Hudud: DAP kata no way... PAS bakal bentang 29 Dis

Ini pepatah Melayu kata, tidur sebantal, mimpi lain-lain... kisah dua parti dalam Pakatan, DAP dan PAS.
Di sebalik berbagai amaran dan kecaman DAP mengenai Hudud, rakan sekutunya PAS 'jalan terus' untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam itu.

Untuk tujuan itu, persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan akan diadakan pada 29 Disember ini bagi memperkemaskan lagi Kanun Jenayah Syariah II yang dilulus pada 1993.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kerajaan Kelantan (Pindaan) 2014 akan dibincang pada persidangan tersebut.

Katanya, persidangan itu diadakan bagi mengkemaskini enakmen sedia ada sebelum dibawa untuk mendapat kelulusan di persidangan parlimen.

“Pindaan itu untuk melayakkan Kelantan membawa usul persendirian ke Parlimen bagi membolehkan ia dijalankan di negeri ini.

“Private bill itu akan di bawah di Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan bagi mendapat kebenaran Parlimen untuk melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.

“Saya berharap semua ahli Dewan mengambil bahagian dalam persidangan tersebut nanti yang akan diadakan satu hari,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan, di Kota Bahru petang Ahad.

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan membawa usul persendirian di parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah dapat dilaksanakan di Kelantan.

Kerajaan negeri juga mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri sejak lebih setahun lalu. Kelantan turut menghantar enam wakil menyertai Jawatankuasa Khas Teknikal Kebangsaan.

Ahmad juga berkata, pindaan dibuat hasil beberapa siri perbincangan dibuat Jawatankuasa Teknikal Hudud sebelum ini.

“Tidak berlaku sebarang perubahan daripada maksud asal. Kita cuma memperbaiki atau mengemaskini yang sedia ada sahaja,” ujarnya.

Ditanya mengenai bantahan kaum Cina berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Ahmad berkata pelaksanaannya hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam.

"Ini perkara tidak berbangkit sebab kita menghormati agama lain dan undang-undang hudud ini tidak melibatkan orang bukan Islam, hanya Islam sahaja dan mereka (orang bukan Islam) layak memilih untuk diadili secara sivil atau hudud," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan ke Parlimen rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud bagi dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, ia adalah hak kerajaan negeri Kelantan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya ketika merasmikan Konvensyen DAP Kebangsaan mahu pakatan pembangkang jelaskan pendirian bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, pakatan itu perlu ada dasar yang jelas, konsisten dan boleh meyakinkan rakyat.

"Kita hanya boleh berjaya sekiranya pendirian dan kedudukan kita jelas bahawa Pakatan yang memerintah di Putrajaya (nanti) tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.

"Itu mesti jelas. Kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi (berhaluan) sederhana, bukan (aspirasi) pengundi ekstrem," katanya.

Katanya, parti-parti dalam pakatan itu juga perlu ada ketetapan siapa calon perdana menteri mereka.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana