Inilah Yang Kita Mahukan....Kabinet Minta SPAD Tangguh Kenaikan Tambang Pengangkutan Awam

PETALING JAYA: Kabinet meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya menangguhkan kenaikan harga tambang pengangkutan awam seperti yang diumumkan oleh suruhanjaya itu pada Khamis lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat kabinet pada Jumaat telah membincangkan perkara itu dan berpendapat kenaikan tambang itu
tidak sesuai diumumkan dalam keadaan sekarang.

"Kabinet semalam telah berbincang mengenai perkara itu dan berpendapat asas untuk kenaikan itu ada... seperti kata sudah lama tidak naik dan pengusaha (pengangkutan awam) telah menanggung kerugian dan tidak dapat membayar gaji pekerja setimpal.

"Isu yang timbul termasuk soal kecekapan dan mereka merayu. Asas itu memang ada lah cuma soal berbangkit adalah timingnya (masa yang sesuai)," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pagoh di Seri Pekembar di sini, Sabtu.

SPAD pada Khamis mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus manakala bas ekspres pula naik 22.6 peratus bermula 15 Mei ini.

Kenaikan itu berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barangan dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Muhyiddin berkata, pengumuman SPAD itu tidak sesuai pada masanya ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada 1 April ini.

"Saya fikir mungkin kita (kabinet) minta perkara itu ditangguh dahulu kerana mungkin masa tidak begitu sesuai lebih lagi diumumkan tarikh yang sama mengenai GST.

"Beban pengguna itu mungkin bertambah terutama mereka yang tinggal di bandar yang menggunakan pengangkutan awam dan sebagainya," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, SPAD perlu melihat keadaan itu secara keseluruhan dan menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan kenaikan tambang itu nanti.

Katanya, SPAD sementara itu boleh berbincang dan membawa perkara tersebut ke kabinet untuk mengambil kira pandangan semua pihak.

"Ambil kira pandangan pelbagai pihak walaupun sedar mereka ada asas untuk menaikkannya," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana