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baharu.

Secara analogi, Pas diumpamakan seperti bahtera yang akan terus belayar selepas mereka yang tidak sehaluan dengan nakhoda diturunkan dan dibiarkan hanyut dalam tongkang berasingan.

Jika dilihat rekod perpecahan sebelum ini, memang begitulah. Pas pernah berpecah tetapi tidak ada parti serpihan sama ada Berjasa atau Hamim, apa lagi Pas 51  yang mampu terus bertarung seperti mana Pas bertahan dalam arena politik tanah air hingga hari ini.

Namun melihat pada mereka dalam kelompok yang diramal akan menjadi serpihan ini, apakah boleh kita percaya bahawa apa yang akan berlaku selepas ini sama seperti yang dijangka oleh Dr Zuhdi?

Apakah ia tidak akan melarat untuk jadi lebih dahsyat lagi sehingga memungkinkan Pas sendiri yang karam?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana