Krisis dalam PAS paling teruk sejak 1982, kata bekas setiausaha agung

SHAH ALAM: Krisis dalam PAS dan bahasa pedas digunakan dalam kempen pilihan raya pada tahun ini adalah yang paling teruk dalam sejarah parti itu, berbanding juga semasa pemimpin parti menggulingkan presiden pada 1982, kata seorang pemimpin kanan.

Bekas setiausaha agung parti Datuk Kamarudin Jaafar berkata, budaya politik parti Islam itu juga mencapai tahap paling rendah apabila puak bersaing saling caci mencaci dan buruk-memburukkan lawan menjelang sidang muktamar PAS ke-61.

“Dalam kajian saya, krisis Asri tidak seteruk ini. Ini lebih buruk,” kata bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini ahli jawatankuasa pusat PAS kepada Malaysian Insider.

Kamarudin merujuk kepada krisis pada 1982, ketika presiden Tan Sri Asri Muda terpaksa meletak jawatan berikutan pemberontakan oleh pemimpin-pemimpin muda yang kini mengemudi PAS.

Peletakan jawatan Asri membolehkan PAS diambil alih dan ditadbir oleh golongan ulama melalui doktrin kepemimpin oleh ulama.

Sejak itu, doktrin ini mempengaruhi arah tuju PAS, siapa yang boleh dipilih bagi jawatan presiden dan ahli majlis syurah, badan pembuat dasar paling tinggi.

Kamarudin berkata, walaupun Asri dipaksa meletakkan jawatan, beliau sentiasa bertindak profesional dan memelihara imej parti.

"Asri sangat berdisiplin apabila mengendalikan hal-ehwal parti walaupun ketika dia sedang diserang," kata Kamarudin mengenai Asri, yang dipersalahkan kerana kegagalan PAS untuk menawan semula Kelantan pada pilihan raya umum 1982.

Apabila ditekan setiap hari daripada pemimpin muda parti termasuk Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Asri akhirnya meletakkan jawatan selepas muktamar parti pada 1982.

Begitu juga, muktamar tahun ini dijangka menyaksikan pertembungan di antara dua puak, iaitu puak pro-Pakatan Rakyat dan yang lain-lain yang merasakan PAS tidak mendapat apa-apa manfaat dari pakatan berkenaan.

Satu daripada puak itu disokong oleh Hadi dan kini ura-ura kuat menyatakan beliau bakal menghadapi tentangan hebat jika ingin mengekalkan jawatan ketua parti.

Kempen semakin panas dan Kamarudin berkata jenis taktik yang digunakan sekarang juga di luar jangkaan.

Terbaru ialah rakaman audio disebar secara online yang digunakan untuk memburukkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Suara seorang lelaki mirip suara Mohamad Sabu didengar merancang kejatuhan Hadi.

Beberapa minggu lalu, ahli jawatankuasa pusat PAS dan pengarah pilihan raya Dr Hatta Ramli mendapati keretanya dibakar selepas beliau didakwa menjadi dalang konspirasi menjatuhkan presiden.

Kedua-dua isu ini amat membimbangkan dan dikhuatiri ia akan menjejaskan PAS dari dalam.

Di kalangan aktivis dan pemimpin parti kini sudah tidak lagi terbuka kepada perbezaan pendapat, katanya.

Pertelingkahan di antara puak ini, kata Kamarudin juga sudah merebak ke peringkat ahli parti saling caci mencaci dan bertindak secara yang tidak sewajarnya bagi sebuah parti bertunjangkan iman.

“Ada pihak berkata, golongan professional sepatut lebih berhikmah ketika mengkritik ulama dan ada juga yang menyatakan golongan ulama juga patut bersikap sama.

“Tetapi malangnya, golongan ulama ini bersikap seolah-olah mereka tidak boleh dikritik tetapi boleh memaki orang lain syaitan, gila dan babi. Ini amat membimbangkan,” kata Kamarudin.

Beliau juga menjangkakan muktamar tahun ini akan menentukan sama ada PAS kekal dalam Pakatan Rakyat.

“Jika PAS keluar, parti itu akan sama ada bertindak bersendirian atau ia boleh menyerta kumpulan lain,” kata Kamarudin yang menjadi Ahli Parlimen Tumpat sejak tempat penggal lalu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana