Sikap membisu dalam isu Hadi cetus persoalan....

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Kegagalan Mohamad Sabu tampil mempertahankan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika ini diserang hebat dari segenap sudut oleh ahli parti itu sendiri serta DAP mencetus persoalan apa sebenarnya permainan politik orang nombor dua Pas tersebut.

Langkah menyepi Timbalan Presiden Pas itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, turut membangkitkan persoalan apakah beliau senang melihat Abdul Hadi berhempas-pulas sendirian untuk menjawab segala serangan yang dihala secara berterusan ke arahnya sejak tercetus isu Menteri Besar Selangor.
Ini kerana umum mengenali bahawa Timbalan Presiden Pas itu bukan seorang ahli politik yang suka membisu, sebaliknya beliau dilabelkan sebagai ayam sabung parti kerana terkenal dengan kelantangannya, tetapi sehingga kini tiada sebarang kenyataannya bagi membela Abdul Hadi.

Menurut bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha, sikap lepas tangan Mat Sabu dalam isu berkenaan memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan beliau kerana sudah menjadi tanggungjawab orang nombor dua parti untuk berdiri teguh di belakang presiden.

“Dalam mana-mana organisasi apatah lagi parti politik, orang nombor dua perlu menjadi regu kepada presiden. Beliau bukan sahaja perlu mempertahankan parti, malah mesti berdiri teguh di belakang presiden dengan tampil mempertahan serta mematahkan serangan pihak luar.

“Tapi ini tidak berlaku. Mat Sabu sehingga hari ini begitu ‘berat mulut’ untuk membela dan mempertahankan Abdul Hadi meskipun rakyat dapat melihat bagaimana Presiden Pas itu diserang dari segenap sudut. Sudah tentu apabila ini berlaku, wujud sesuatu tidak kena dengan Mat Sabu.

“Apakah beliau sedang merancang sesuatu atau apakah beliau berhasrat meraih sesuatu daripada kemelut yang melanda Abdul Hadi? Mat Sabu kena tampil menjawab kerana ahli parti dan rakyat kini sudah bercakap mengenai isu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Hadi yang menentang keras percaturan ‘Langkah Kajang’ oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam usaha mahu menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kedudukan Menteri Besar Selangor kini berdepan serangan tersusun daripada DAP dan beberapa pemimpin Pas sendiri.

Terbaharu, pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya yang belum disahkan, Lim Guan Eng menjadikan isu ketidakhadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang sejak kebelakangan ini atas alasan masalah kesihatan, sebagai ‘peluru’ untuk menyerang Presiden Pas itu.

Sehingga kini, hanya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dua Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali tampil mempertahankan Abdul Hadi manakala Mat Sabu berserta golongan ‘Anwarinas’ membisu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana