MH370: Teori penerbangan emosi zalim

KUALA LUMPUR: Teori baharu yang mendakwa juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah membuat penerbangan emosi melalui ruang udara negerinya, Pulau Pinang sebelum sengaja mendarat di Lautan Hindi, disifatkan sebagai zalim.

Bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia (MAS), Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata teori itu bukan sahaja zalim terhadap Zaharie, ia juga tidak berasas.

Beliau mengulas teori juruterbang Boeing 777, Kapten Simon Hardy dari Australia yang mendakwa pesawat MH370 sengaja dibawa melalui ruang udara Pulau Pinang, kerana ia negeri asal Zaharie sebagai 'penerbangan perpisahan' sebelum mendarat di Lautan Hindi.

Nik Ahmad berkata, pelbagai andaian dan teori akan muncul bagi menghidupkan dan mensensasikan insiden MH370 terutama ketika menghampiri ulang tahun pertama kejadian itu pada 8 Mac ini.

"Semua pihak tidak sepatutnya sesuka hati mengeluarkan teori sekiranya tidak mempunyai fakta yang kukuh, termasuk berada dalam kokpit pesawat MH370 pada hari kejadian.

"Teori Hardy amat zalim kerana tuduhannya tidak berasas, tergamak seorang juruterbang menuduh juruterbang lain. Beliau (Hardy) adalah orang luar yang tidak kenal sendiri Kapten Zaharie, malah tidak pernah terbang bersama.

"Bagi saya ini jenayah besar apabila seolah-olah mahu meletakkan kesalahan di bahu juruterbang MH370... memang dia berani jika tiada sebarang fakta. Saya sendiri tidak pernah melihat data atau hasil siasatan apatah lagi Hardy yang berada jauh beribu kilometer dari Malaysia," katanya kepada BH, semalam.

Teori Hardy itu dilaporkan akhbar United Kingdom, Daily Mail, semalam.

Hardy berkata, beliau mencapai kesimpulannya berdasarkan pengalamannya sendiri yang terbang ke kawasan berbukit Ayers Rock, Australia, untuk melihat keindahannya dari udara.

"Penerbangan di ruang udara Pulau Pinang oleh juruterbang MH370 adalah satu-satunya petunjuk mengenai pelaku. Saya mengambil masa berbulan untuk mendapat jawapan (mengapa juruterbang membawa pesawat ke ruang udara Pulau Pinang)

MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, sebelum dikesan berpatah balik melalui Pulau Pinang. Ia kemudian dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

Nik Ahmad berkata, juruterbang yang profesional akan tunggu fakta yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bukannya menuding jari sesuka hati terutama pada saat keluarga semua mangsa masih bersedih.

Katanya, selagi pihak berkuasa masih belum menjumpai pesawat itu, tiada satu teori pun boleh diterima, malah pasukan siasatan yang mempunyai banyak fakta pun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Apabila tiada sebarang fakta yang kukuh, bagaimana seseorang itu termasuk saya mahu memberi kenyataan mengenai kejadian itu. Jangan hanya mengikut andaian yang dimainkan media terutama media yang kejar 'hits' pembaca atau jualan.

"Tuduhan Hardy juga akan mengeruhkan keadaan apabila sengaja membuat keluarga mangsa bersedih, termasuk keluarga Zaharie. Ini kerja orang bukan profesional tetapi sengaja mencari publisiti," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana