Taktik mereka untuk halang dakwah Islam di Malaysia...BacaLah Semua

Tindakan NGO bukan Islam, termasuk persatuan Kristian dan Buddha membantah pengedaran al-Quran terjemahan dalam beberapa bahasa kepada orang bukan Islam merupakan satu ancaman kepada usaha mengembangkan ajaran Islam di negara ini.

Aduan mereka kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan selain menggunakan media-media liberal untuk mencetuskan halangan dan menakut-nakutkan orang bukan Islam mengenai pengedaran al-Quran itu, dilihat sebagai usaha untuk menyekat agama Islam daripada berkembang.

Dan, kini sebagaimana kenyataan dibuat oleh Presiden Bersama Centre for a Better Tomorrow (Cenbet), Gan Ping Sieu, mereka pula meminta supaya NGO berkaitan agama dibenar mengedar salinan risalah, buku dan kitab suci mereka untuk tujuan pendidikan, sebagaimana yang dibuat oleh NGO Islam untuk mengedar al-Quran terjemahan itu.

Silakanlah berbuat demikian! Tetapi ingat, pengedaran risalah itu hanya di kalangan orang bukan Islam sahaja, tidak boleh kepada umat Islam.

isma-slv-front-5
Untuk makluman, Ping Sieu ini ialah Pengerusi Biro Undang-undang Syariah dan Unit Khas Pelaksanaan Polisi MCA yang kelmarin dikaitkan dengan campur tangan dalam hal ehwal agama Islam Terengganu apabila mengatakan tindakan Majlis Agama Islam Terengganu untuk mengarak lelaki Islam yang tidak bersolat Jumaat dalam kereta jenazah sebagai tindakan untuk memalukan.

Ingatlah! peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran Islam kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaan mereka kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

Ini dinyatakan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, dalam temu bual yang disiarkan Bernama pada 31 Januari 2014.

“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing. Bagaimanapun, Perkara 11 (4) Perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang.

“Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam,” kata Datuk Mohd Noor.

Jadi, sekarang ini kita hairan kenapa mereka ini semakin berani mencampuri urusan agama Islam. Apakah kerana kerajaan yang ada sekarang ini lemah dan tidak mampu mempertahankan Islam? Hanya mampu cakap berdegar-degar, berbunyi seperti guruh menyusun maqasid itu, menyusun maqasid ini, sedang apabila agama dipermainkan, undang-undang Islam dipertikai oleh bukan Islam, semuanya diam membatu, bukan saja membisu!


Kita ada menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam! Kita ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)! Kita ada Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim)! Kita ada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim)! Kita ada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang juga memiliki stesen radio Ikim FM! Kita ada Pusat Islam dan TV Al-Hijrah!
isma-slv-front-6

Yang saya percaya semuanya mempunyai satu matlamat iaitu menegakkan syiar Islam dengan cara ‘menarik rambut dalam tepung’.

Atau adakah undang-undang yang ada sekarang ini gagal menyekat puak-puak kafir itu daripada mencampuri urusan orang Islam? Atau adakah kerana sekarang ini umat Islam lemah kerana berpecah akibat perbezaan fahaman politik?

Jika, mereka lah yang memerintah negara ini dengan bantuan orang Melayu Islam, tidak terkejut bahawa Islam tidak akan ada apa-apa keistimewaan lagi di bumi Melayu ini. Pada masa itu, menangis air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi.

Jika diperhatikan apa yang berlaku sebelum ini, sejauh manakah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Chong Eng dan Ambiga sudah disiasat kerana membangkitkan beberapa isu berkaitan Islam. Kecuali Eric Paulsen yang sudah dituduh di mahkamah dan ‘pasangan lucah’ yang terlepas hukuman, yang lain apa sudah jadi? Kerana tidak ada apa-apa yang terjadilah maka mereka dan puak-puak mereka semakin berani mencampuri urusan agama Islam.

Yang pasti, ada sebilangan kecil orang Islam yang cuba mempertahankan Islam, membidas dan menempelak campur tangan puak-puak itu, itu pun dicop sebagai ekstrem dan rasis. Apabila umat Islam mempertahankan Islam menggunakan kata-kata dan tulisan mereka dianggap rasis dan ekstrem. Apabila umat Islam mempertahankan Islam menggunakan tangan dan senjata, mereka dianggap terroris (pengganas).

Tetapi, jika mereka yang mengeluarkan kata-kata ‘pedih’ terhadap Melayu dan Islam tidak mengapa kerana itu adalah ‘kebebasan bersuara’ atau ‘hak asasi’.

Sebab itu Yang Dipertua ISMA Kuala Terengganu, Dr Razali Musa meluahkan kerisauan beliau apabila sejak akhir-akhir ini keberanian pemimpin-pemimpin masyarakat bukan Islam mencampuri urusan umat Islam di Malaysia semakin menjadi-jadi.

Sebab itu, juga kita menyokong saranan Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salawati Mat Basir supaya kerajaan menolak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) walaupun di Sarawak sebagaimana diminta oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kerana bimbang puak-puak ultra kiasu ini akan meminta ‘peha’ selepas diberi ‘betis’.

Berbalik kepada isu al-Quran terjemahan itu, sebenarnya, dalam al-Quran itu, terkandung maklumat mengenai Islam dan boleh dijadikan rujukan oleh bukan Islam dalam usaha untuk mengelakkan salah faham. Tetapi, terpulang kepada mereka yang membaca dan mendalami terjemahan al-Quran itu untuk memeluk Islam atau tidak. Tiada paksaan dalam Islam.

NGO-NGO bukan Islam itu serta media-media sosial dan berfahaman liberal berkaitan perlu berhenti daripada memainkan isu pengedaran al-Quran terjemahan pelbagai bahasa kepada orang bukan Islam kerana ianya tidak menjadi kesalahan pun dalam Perlembagaan Malaysia, sebagaimana yang diterangkan oleh bekas hakim itu tadi.

Dan, tidak juga perlu mengatakan program berkenaan perlu dihentikan demi menjaga perpaduan di kalangan penduduk. Jangan menggunakan ‘untuk jaga perpaduan’ sebagai senjatanya. Jika anda tidak mahu menerima al-Quran terjemahan itu, saya yakin NGO terbabit tidak pun marah atau memaksa juga anda untuk menerimanya.

Namun, sama ada program pengedaran al-Quran terjemahan itu hendak dianggap menyebarkan agama Islam dan hendak menarik orang bukan Islam menganut Islam, itu terpulang kepada persepsi masing-masing. Tetapi jangan dihalang usaha itu walau dengan apa cara sekali pun. Jika ditanya kepada saya, saya akan katakan program ini juga salah satu cara berdakwah.

Jika orang lain takut untuk menyatakan sedikit mengenai isi kandungan al-Quran yang patut diketahui oleh orang bukan Islam, biar saya nyatakan sedikit:

Bahawa rahmat Allah SWT itu luasnya meliputi segala-galanya dan di antara rahmat Allah SWT kepada hamba- hambanya (manusia keseluruhannya, bukan hanya umat Islam) ialah Allah Taala mengutuskan rasul-rasul yang diberikan-Nya kitab-kitab supaya:

Hamba-hambanya mengenal siapakah Tuhan mereka;
Hamba-hambanya mengetahui siapakah yang telah menciptakan mereka; dan
Hamba-hambanya mengetahui siapakah yang memberi mereka rezeki.
Dan diberitahukan juga kepada hamba-hambanya:

Apa yang diredai-Nya;

Menyeru mereka supaya mentaati-Nya;
Memerintah mereka beribadah kepada-Nya;
Melarang mereka menyekutukannya dengan sesuatu apa pun;
Memberitahu mereka bahawa Allah telah menyediakan pahala dan ganjaran bagi mereka yang taat; dan
Memberitahu mereka bahawa Allah Taala menyediakan seksaan bagi yang melakukan maksiat kepada-Nya.
Sekarang ini kita lihat NGO-NGO bukan Islam itu dan media seangkatan dengan mereka mahu ‘memanaskan’ isu berkenaan dengan setiap hari menyiarkan kenyataan-kenyataan pihak tertentu dalam akhbar dan laman media sosial mereka.

Kita faham taktik mereka sentiasa memainkan isu itu setiap hari supaya ianya sentiasa ‘panas’. Mereka berharap isu itu akan ‘meletup’ hingga ada pihak-pihak tertentu – mungkin kerajaan, jabatan agama Islam negeri atau Jakim – akan meminta NGO Islam yang mengedarkan al-Quran terjemahan itu supaya berhenti atau mengkaji semula program berkenaan.

Jika program itu dihentikan, maka mereka berjaya menyekat Islam dan dakwah Islamiyah daripada disebarkan di negara ini.

Hakikatnya, mereka sebenarnya mahu menghalang Islam dikembangkan dan disebar luas di Malaysia. Itu yang NGO-NGO bukan Islam dan media liberal yang mendapat sokongan dan bantuan Barat, Kristian dan Yahudi, mahukan – Islam tidak didakwahkan kepada orang bukan Islam.

Walaupun, sebelum ini telah dijelaskan oleh NGO-NGO Islam, termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) selain Jakim bahawa pengedaran al-Quran terjemahan itu bukan untuk memaksa orang bukan Islam memeluk Islam, tetapi kumpulan-kumpulan berkepentingan itu masih ragu-ragu.

Malah, apa yang kita kesalkan adalah wujud orang Islam sendiri yang sama ada berkerja dengan mereka atau bersekongkol dengan mereka menyokong kenyataan NGO-NGO bukan Islam itu.

Penulis mengingatkan kepada umat Islam yang bekerja dengan mereka atau bersekongkol dengan mereka – dan yang tidak menutup aurat, yang jarang-jarang sekali bersolat dan yang setiap hari melakukan dosa-dosa lain – bahawa berdakwah adalah kewajipan bagi semua umat Islam. Ingatlah, bahawa beratnya apa yang anda perlu jawab apabila menghalang dakwah Islam di atas muka bumi ini.

Lelaki Islam walaupun dia seorang peminum arak dianggap berdakwah di jalan Allah jika dia menasihati wanita Islam yang tidak memakai tudung atau hijab supaya menutup auratnya itu.

Allah berfirman dalam Surah Yusof ayat 108 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Oleh itu, sekali lagi kita mengingatkan supaya tidak ada usaha untuk menghalang agama Islam disebarkan di negara ini kerana ia tidak menjadi kesalahan dalam Perlembagaan Malaysia dan penyebaran serta dakwah Islamiyah tidak semestinya hanya dengan mengedar al-Quran terjemahan secara percuma kepada orang bukan Islam. Ada banyak cara lain lagi!

Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Media ISMA Sdn Bhd

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana