PTPTN bukan Ah Long...Shamsul akui tak mudah jadi Pengerusi

Pada 5 November lalu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) umum nak senaraikan penghutang yang degil membayar balik pinjaman ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara mulai 1 Januari 2015.
Sebaik berita itu tersebar di media, bukan sahaja pelajar melenting, malah ibubapa yang tak memahami hujung pangkal juga melompat, menyuarakan rasa tidak puashati terhadap PTPTN.

Pembangkang pula, apa lagi, terus menangguk di air keruh dan mencurah api ke minyak dan menjadikannya isu politik.

Yang paling panas punggung tentulah Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah. Beliau bukan sahaja dihujani rungutan melalui SMS, Whatsapp, Twitter dan emel, tetapi juga dibalun semasa sidang parlimen baru-baru ini.

Baru-baru ini Agendadaily sempat bersembang dengan Datuk Shamsul Anuar Nasarah minta penjelasannya, atas dasar apakah PTPTN membuat tindakan itu yang dianggap agak drastik bagi sesetengah pihak.

Bila dengar al-kisahnya barulah kita tahu berat mata memandang berat lagi PTPTN memikul.

Menurut Shamsul, langkah untuk senaraikan penghutang tegar PTPTN dalam CCRIS dibuat setelah 14 pelan tindakan yang dibuat tidak berhasil.

"Kita sudah buat 14 pelan tindakan untuk mengutip balik hutang, antaranya hantar surat peringatan, surat peguam, buat kempen, taklimat, tawarkan diskaun, bagi rebet, senaraihitamkan penghutang serta sekatan imigresen. Tapi masih tak jalan juga.

"Jadi kita terpaksa mengambil tindakan drastik ini dengan menyenaraikan penghutang tegar ke dalam CCRIS. Tindakan ini bukan dibuat terhadap semua penerima pinjaman seramai 2.1 juta orang, tetapi hanya terhadap penghutang tegar seramai 173,985 orang ini sahaja. Itupun kita bagi mereka tempoh sehingga 13 Disember ini untuk datang berunding dengan kita.

"Ada masalah datang jumpa kita. PTPTN bukan along, PTPTN nak tolong. Jadi rakyat semua kena sokong. Pelajar yang ada masalah silalah datang jumpa kita dan berbincang. Kita membenarkan bayaran balik serendah RM50 sebulan walaupun pinjaman itu melebihi RM100 ribu.

Shamsul berkata tindakan meletakkan penghutang tegar dalam CCRIS bukanlah sesuatu yang baru malah ia adalah amalan biasa bagi institusi kewangan. Jika seseorang mahu membuat pinjaman di mana-mana institusi bank untuk mendapat pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya, maklumat mengenai peminjam akan dirujuk terlebih dahulu kepada CCRIS.

"Sejak ditubuhkan PTPTN sudah memberi pinjaman kepada 2.1 juta pelajar. Pelajar yang bermasalah membayar balik pinjaman ada 500 ribu orang. Wang terkumpul bagi 500 ribu orang ini adalah sekitar RM5.4 billion. Mereka ini tak bayar satu senpun. Di kalangan golongan ini, yang "hard-core" tak mahu bayar langsung ialah seramai 173,985 orang dan jumlah hutang terkumpul di kalangan mereka berjumlah RM1.23 billion.

"Turut dalam senarai 14 tindakan itu ialah kami bagi diskaun 20 peratus dan kalau mereka bayar secara konsisten selama setahun, kita tolak lagi 10 peratus. Faedah dari empat peratus dikurangkan jadi tiga peratus. Dari sistem konvensional kami tukar kepada hujrah. Memang banyaklah kami sudah lakukan," keluhnya.

Shamsul berkata PTPTN ialah sebuh perbadanan yang ditubuhkan oleh kerajaan yang falsafahnya adalah untuk menyediakan dana bantuan pinjaman kepada pelajar yang di negara ini yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

"Apabila hendak menjayakan falsafah itu kita kena mempunyai kewangan yang cukup. Kami hanya dapat geran kerajaan sejumlah RM55 billion pada peringkat awal penubuhan sahaja. Selepas itu kami tidak lagi terima dana sebaliknya meminjam dari Institusi Kewangan. Maka apabila meminjam kita mesti ada aliran kewangan untuk tabung pusingan.

"Jadi isunya ialah kita sepatutnya telah mengeluarkan RM48.4billion untuk pembiayaan dan sepatutnya, sehingga 30 September 2014 kita patut menerima kutipan balik sebanyak RM12 billion. Malangnya dengan pelbagai usaha yang kita buat, orang masih tak nak bayar dan kita hanya dapat pungut RM5.41 billion sahaja, jauh daripada sasaran.

"Masalahnya PTPTN ini macam selebriti. Bila kita nak buat tindakan undang-undang ia jadi isu politik menyebabkan kita susah nak laksanakan tanggungjawab," tambahnya.

Menurut Shamsul lagi, PTPTN terikat dengan beberapa kekangan dan akta yang tidak membolehkannya berurusniaga sebagaimana kebanyakan bank dan agensi yang memberi pinjaman pelajaran seperti MARA dan Petronas.

"Ini yang jadi masalah pada kita. Kita perlukan RM5.8 billion setahun. Tetapi kita ini, duit keluar lebih dari duit masuk. Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.8 billion kita perlukan untuk menyediakan kewangan kepada pelajar yang sedang belajar sekarang.

"Jumlah pelajar ini tidak kurang daripada 400,000 orang. Manakala pelajar baru kami anggarkan 200,000 orang, bermakna, untuk mereka sahaja kita perlukan RM1.6 billion setahun. Yang lainnya adalah untuk bayar hutang bank.

"Kerajaan bagi dana masa awal penubuhan pada 1997 sahaja. One-off. Selepas itu PTPTN meminjam dari dari institusi kewangan tapi dijamin oleh kerajaan. Masalahnya bila target kutipan tak tercapai, orang masih liat dan degil nak bayar, dan tahun ini pula kerajaan hanya bagi RM4 billion lebih, jadi kita menghadapi masalah kekurangan dana. Bila kurang dana kita terpaksa ambil tindakan-tindakan drastik," katanya.

Shamsul berkata, dengan berkurangannya dana tahun ini maka langkah terakhir yang boleh PTPTN buat setelah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO), wakil pelajar, pakar ekonomi, ahli akademik, bank negara dan Majlis Ekonomi, ialah dengan menyediakan kertas kabinet yang meminta jemaah menteri bersetuju dengan dua tindakan.

"Pertama, kita terpaksa kurangkan bantuan kewangan untuk pelajar-pelajar baru yang berdaftar selepas 1 November 2014 yang dianggarkan berjumlah 400 ribu orang. Pelajar yang menerima pinjaman sebelum tarikh itu tidak terlibat dengan sebarang pemotongan.

"Bantuan untuk pelajar IPTA dipotong lima peratus dan IPTS pula 15 peratus. Kita harap ini hanya langkah sementara. Harapan kita ialah dengan tindakan-tindakan drastik ini, pelajar yang pembiayaannya terpaksa dipotong akan mendapat kembali duit mereka apabila kewangan kita kukuh semula."

Menurut Shamsul, PTPTN juga mempunyai program pengecualian bayaran kepada pelajar yang mendapat first class peringkat sarjana muda. Katanya setakat ini PTPTN sudah 22 ribu pelajar mendapat pengecualian itu yang bernilai RM601 juta.

"Tetapi wang itu kita kena bayar balik pada bank juga," tambah Shamsul yang turut meluahkan, bukan mudah untuk menjadi pengerusi PTPTN.

"Inilah dilemma saya, iaitu mengurus sebuah perbadanan yang besar yang dijangka pada lima tahun akan datang memerlukan tidak kurang daripada RM25 billion lagi! Jadi, bukan mudah jadi pengerusi. Saya mesti berusaha untuk meletakkan PTPTN sebagai sebuah perbadanannya bukan sebagai pengutip hutang, tetapi sebagai pembiaya pendidikan.

"Mengutip hutang itu adalah sebahagian daripada tangungjawab kita untuk kita menyediakan dana. Kita nak sediakan pembiayaan, kenalah dapatkan balik bayaran. Yang meminjam itu, bayarlah balik kepada PTPTN supaya kita boleh bagi kepada orang lain pula.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana