Teresa Kok Tidak Perlu 'Ajar' Perwakilan Berbahas - Syed Ali

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, diingatkan supaya 'tidak mengajar' perwakilan Umno berbahas dan 'memberi cadangan mengarut' menjelang Perhimpunan Agung Umno 2014 (PAU 2014) minggu depan.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pemimpin Umno tidak memerlukan pandangan DAP yang didakwanya rasis dan sedang bermasalah dengan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat.

"Saya ingatkan Teresa Kok, jangan nak menyibuk, bersihkan dulu DAP yang penuh kekotoran perkauman.

"DAP cuba mencari isu untuk mengalih perhatian rakyat berikutan perbalahan parti itu dengan PAS. Sekarang hubungan PAS-DAP dalam pakatan rakyat ibarat retak menunggu belah," dakwa Syed Ali melalui blognya, Jumaat.

Syed Ali berkata demikian apabila Teresa, seperti mana yang dilaporkan beberapa portal berita mahu perwakilan Umno membahaskan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada perhimpunan agung parti itu yang akan bermula 25 November ini.

Menyifatkan tindakan Teresa sebagai 'menyalak', beliau berkata apa yang dilakukan Teresa juga adalah satu provokasi untuk mempengaruhi perwakilan Umno.

Syed Ali mendakwa, isu 1MDB sengaja dipolitikkan oleh DAP sempena PAU 2014 bertujuan mencemarkan reputasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Tambahnya, campur tangan pihak tertentu termasuk DAP menjelang perhimpunan agung parti dilihat sebagai jarum halus untuk menghancurkan Umno.

"Teresa Kok tidak ada hak untuk mengajar perwakilan Umno supaya membahaskan isu syarikat pelaburan negara.

"Pembangkang buat fitnah kononnya 1MDB ada kaitan dengan Najib, ini semua fitnah jahat dan tidak berasas.

"Isu 1MDB sudah dijelaskan oleh kerajaan termasuk di Dewan Rakyat, tiada berlaku sebarang penyelewengan," tegasnya, sambil menambah tidak ada keperluan untuk para perwakilan membahaskan isu 1MDB.

Tambahnya, beberapa usul yang menjurus kepada kepentingan Umno dan orang Melayu telah pun ditetapkan.

"Saya berharap perwakilan Umno lebih rasional dan realistik, jangan mudah terpedaya dengan perangkap yang sedang dipasang oleh DAP dan pihak yang cuba merosakkan Umno," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin DAP itu bahawa orang Melayu terutama ahli Umno tidak pernah melupakan tindakan beliau yang mencerca dan menghina kedudukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana