Hukuman Sebat Bagi Pegawai Imigresen Bersubahat Isu Pati - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri mencadangkan supaya hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas pegawai imigresen yang bersubahat berkaitan dengan isu pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu bagi memperketatkan hukuman sebagai pengajaran kerana isu Pati tidak boleh dikompromi.

Katanya, perbincangan akan dibuat bersama penasihat undang-undang Jabatan Imigresen dan KDN serta Jabatan Peguam Negara pada minggu ini mengenai cadangan tersebut.

"Saya fikir kalau sekadar pemenjaraan dan denda tidak akan mencukupi. Saya tahu perkara ini (isu Pati) akan berlaku maka pelbagai kaedah (hukuman) perlu dilakukan.

"Kita akan adakan perbincangan pada minggu ini. Kalau ia tidak termasuk dalam akta dan peraturan-peraturan imigresen sedia ada, kita akan membuat satu klausa yang baharu dalam Akta Imigresen yang lain atau klausa lain yang perlu dimasukkan dalam akta-akta sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2014 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim.

Ditanya sekiranya cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan, Ahmad Zahid berkata: "Kalau ia melibatkan peraturan maka tidak perlu dibawa ke Parlimen tetapi kalau ia melibatkan akta baharu kita akan bawa. Sebab itu kita akan adakan mesyuarat pada minggu ini."

Beliau berkata, walaupun pembabitan pegawai imigresen dalam isu Pati adalah kes terpencil tetapi ia melibatkan imej jabatan berkenaan.

"Saya tidak malu untuk menyatakan perkara ini kerana lebih baik kita malu sedikit sekarang berbanding malu kemudian dalam hal membanteras dan membersih Pati.

"Saya tidak kata semua (pegawai imigresen). Ada segelintir tetapi merosakkan nama," katanya.

Ahmad Zahid pada bulan lalu dilaporkan Bernama sebagai berkata, KDN mencadangkan hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas ejen haram yang membawa masuk Pati ke negara ini.

Katanya, hukuman serupa juga perlu dilaksanakan ke atas pengusaha-pengusaha mesin judi haram yang didapati masih berdegil untuk beroperasi setelah diserbu beberapa kali oleh penguat kuasa.

Sambutan Hari Imigresen pada Isnin turut menyaksikan Ahmad Zahid melancarkan buku pas sempadan untuk tujuan keluar masuk antara Malaysia dan Thailand.

Pas sempadan dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang lahir atau bermastautin tetap melebihi setahun di negeri Kedah, Kelantan, Perlis dan  daerah Hulu Perak.

Bayaran yang dikenakan untuk pas sempadan adalah sebanyak RM10  dan tempoh sah laku selama setahun.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana