Hudud Kelantan Undang-Undang PAS, Bukan Hukum Allah - Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR 25 Dis - Bekas menteri hal-ehwal perundangan dan pembaharuan kehakiman Datuk Mohd Zaid Ibrahim mendakwa cadangan pelaksanaan hukum hudud oleh kerajaan Kelantan bermotifkan politik sahaja.

Menurut Zaid, PAS membawakan undang-undang sama dengan apa yang ditentangnya 15 tahun lali dengan mencabar peruntukan hudud Enakmen Kanun Jenaya Syariah Kelantan 1993 di Mahkamah Persekutuan.

"Mereka seolah-olah tidak nampak perbezaan antara apa yang terkandung dalam al-Quran yang suci dan Enakmen Kelantan, yang merupakan undang-undang dibuat beberapa pemimpin PAS, bukan Allah.

"Enakmen Kelantan melibatkan undang-undang buatan manusia, seperti juga kontroversi semasa. Mengapa umat Islam seperti lumpuh apabila berdepan helah PAS?" katanya menerusi laman blog beliau, hari ini.

Kerajaan Kelantan bakal mengadakan sidang khas pada 29 Disember bagi meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah II sebagai sebahagian daripada langkah membuka jalan bagi rang undang-undang persendirian dibentangkan di Parlimen, membolehkan kerajaan negeri menguatkuasakan kanun keseksaan Islam itu.

Zaid berkata hudud yang dirujuk di dalam al-Quran ialah hukuman bagi jenayah tertentu, tetapi kitab suci itu juga mengandungi banyak kisah sejarah dan cerita bersesuaian dengan masa ia diturunkan, dan juga kebenaran yang kekal untuk membimbing manusia di dunia dan akhirat.

Beliau berkata, mungkin wujud keperluan mengadakan hukuman yang keras sebagai pencegah sesuatu kesalahan berulang dan al-Quran akan tidak sempurna jika ia tidak menyebut tentang perkara itu. Tetapi katanya, tidak semua riwayat di dalam al-Quran mesti dijadikan undang-undang, sepertimana sering disebut dalam kitab itu mengenai perlunya berlaku adil, bijak dan menggunakan akal.

"Oleh itu, kita perlu menggunakan kepala dan otak kita, yang diberikan Allah, untuk mentafsirkan dan menggunakan mesej dengan betul," katanya.

Zaid memberi contoh bagaimana dalam Surah Al-Anfal, umat Islam disuruh berkongsi harta rampasan perang dengan adil tetapi hari ini, kaedah undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva harus dipatuhi dalam sesebuah peperangan.

Dalam Surah Yusuf, Zaid berkata, kisah Nabi Yusuf menyembunyikan mimpinya tentang 11 bintang, kisah saudaranya yang cemburunya cuba membunuhnya dan penolakannya terhadap ajakan seorang wanita yang sudah bersuami, jelas merupakan panduan peribadi kepada orang Islam, bukan sebagai asas undang-undang jenayah.

"Bagi hukuman potong tangan, amalan ini biasa bagi kesalahan tertentu di padang pasir di tanah Arab masa itu, seperti juga amalan membunuh bayi perempuan baru lahir.

"Ia amalan sebelum Islam – ia tidak bermakna jika anda memotong tangan seseorang kerana mencuri atau merejam penzina dengan batu, ia tindakan yang Islamik, kerana orang Arab zaman Jahiliyyah juga melakukannya," katanya.

Zaid berkata diyya (wang darah), yang boleh dibayar sebagai pampasan kepada ahli keluarga yang dibunuh, juga merupakan amalan biasa.

"Ini adalah peraturan padang pasir berkurun tahun lalu dan terdapat sebab bagi kewujudannya: tiada polis untuk menguatkuasa undang-undang, tiada sistem mahkamah, tiada sistem antarabangsa, tiada hak asasi manusia dan sebagainya.

"Kita di Malaysia mesti mentadbir diri dengan peraturan dan norma abad ke-21. Mengapa begitu sukar orang Islam abad ke-21 di negara yang hampir maju ini melihat perkara ini?" katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana