Kencing tikus: Elak mandi di air terjun

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan tidak mandi di kawasan air terjun di Kedah buat sementara waktu, berikutan peningkatan kes jangkitan kencing tikus yang boleh membawa maut.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kes jangkitan kencing tikus atau leptospirosis semakin banyak dikesan di kalangan pengunjung air terjun.

“Buat masa sekarang, saya nasihatkan orang ramai supaya elakkan daripada mandi di kawasan air terjun.

“Jika hendak mandi, mereka boleh ke hotel-hotel yang menyediakan kolam renang yang kebersihan sentiasa dipantau,” katanya.

Leong berkata, kes jangkitan kencing tikus semakin menjadi-jadi sejak tiga tahun kebelakangan ini, dengan banyak faktor yang boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan jangkitan itu.

“Sejak kebelakangan ini, sering berlaku hujan lebat dan banjir kilat, jadi kita tidak tahu bahan apa yang telah mencemari air itu dan keadaan cuaca ini boleh menjadi salah satu punca penyebaran jangkitan kencing tikus,” katanya.

Jelasnya, jumlah pengunjung ke kawasan air terjun semakin bertambah dan ini sekaligus menyebabkan jumlah sampah (sisa makanan) yang dibuang semakin bertambah, yang menjadi punca kehadiran tikus.

“Binatang-binatang seperti tikus yang sebelum ini mencari makan di dalam hutan, akan keluar untuk mencari sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung,” katanya.

Jelasnya, masalah berkaitan tikus tidak dapat dielakkan dan ini boleh dilihat pada jumlah tikus yang berkeliaran di kawasan medan selera.

Tambahnya, jangkitan kencing tikus adalah cabaran besar kepada Kedah, sehubungan itu, perbincangan akan diadakan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perhutanan, bagi menangani masalah berkenaan.

Dua hari lalu, Amirah Maisarah Zir Omar Khan, 8, dari Taman Pinang Merah, Bukit Pinang, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), disyaki akibat jangkitan kencing tikus.

Difahamkan, kanak-kanak itu dan dua adik perempuannya bersama ibu bapa mereka telah pergi ke sebuah pusat rekreasi air di Yan untuk mandi-manda.

Adik mangsa, Nur Syazana, 5, disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta dan masih dirawat di HSB, manakala seorang lagi adiknya, Zaharah Alisa, 3, serta ibu mereka, Siti Zaleha Ramlan, 32, mengalami demam.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana