Kenyataan Kit Siang dituju pada PAS - Azizah

PETALING JAYA: Kegusaran ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Pakatan Rakyat tidak mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah merujuk kepada PAS.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan Kit Siang bersabit perkara itu, sementelah kegagalan Majlis Presiden PR mengadakan mesyuarat selama enam bulan.

"Ini pada saya mungkin lebih ditujukan kepada PAS sebab komunikasi antara PKR dan DAP berlangsung secara berterusan. Manakala PAS pula hanya di peringkat di bawah jawatan Presiden. (Namun) Saya kira ia boleh diperbaiki," ujarnya.

Sejak kebelakangan ini DAP lantang mempersoalkan komitmen Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke setiap mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa ketidakhadiran Hadi menyebabkan gagasan itu sukar membuat keputusan penting.

Hadi dikesan mula menjarakkan diri dan seringkali tidak hadir mesyuarat pimpinan pusat Pakatan Rakyat selepas PKR bertindak membelakangkan PAS dalam isu 'Langkah Kajang' bagi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Hadi dikatakan berkecil hati dengan gerakan itu dan enggan menyokong sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Wan Azizah.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata jemputan untuk menghadiri mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat perlu diberikan kepada Hadi terlebih dahulu, sebelum mana-mana pihak terus menjatuhkan hukum ke atas Ahli Parlimen Marang itu.

"Panggil mesyuarat dulu, kalau tidak macam mana nak datang, dahulu presiden ada datang (hadir mesyuarat).

"Semua pimpinan perlu berjiwa besar, bagaimana kita fikir itulah yang akan terjadi.

"Kalau kita fikir PR tidak sampai PRU14, itulah yang akan berlaku. Tapi kalau kita fikir PR mampu melangkaui PRU14, kita akan sampai," ujar Mahfuz pada sidang medianya di ibupejabat PAS, hari ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana