PAS atau DAP yang mahu tinggalkan Pakatan Rakyat?

Siapakah sebenarnya yang mahu meninggalkan Pakatan Rakyat? PAS atau DAP? Kedua-duanya kelihatan enggan keluar dari gabungan parti pembangkang itu sebaliknya menguja gabungan berkenaansupaya “menolak” mereka keluar.

Masing-masing seolah-olah menggunakan strategi yang sama untuk tidak mahu dilihat sebagai mencemari persepakatan pembangkang dengan bertindak keluar. Kedua-duanya lebih suka jika “difasakhkan” oleh pihak yang satu lagi.

Namun rumusan yang boleh dibuat ialah, hingga peringkat ini memang agak mustahil untuk mendamaikan kedua-dua parti yang mempunyai ideologi politik yang berbeza “bak bumi dengan langit”.

DAP bermati-matian tidak mahu PAS diizinkan melaksanakan hudud walaupun mungkin sebagai hanya satu kes kajian di Kelantan. Entah apa yang dibimbangi parti bukan Islam itu, hanya pemimpin-pemimpin parti itu yang tahu.

Walhal sebelum PAS dan DAP “jatuh cinta” dan bersedia bergabung dengan PKR dalam Pakatan Rakyat pada 2008, pemimpin-pemimpin parti itu memang sudah maklum akan sifat, sikap dan wawasan PAS mahu wujudkan negara Islam.

Adakah penolakan DAP terhadap rancangan PAS melaksanakan undang-undang Islam itu kerana tidak yakin dengan kesyumulan dan keadilan hukum Islam atau tidak yakin PAS mampu melaksanakannya dengan adil?

Ini persoalan penting. Jika sekadar tidak yakin dengan kemampuan PAS melaksanakan satu set perundangan baru kerana didorong persepsi kurang baik terhadap piawai profesional PAS,  itu adalah hak DAP untuk mempertikaikannya.

Mungkin DAP mencongak PAS telah gagal memerintah Kedah (2008-2013) dan Terengganu (1999-2004) lebih satu penggal. Maka itu menggambarkan tahap keupayaan PAS. Alasan ini mungkin boleh diterima, walaupun pahit.

Bagaimanapun jika sebaliknya, yang dipertikaikan oleh DAP ialah keluhuran, keadilan dan kesyumulan undang-undang hudud Islam maka itu adalah isu lain. Ia dengan jelas menzahirkan anggapan sebenar DAP terhadap Islam.

Lantas bukan sahaja ahli dan pemimpin PAS patut membetulkan persepsi serong DAP itu, maka seluruh umat Islam di Malaysia wajib bangkit untuk meleburkan prejudis DAP terhadap Islam ini!

Malah dalam konteks ini DAP boleh diklasifikasikan sebagai mempunyai sikap prejudis terhadap Islam dan sekaligus ia memaparkan bahawa sebenarnya DAP adalah parti yang ekstremis dalam pandangan politiknya!

Yang jelas, DAP tidak putus-putus membidas cita-cita PAS itu dan menggertak bahawa Pakatan Rakyat akan kalah Pilihan Raya Umum akan datang jika PAS meneruskan rancangan melaksanakan hudud walaupun hanya di Kelantan.

Yang mencetuskan persoalan, adakah ledakan pemimpin-pemimpin DAP yang secara terbuka menyindir dan memperleceh wibawa kepimpinan PAS ini berpaksi pada keinginan mengukuhkan Pakatan Rakyat atau sebenarnya mahu menolak PAS keluar daripada gabungan itu?

Jika masalah DAP hanya kerana Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang jarang menghadiri mesyuarat kepimpinan Pakatan, sebenarnya itu bukan satu masalah besar. Sekretariat Pakatan Rakyat boleh menyelesaikannya.

Malah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudahpun memberi perakuan bahawa beliau boleh dan sudahpun mengaturkan mesyuarat Majlis Presiden dilangsungkan Januari depan.

Bagaimanapun Penasihat DAP, Lim Kit Siang Rabu lalu membuat kenyataan bahawa oleh kerana PAS nampaknya mahu bertindak bersendirian dalam kes hudud, beliau (Kit Siang) mungkin memboikot mesyuarat Majlis Presiden!

Ini sekaligus membuka satu perspektif baru dalam kemelut politik Pakatan Rakyat ini. Ia membayangkan kemungkinan bahawa segala desakan yang dibuat terhadap PAS mungkin memang diatur supaya ada alasan untuk DAP tinggalkan Pakatan Rakyat!

Jika benar demikian apakah DAP dapat? Pertama, mungkin DAP boleh membersihkan dirinya di mata pengundi bukan Islam bahawa ia tidak bersengkongkol dengan Islam (ekstremis) PAS.

Umum tahu DAP amat bergantung pada sokongan bukan Melayu. Dengan api kebencian semakin marak terhadap golongan rasis dan ekstremis, pengundi bukan Melayu tentu lebih tenteram jika mereka tidak dikaitkan dengan PAS dan aktivitinya.

Di samping itu, khabar-khabar angin yang menyatakan bahawa atas sebab politik, Umno dikatakan bersedia menyokong usul hudud PAS, mungkin menggerunkan bukan Melayu. Maka DAP perlu menjarakkan diri dari PAS.

Kedua, dalam congakan DAP kini ia mungkin sudah dapat meyakinkan bukan Melayu bahawa ia adalah parti yang mempunyai kekuatan untuk memecahkan dominasi politik orang Melayu, khususnya Umno – sendirian.

DAP mungkin yakin PKR bukan faktor halangan. Dengan budi yang ditaburkannya pada PKR dalam krisis politik menteri besar Selangor, DAP percaya parti itu akan semakin bergantung kepadanya untuk kekal relevan.

DAP juga mungkin bersifir bahawa keadaan ini akan mengukuhkan keyakinan pengundi bukan Islam dan Melayu di Sabah dan Sarawak untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat yang dinakhodai DAP dan ditaati PKR.

PKR akan menjadi pembantu setia. Rekod pilihanraya umum 2008 dan 2013 adalah dalil kukuh mengapa DAP yakin ia akan mendominasi pakatan itu. Ia kini mempunyai 37 kerusi parlimen berbanding PKR hanya 29.

Tanpa PAS, DAP yakin majoriti kerusi parlimen Sabah dan Sarawak akan berpusar kepadanya sebagai alternatif  yang mampu memecahkan mitos ketuanan Melayu yang dipelopori Umno!

Tanpa PAS juga, DAP mungkin mencongak bahawa banyak parti serpihan bukan Melayu di Sabah dan Sarawak akan mula berpola pada Pakatan Rakyat. Ini akan mudah mengganti  kehilangan PAS, malah menambah total kerusi Pakatan!

Sebab itu, mungkin DAP melihat imej Islam (ekstremis) dan kelemahan daya mentadbir PAS dalam Pakatan Rakyat hanya akan menjadi bagasi berat kepada kemenangan Pakatan pembangkang menjadi pemerintah.

PKR akan membantunya mengatasi kekangan protokol dan perlembagaan yang memperuntukkan hanya Melayu-Islam sahaja yang patut memimpin Malaysia. Kuasa mutlak tetap pada DAP.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana