Tun Mahathir BErsuara : Pemimpin Umno Selangor harus berundur

SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata kepimpinan Umno Selangor yang sedia ada harus berundur dan diganti dengan muka baru ekoran kekalahan teruk parti itu pada dua pilihanraya umum yang lalu.

“Sesungguhnya perubahan yang diperlukan oleh UMNO Selangor ialah pembubaran dan penyusunan semula. Pemimpin-pemimpin UMNO Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka kalah dalam PRU 12 dan 13. Mereka perlu undur,” kata Mahathir dalam blognya.

Mahathir berkata amalan pemimpin Umno mencantas ahli baru yang berpotensi membawa padah di Selangor.

“Hari ini untuk mendapat calon Menteri Besar di kalangan pemimpin UMNO pun tidak ada. Ini boleh diadakan dengan ramai jika UMNO Selangor sedia menerima ahli baru,” kata beliau.

“Pemimpin UMNO biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihanraya.

"Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan UMNO tetapi memperkuatkan kedudukan mereka,” tegas beliau yang memimpin Umno selama 22 tahun.

“Nasihat” Mahathir itu menyusul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kesal kerana Umno masih menjadi pembangkang di Selangor, setelah Pakatan Rakyat merampas negeri terkaya itu pada PRU 2008.

Najib menegaskan keperluan Umno Selangor mengatur strategi dan perancangan baru namun tidak menyentuh prestasi pimpinan parti di negeri itu.

Umno Selangor yang hanya memenangi 12 kerusi di DUN  pada PRU lalu dipimpin oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Noh Omar.

Mahathir berkata penerimaan ahli baru termasuk yang berbakat adalah perubahan yang utama yang perlu dilakukan oleh UMNO Selangor.

“Ahli baru perlu juga ditapis oleh badan yang terdiri dari veteran UMNO termasuk dan Bahagian lain. Tapisan diperlukan kerana ada makhluk perosak yang ingin peralat UMNO untuk agenda peribadi mereka,” kata beliau.

Beliau juga berkata Umno juga perlu kikis imej sebagai parti rasuah dengan memastikan pemimpinnya mengamalkan cara hidup sederhana.

“Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli UMNO. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung,” kata beliau.

Mahathir juga berkata Umno harus memberikan tumpuan kepada generasi pengundi muda atau Gen-Y.

Mereka dijangka 2.5 juta pengundi atau lebih separuh daripada pengundi pada pilihan raya umum ke 14.

Mahathir berkata usaha menarik sokongan golongan ini adalah sukar kerana mereka menolak Umno kerana terpengaruh dengan nilai dan budaya barat.

“Bagi ramai dari mereka penghargaan terhadap parti dan pemerintah yang memberi peluang kepada mereka mendapat pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka tidak ada,” kata Mahathir.

“Jika disebut akan jasa parti UMNO kepada mereka, mereka menolak peringatan ini sebagai mengungkit. Lagi pun mereka berpendapat parti mana pun yang menjadi Kerajaan akan membuat perkara yang sama,” tambah beliau.

Mahathir berkata pandangan “cetek” itu berpunca daripada keengganan mereka membandingkan Malaysia dengan negara lain yang mencapai kemerdekaan pada waktu sama.

“Jika bandingan dibuat oleh mereka, sudah tentu mereka akan lihat bahawa negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama kita tidak pun dapat dimajukan, jauh sekali daripada memberi pelajaran, biasiswa dan bantuan lain supaya rakyat mereka dapat menikmati taraf hidup seperti rakyat Malaysia,” kata beliau.

Mahathir berkata UMNO Selangor hanya boleh menarik sokongan golongan ini jika mereka mendekatkan diri dengan mereka yang bukan ahli bahkan yang menentang UMNO.

“Untuk ini kepimpinan UMNO harus tahu sejarah UMNO dengan mendalam. Pemimpin yang mampu menjelas kedudukan orang Melayu dahulu dan sekarang tidak ramai. Mereka juga perlu diberi kursus,” kata beliau.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana