Projek Datum Jelatek : Penduduk Dakwa Kerajaan Negeri Tidak Peduli Nasib Rakyat

KUALA LUMPUR 26/1/2015 – Kira-kira 1,000 orang berkumpul di tapak projek Datum Jelatek di Taman Keramat semalam bagi membantah tindakan kerajaan negeri Selangor membenarkan projek mega berkenaan diteruskan.

Turut memberi sokongan ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) serta penduduk tempatan yang diketuai wakil anak Taman Keramat, Ariffin Abu Bakar.

Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad berkata, bantahan itu diadakan kerana Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilihat tidak mempedulikan suara rakyat terutamanya bantahan penduduk kawasan Keramat.
Katanya, penduduk tidak akan berdiam diri dan terus membantah projek tersebut kerana dikhuatiri penduduk bakal berdepan dengan pelbagai masalah termasuk kawasan Melayu di Keramat dijadikan kawasan utama kaum lain.

“Sekiranya projek ini diteruskan, bakal memberi malapetaka besar kepada orang Melayu, sekali gus menjadikan kawasan penempatan Melayu di Jelatek diganggu-gugat dengan kehadiran kaum lain termasuk warga asing.

“Perjuangan ini akan diteruskan oleh golongan generasi ketiga yang memberi jaminan tidak akan menyerahkan biarpun seinci tanah di Jelatek ini kepada warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Himpunan Bantahan Projek Datum Jelatek di sini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.
Sebelum ini, BBDJ mendakwa projek Datum Jelatek di atas tanah seluas 2.2 hektar dikatakan sebagai projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah dan kemudian bertukar menjadi cadangan pembangunan empat bangunan eksklusif merangkumi unit kediaman, pejabat, hotel dan pusat beli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Dalam bantahan itu, penduduk turut memecahkan dinding penghalang tapak projek berkenaan kerana tidak puas hati terhadap pemaju yang enggan memberhentikan pembangunan itu.

Bagaimanapun keadaan itu berjaya dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Salleh menggesa Mohamed Azmin turun padang berjumpa dengan penduduk setempat bagi menyelesaikan isu tersebut yang bermula sejak 2008.
“Kalau dia (Mohamed Azmin) anak jantan, saya cabar beliau untuk turun dan berjumpa dengan kami bagi menyelesaikan isu ini. Kami tidak mahu lagi rasa tertipu dengan pelbagai helah oleh parti pembangkang, khususnya dalam soal perumahan,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail mendesak supaya kerajaan campur tangan dalam isu tersebut bagi membela nasib rakyat yang bakal berdepan dengan pelbagai masalah termasuk keadaan senario politik dan geopolitik di kawasan berkenaan.

“Saya percaya kerajaan mampu menukarkan projek ini kepada perumahan mampu milik ataupun syarat-syarat berkaitan yang sesuai dengan pendapatan isi rumah orang Melayu, khususnya penduduk di sekitar Taman Keramat ataupun Jelatek.
“Kami sentiasa memberi sokongan padu kepada penduduk yang membantah projek perumahan mega ini bagi membela nasib mereka,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana