Lim Guan Eng Sengaja Cetus Provokasi,Umno Cabar YDP MAIPP Dan Exco Agama Nyata Pendirian.

Kenyataan Media
Dato’ Zainal Abidin Osman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
Ahad, 14 Disember 2014

Pada Jumaat 12 Disember 2014, Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan larangan penggunaan Kalimah Allah dan 39 perkataan lain oleh orang bukan Islam yang diputuskan oleh Majlis Fatwa  Negeri Pulau Pinang di bawah kuasa sub seksyen 48 (3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pada Januari 2010 dan diwartakan pada April 2010 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tidak boleh dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam kerana enakmen tersebut hanya terpakai ke atas orang Islam.

Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang mengatakan bahawa Enakmen tersebut tidak boleh dikuatkuasakan atau terpakai ke atas orang bukan Islam adalah satu tindakan provokatif terhadap sensitiviti umat Islam yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama di negeri ini. Ia juga menunjukkan kekeliruan dan kejahilan Ketua Menteri sendiri berhubung penguatkuasaan Fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Kenyataan Ketua Menteri ini bercanggahan dengan kenyataan mendiang Karpal Singh, bekas Pengerusi DAP. Pada Januari 2014, Roketkini media rasmi parti DAP melaporkan mendiang Karpal Singh telah meminta Ketua Menteri dan Kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan semakan kehakiman dengan membawa kes ini ke Mahkamah kerana fatwa larangan ini juga terpakai ke atas orang bukan Islam di Negeri Pulau Pinang.

Keputusan Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang adalah selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes larangan penggunaan kalimah Allah oleh majalah The Herald.

Fatwa yang diwartakan dibawah Seksyen 48 Enakmen tersebut menyatakan mana-mana orang bukan Islam yang menulis atau menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah lain yang boleh membawa kepada menghina kesucian agama Islam adalah salah dan dilarang serta menjadi satu kesalahan.

Seksyen 3 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang. Kuasa eksekutif SPB Yang Dipertuan Agong hanya boleh diturunkan kepada TYT Yang DiPertua Negeri Pulau itu. Oleh yang demikian Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa dalam pentadbiran agama Islam di Negeri Pulau Pinang.

UMNO Pulau Pinang mendesak YB Dato’ Salleh Man, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan YB Dato’ Abdul Malik Abul Kassim Exco Agama  Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya tidak timbul sebarang kekeliruan di kalangan orang Islam di Pulau Pinang.

UMNO Pulau Pinang menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang untuk merujuk kepada SS Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung dengan pentadbiran agama Islam di Pulau Pinang. Kenyataan beliau pada Jumaat lalu jelas menunjukkan beliau tidak faham mengenai bidang tugas dan tanggungjawab serta undang-undang dalam pentadbiran agama Islam di negara ini.

Terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana