Isu Hukum Hudud : Amaran Mursyidul Am PAS Kepada DAP

 Kuala Lumpur: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din memberi amaran kepada DAP supaya tidak mengugut parti berkenaan berhubung pelaksanaan hukum hudud

Malah, beliau yang pertama kali bersuara berhubung isu itu sejak dilantik menggantikan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Mac lalu, secara tegas mencabar DAP melakukan sebarang tindakan terhadap PAS.

“Nampaknya, DAP sengaja memperbesarkan retak yang sedia ada dalam pakatan pembangkang dengan tuduhan keras dan tidak wajar terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“DAP secara tidak langsung cuba campur tangan dalam hal ehwal PAS dengan memberi isyarat bahawa presiden parti perlu ditukar.

“Ugutan sepatutnya tidak dikeluarkan rakan sekutu, malah mencampuri urusan dalaman PAS. DAP sebenarnya mempunyai agenda untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang.

“Saya tegaskan, PAS tidak kisah dan tidak takut dengan ugutan DAP. Malah, sebelum ini pun, DAP berkali-kali memberi amaran dan kata dua. Benda ini sudah lama didengari tetapi PAS tetap dengan pendirian bahawa kami tidak pernah rasa takut dan bimbang dengan pakatan pembangkang,” katanya kepada BH, semalam.

Haron juga berkata Majlis Syura Ulama yang mengikuti perkembangan semasa dapat melihat keangkuhan DAP, sekali gus menunjukkan parti berkenaan tidak boleh menerima apa yang PAS lakukan dan semakin agresif dengan tuduhan liar.

Katanya, selama ini PAS tidak mengambil langkah negatif apabila berhadapan
penentangan DAP, malah sedaya upaya cuba mempertahankan pakatan pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan DAP memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Abdul Hadi yang disifatkan sebagai pembelot dan tidak bermaruah tetapi masih bekerjasama dengan PAS.

Ia susulan langkah Abdul Hadi mengemukakan notis membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud ke Parlimen.

Pada 18 Mac lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) untuk membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

>> Istiqamah tegakkan syiar Islam

Haron berkata, PAS sentiasa istiqamah dalam perjuangan menegakkan syariat Islam kerana lebih takut memutuskan hubungan dengan Allah daripada ugutan manusia.

“Nasihat kepada DAP tidak bernilai lagi atas keangkuhan mereka yang tidak menghormati pendirian rakan.

“Oleh itu, DAP boleh buat apa yang mereka mahu lakukan, manakala PAS akan tetap buat apa yang PAS mahu, iaitu berusaha supaya undang-undang mengenai hudud dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, semua pemimpin politik beragama Islam tidak kira dari parti mana secara dasar wajib menyokong usaha permulaan memartabatkan hukum Allah.

“Menentang hukum itu adalah menentang hukum Allah. Jangan kerana berpegang kepada politik sementara… akidah boleh terjejas. Berilah keutamaan kepada menjaga akidah dan menjadikan agenda hidup untuk mendapatkan keredaan Allah, bukannya kemurkaan Allah,” katanya.-BH.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana