TIBAI Desak Kerajaan Rampas Pasport Anwar...

 KUALA LUMPUR 28 Jan - Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan berjaga-jaga dengan kemungkinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melarikan diri ke luar negara menjelang keputusan sabitan kesalahan meliwat pembantunya pada 10 Februari ini.

Mursyidul Am Tibai, Muhammad Zahid Md Arip berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar dari kes Koperal Sirul Azhar Umar yang kini sudah melarikan diri ke Australia sebelum keputusan kes membunuh Altantuya diumumkan baru-baru ini.

"Saya melahirkan kekhuatiran kemungkinan Anwar melarikan diri ke luar negara sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan memandangkan beliau masih mempunyai pasport antarabangsa.

"Malahan Anwar pernah menyatakan dalam beberapa kenyataan dan ceramahnya sebelum ini bahawa beberapa negara menawarkan beliau untuk menetap diluar negara kerana kononnya beliau dizalimi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

NGO tersebut turut membuat laporan polis sebagai langkah awal untuk pihak berkuasa bertindak di atas kemungkinan tersebut.

Zahid menjelaskan, pihak berkuasa perlu segera mengambil beberapa langkah seperti merampas pasport antarabangsa milik Anwar dan meletakkan ketua pembangkang itu di bawah pemerhatian polis sementara menunggu keputusan pada 10 Februari ini.

"Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kemungkinan dan kebarangkalian Anwar daripada melarikan diri ke luar negara dan tidak hadir mendengar penghakiman di Mahkamah Persekutuan," ujarnya.

Sementara itu, bekas Peguam Anwar, Datuk Zulkifli Noordin, berkata, kemungkinan Anwar melarikan diri adalah sesuatu yang perlu dianggap serius memandangkan beliau pernah melakukan demikian semasa pembantunya, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis pada 2008.

Zulkifli yang juga bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu turut memberitahu, kerajaan juga sudah tidak mampu mengambil apa-apa tindakan sekiranya Anwar melarikan diri ke kedutaan negara-negara yang tidak mengamalkan undang-undang terhadap kes liwat.

"Dia pernah melarikan diri iaitu pada 28 Jun 2008 apabila Saiful Bukhari membuat laporan polis, beliau telah lari ke Kedutaan Turki, jadi beliau pernah melakukannya dan telah minta perlindungan dari Kedutaan Turki.

"Beliau(Anwar) tidak perlu ke luar negara, sekiranya beliau larikan diri ke Kedutaan Belanda untuk meminta perlindungan, kita dah tidak boleh buat apa-apa, dan Belanda tidak menjadikan kesalahan liwat dan homoseks sebagai jenayah, jadi kita tidak akan boleh minta untuk ekstradisi," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana