Nurul Izzah buka cerita separuh jalan dakwa kebal dalam Parlimen...Kelentong Kuat

Betulkah Nurul Izzah kebal tidak boleh diusik kerana ada imuniti sebagai Ahli Parlimen setelah main sedap mulut mencerca barisan hakim kes liwat bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh mereka jual diri pada syaitan dalam sidang Dewan Rakyat?

Isunya mudah dan jelas kalau dilihat dari segi peruntukkan yang ada dalam perlembagaan negara yang melibatkan imuniti seorang ahli Yang Berhormat.

Namun disebalik ini apa yang semua orang sedang saksikan sekarang ini drama kompang dan pukul gong serata ceruk seolah kekebalan Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai sudah dicabul.

Sejak ditahan polis awal petang Isnin hingga dibebaskan tengahari Selasa, untuk siasatan kes demo liwat dan bawah Akta Hasutan kerana tuduh hakim,puak Pakatan dan media pendokong mereka berkerja overtime untuk putar dan putar gambarkan beliau wira yang jadi mangsa rejim zalim.

Ini semua adalah sebahagian dari siri drama untuk melontar bom asap bagi mengaburi mata rakyat terhadap fakta Anwar meliwat orang dan sudah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terbukti melakukan perbuatan keji itu.

Kata orang berguling dan goncanglah satu dunia sekalipun...liwat tetap liwat.

Saiful Bukhari Azlan yang diliwat berkali-kali ada hak sebagai rakyat Malaysia untuk menuntut keadilan.

Sebagai anak,semua orang boleh faham kalau Nurul Izzah terus melalak terpekik sana sini dan sampai kiamat pun beliau tidak akan terima keputusan mahkamah atas sebab politik dan maruah keluarga.

Apapun segalanya ada batasnya.Sendiri buat sendiri kena tanggong.Apa lagi kalau sudah melanggar peraturan dan undang-undang negara.

Sentimen konon selepas bapa,anak-anaknya pula kini jadi sasaran...adalah pekung murahan yang tidak dapat diselindung.

Jadi janganlah nak harap pihak berkuasa tengok saja sambil goyang kaki pada apa yang dilakukannya seperti menghina badan kehakiman sesedap rasa.

Sudahlah perbuatan bapanya amat keji kini semua orang hendak diheret melayan keranah keluarganya yang macam-macam.

Sekarang Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula jadi sasaran cerca puak ini.

Lojik akal...mana mungkin polis boleh menahan seorang Ahli Parlimen untuk siasatan dibawah Akta Hasutan berucap dalam Dewan Rakyat tanpa merujuk dengan teliti peraturan dan perundangan yang sedia ada.

Semua orang tahu gerakan puak ini sejak Anwar di penjarakan lima tahun di Sungai Buloh ialah untuk membina kemarahan orangramai melalui berbagai cara.

Ini termasuk desakan untuk membenarkan seorang peliwat hadir dalam sidang Dewan Rakyat.

Cuba punya cuba....apapun mereka juga dikatakan agak tertekan dan gelabah bila melihat himpunan demo yang dibuat beberapa kali di depan komplek membeli belah Sogo di Kuala Lumpur tidak mendapat sambutan ramai.

Malah demo yang digembar gembur sebagai mega baru-baru ini dimana mereka berarak dari Sogo ke KLCC hanya disertai lebih 2,000 sahaja.

Siapa agaknya yang Nurul Izzah nak perdaya bila dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen selepas dibebaskan dari tahanan mendakwa dirinya kebal daripada sebarang tindakan ketika muduh para hakim dalam perbahasan di Parlimen.
Beliau nyata sekali hanya sentuh separuh daripada peraturan imuniti Ahli Parlimen bila mencanang penahanannya Isnin mencabul kekebalannya.

Nurul Izzah tidak menyebut Perkara 63(4) fasal (2) : tidak terpakai ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan jenayah di bawah undang-undang yang diluluskan oleh parlimen klausa (4) Artikel 10 atau sebarang kesalahan dibawah Akta Hasutan 1948.

Berdasarkan Perkara 63(4) fasal (2), Ahli Parlimen sama sekali tidak boleh menghina Yang di-Pertuan Agong, hakim, agama Islam dan hak orang melayu serta Suruhanjaya-suruhanjaya Diraja.

Contoh sudah ada dalam kes Ahli Parlimen dari Sabah,Datuk Mark Koding pada tahun 1982.

Beliau didapati bersalah dibawah Akta Hasutan sekalipun ucapan itu dibuat di dalam sidang Dewan Rakyat.

Nurul Izzah dalam membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Selasa lalu antara lain telah menuduh hakim tunduk dan akur kepada tuan-tuan politik.

Dakwanya mereka menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman, menjual diri kepada syaitan, memperdagangkan nurani demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan.

Sementara itu dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Selasa isu Nurul Izzah cuba pertikai penahanannya bergema.

Ahli Parlimen BN kawasan Setiu Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang juga bekas seorang Majistret membidas sikap pembangkang yang didakwanya sengaja mencanang maklumat tidak benar berhubung penahanan itu untuk kepentingan politik mereka.

Katanya puak pembangkang sengaja memutar-belit fakta apabila mendakwa siasatan polis terhadap Nurul Izzah bercanggah dengan kekebalan beliau sebagai anggota Parlimen.

"Sedangkan hakikatnya tindakan Nurul Izzah sendiri tidak menghormati peraturan Dewan Rakyat semasa berbahas pada 10 Mac lalu, apabila beliau telah melanggari Seksyen 36(8) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Che Mohamad Zulkifly berkata ucapan Nurul Izzah itu, yang menyelitkan ucapan bapanya selaku Ketua Pembangkang telah ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee dan dibacakan peraturan tersebut.

"Malahan polis membuat siasatan terhadap Nurul Izzah setelah bekas rakannya, Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap kenyataan (anggota Parlimen) Lembah Pantai (Nurul Izzah) itu," katanya.

Che Mohamad Zulkifly berkata hakikatnya anggota Parlimen tidak dilindungi sepenuhnya oleh kekebalan sebagai anggota Parlimen seperti diperuntukkan mengikut Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Kebalnya tidak mutlak, dia (Nurul Izzah) hanya baca separuh sahaja daripada keseluruhan penerangan di bawah Perkara Perkara 63(4)," katanya.

Beliau berkata penahanan Nurul Izzah adalah mengikut proses undang-undang yang ditetapkan dimana selepas penahan selama 24 jam dibuat beliau dilepaskan setelah keterangan kes diambil.

Hal yang sama turut disuarakan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika mencelah perbahasan Cik Mohamad Zulkifly.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan pembangkang yang mengembar-gemburkan maklumat kurang tepat itu dalam media sosial demi mencari publisiti.

"Dia (pembangkang) memperkatakan perkara yang tidak tepat dan tafsir perundangan atas kepentingan dia," katanya.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang mencelah masa perbahasan itu turut menegaskan pihak pembangkang membaca undang-undang separuh jalan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana