Hadi boleh dicabar – Mujahid Yusof Rawa

Bukan satu kesalahan untuk mana-mana individu mencabar kedudukan Pre­­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-61, Jun ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, jawatan Presiden yang tidak pernah dipertandingkan sejak Tan Sri Mohd. Asri Muda menerajui parti pada 1976 bukan bermakna tradisi itu perlu dikekalkan kerana perlembagaan parti membenarkan jika ada ahli yang mendapat dua pencalonan mencabar Abdul Hadi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri bagaimanapun mengakui, perkara itu jika berlaku, merupakan kejutan besar.

“Jika pihak tertentu meng­anggap pertandingan jawatan Presiden akan menyebabkan perpecahan, saya tidak bersetuju alasan berkenaan digunakan supaya jawatan itu tidak dicabar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, jawatan Presiden yang dipegang oleh Abdul Hadi tidak perlu dicabar kerana sudah menjadi tradisi parti bahawa jawatan berke­naan tidak dipertandingkan.

Mujahid berkata, kemungkinan jawatan Presiden dicabar wujud kerana beberapa faktor seperti timbul kesedaran dalam kalangan ahli yang mahukan seorang calon Presiden yang boleh membawa hasrat parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pertandingan yang mungkin berlaku juga bertitik tolak daripada ahli menjangkakan terdapat calon yang boleh meneruskan kerjasama Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Faktor penglibatan Pas dalam pakatan pembangkang juga memainkan peranan mempengaruhi muktamar kali ini. Ahli harap calon yang boleh kekalkan Pas dalam pakatan kerana kita ada tanggungjawab,” katanya.

Secara peribadi, Mujahid berkata, beliau mahukan seorang ketua yang tegas dan tidak mudah dicucuk hidung.

“Pemimpin itu mestilah seorang yang tidak gadai prinsip parti, ideal dan berani bersuara. Dalam kes Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad yang ditumbuk baru-baru ini, saya tidak nampak ada kenyataan tegas daripada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Ditanya sama ada Abdul Hadi masih relevan untuk menerajui Pas, Mujahid berkata, soalan itu sukar untuk dijawab kerana tidak ada pemimpin yang sempurna.

“Ayah saya, Yusof Rawa yang menjadi Presiden sebelum ini pernah memberitahu, seseorang pemimpin itu perlu turun sebelum diarahkan. Kita tidak pernah kekal untuk tempoh lama,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana