Gara-gara sebut 13 Mei…Haji Hadi berdepan ‘firing squad’

Tak pasti samaada ia ‘buah’ pertama silat kuntau Datuk Seri Haji Hadi Awang atau beliau akan tampil lagi berentap sejak balon sakan DAP Jumaat lalu pasal galak sangat mempelopori cadangan diadakan pilihanraya kerajaan tempatan.

DAP dan mereka yang sewaktu dengannya nyata amat tidak senang dengan pandangan Presiden PAS itu bahawa cadangan seumpama itu boleh ancam kestabilan kaum dan jadi api dalam sekam yang boleh cetus peristiwa 13 Mei.
Apa lagi beliau sebut DAP hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek.

Sebenarnya tanpa perlu Presiden PAS itu sebut,semua orang sedia maklum siapa penduduk majoriti di bandar-bandar utama termasuk Pulau Pinang.

Jadi boleh bayang sendiri siapa yang akan berkuasa di kerajaan-kerajaan tempatan (PBT) ekoran pilihanraya berkenaan melihat pada trend tsunami pengundi Cina kebelakangan ini.

Makanya apa nak hairan jika DAP khususnya begitu berminat sangat pada pilihanraya itu.Alasan yang gunapakai tentulah ‘demokrasi’.

Sejak melontarkan pandangan yang kontrovesial itu Haji Hadi ibarat berada di depan 'firing squad'.

Beliau ‘ditembak’ bertalu-talu kiri kanan depan belakang oleh pimpinan dalam Pakatan kerana menghentam cadangan DAP itu termasuk didakwa sudah bersuara macam UMNO dan Perkasa serta anti-demokrasi.

Malah kenyataan peribadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Rahman Dahlan yang merasa pandangan Haji Hadi ada asas sudah diputar macam ada agenda tersembunyi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menilai pilihan raya itu akan membawa kepada ketegangan dan ketidakpercayaan antara kaum.

"Saya percaya terdapat risiko lebih besar jurang antara kaum sekiranya pilihan raya PBT dimandatkan,”katanya.

Beliau berkata hakikatnya adalah sebahagian besar rakyat Malaysia masih mengundi berdasarkan latar belakang kaum dan ini akan jelas kelihatan dalam pilihan raya kerajaan tempatan dan juga akan berlaku di kawasan bandar dan luar bandar.

"Saya harap DAP belajar daripada sejarah dan memahami kerumitannya. Pilihan raya kerajaan tempatan boleh menyebabkan cukai tempatan lebih tinggi kerana pegawai yang dipilih mempunyai lebih autonomi dalam menjalankan kuasanya," katanya.

Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin pula menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan pilihanraya itu di negeri itu sebagai sikap tamak kuasa.

Beliau melihat cadangan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mahu pilihan raya itu diadakan juga membuktikan mereka mahu memegang kuasa pentadbiran di peringkat ketiga.

Kalau selak portal dan blog pembangkang kita dapat lihat bagaimana bermacam-macam laporan termasuk komentar yang balon Haji Hadi dari berbagai sudut.

Kebanyakannya bukan saja menolak malah memperlekehkan pandangannya pilihanraya kerajaan tempatan boleh cetus api perkauman.

Antara yang paling awal bersuara ialah Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke .Katanya DAP terkejut dengan kenyataan presiden PAS itu.

"Kami amat terperanjat dengan kenyataan Hadi kerana mengaitkan pilihan raya PBT akan membawa peristiwa 13 Mei 1969, bagi saya itu tidak masuk akal," katanya.

"Kita tidak patut guna isu perkauman dalam pilihan raya PBT kerana pilihan raya ini adalah untuk mengembalikan hak demokrasi kepada akar umbi dan memberikan peluang kawasan kawasan mereka, bukan di bandar sahaja tapi majlis daerah dan majlis perbandaran," kata Loke.

Bos Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cuba ambil jalan selamat dengan menyifatkan kenyataan Presiden PAS itu adalah satu ‘pandangan peribadi’.

Beliau dilaporkan berkata soal pilihanraya kerajaan tempatan perlu dibincang secara rasmi oleh pimpinan Pakatan.

Sebaliknya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak dapat sembunyi rasa tidak puashati terhadap kenyataan Haji Hadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang ditemui wartawan di Bukit Mertajam Ahad turut mendakwa Haji Hadi ‘tidak jujur’.

Guan Eng mendakwa beliau pernah berbincang dengan Presiden PAS itu dan Setiausaha Agung PAS datuk Mustapha Ali sebelum membawa soal pilihanraya kerajaan tempatan ke mahkamah.

Katanya mereka tidak membantah malah tiada pimpinan PAS di Pulau Pinang yang menentangnya.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan enakmen untuk pilihanraya kerajaan tempatan pada 9 Mei ,2012.

Pada Ogos 2004,Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP tidak ada bidang kuasa mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan.

Menurut mahkamah itu enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2012 tidak sah kerana ia bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Latheefa Koya secara terbuka kata pandangan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan boleh dorong polarisasi kaum ‘mengarut’.

Atas sebab itu sokongan Rahman Dahlan pada pandangan Haji Hadi mempunyai agenda tersembunyi yang jelas.

Turut masuk gelanggang mempertikaikan pandangan Haji Hadi ialah Ahli Parlimen PAS Sepang Hanipa Maidin.

Mereka yang faham latar belakang pendirian politik dalam PAS tidak hairan melihat beliau menulis panjang lebar mengenainya dalam sebuah portal pembangkang.

Kecuali anak Musyridul Am PAS,Datuk Nik Aziz Nik Mat yakni Nik Abduh turut mempersoalkan kewajaran cadangan adakan pilihanraya kerajaan tempatan setakat ini belum ada panglima-panglima Haji Hadi lain yang tampil mempertahankan bos mereka.

“Adakah pilihan raya PBT adalah satu aras kemajuan dalam demokrasi negara? Atau ia sekadar memenangi impian golongan bergelar ekstrimis demokrasi?,kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Katanya lagi DAP boleh tak setuju dengan hudud sebagaimana PAS boleh tak setuju dengan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Membawa agenda masing-masing sepatutnya tidak dianggap melanggar kesepakatan dalam Pakatan Rakyat.”

Di kalangan NGO pula setakat ini Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) setuju dengan Haji Hadi.

Presiden Pemikir Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin berkata berdasarkan kepada sikap DAP yang kelihatan begitu beria-ia hendak melaksanakan cadangan itu sejak sekian lama, Pemikir mencurigai niat sebenar di sebaliknya.

"Mereka mendakwa langkah itu adalah untuk menyuburkan demokrasi tapi kalau dikaji secara lebih mendalam, langkah itupun tidak demokratik berdasarkan trend mengundi hari ini.

"Malah tidak mustahil akibat pilihan raya itu nanti akan berlaku perpecahan kaum yang lebih ketara bila kawasan-kawasan mengundi tidak mengandungi pelbagai kaum dan sebaliknya didominasi suatu kaum tertentu sahaja," kata Abdul Aziz.

Semua orang tahu hubungan PAS dengan rakan Pakatan DAP dan PKR masih berada ditahap yang cukup dingin sejak krisis Menteri Besar Selangor yang menyaksikan Azmin Ali ganti Tan Sri Khalid Ibrahim.

Haji Hadi sudah lama tidak hadir mesyuarat pimpinan Pakatan.Sekalipun beliau sudah beri alasan kesihatan namun ramai pemerhati politik membuat andaian ada sesuatu terbuku di sebalik ketidakhadirannya.

Presiden PAS itu diketahui sudahpun menghadiri beberapa program kebelakangan ini termasuk kunjungan ke Sarawak untuk ziarah keluarga Allahyarham bekas Ketua Menteri Allahyarham Tun Rahman Yaakob.

Apapun sepintas lalu,melihat dari mood dalam Pakatan nampak seolah Presiden PAS itu tersepit dalam kontroversi ini.

Sumber PAS berkata Haji Hadi pasti ada alasan tersendiri untuk mengutarakan pandangan itu sekalipun tidak disenangi oleh DAP dan PKR serta golongan liberal PAS.

Jangan lupa Rabu lalu orang kanan Haji Hadi yakni Mustafa Ali membidas DAP mendakwanya bersikap angkuh walaupun sebelum ini paling lantang bercakap mengenai demokrasi.

"Ini gambaran sikap angkuh yang ditunjukkan pemimpin DAP apabila mereka memperoleh kuasa majoriti,” kata Setiausaha Agung PAS itu dalam kontek isu pilihanraya kerajaan tempatan dibawa DAP VS Hudud dibawa PAS.

Soalnya sekarang apakah isu ini terhad dalam kontek itu saja atau ia sebahagian dari bunga-bunga perang dingin yang tak kunjung padam gara-gara tidor sebantal mimpi lain-lain dalam Pakatan.

Kini samada Haji Hadi tampil atau tidak menyerang balas bagi mempertahankan pandangan beliau,isu ini dilihat sudah terpahat sebagai medan tempur baru dalam Pakatan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana