Riduan Tee....Beza antara Sekolah Agama, SJK

SAYA cuba mengelakkan untuk menggunakan istilah ultra kiasu setelah dinasihati oleh rakan seperjuangan, kerana ada yang beranggapan saya merujuk kepada semua orang Cina.

Walhal tidak. Tetapi, mutakhir ini serangan demi serangan mereka keterlaluan. Tidak berlapik dalam berbicara.

Ultra kiasu mempersoalkan kedudukan Sekolah Agama (SA) yang terdiri daripada murid beragama Islam sahaja, juga bersifat perkauman sama seperti Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Pertama, jawapan saya, SA tidak perkauman dan tidak rasis kerana operasinya dibenarkan oleh Perlembagaan, dan telah dipersetujui oleh semua kaum. Malah kewujudan institusi agama (Melayu) yang lain juga tidak rasis, seperti UiTM, Jakim, majlis agama, jabatan agama dan banyak perkara lain berkaitan Islam.

Kedudukan Islam bukan sahaja terkandung dalam Perkara 3, tetapi ia juga harus dibaca bersekali dengan Perkara 8, 11, 12, 121, 150 dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam. Bukti ini menunjukkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mempunyai kedudukan keistimewaan berbanding yang lain.

Melalui kuasa Perlembagaan inilah, Seksyen 36 dan 37 Akta Pelajaran 1961 digubal dan mewajibkan mana-mana sekolah yang menerima bantuan kerajaan supaya memperuntukkan pengajaran agama Islam dengan syarat jumlah pelajar di sekolah itu tidak kurang daripada 15 orang. Semua perbelanjaan bagi pengajaran itu dibiayai oleh kumpulan wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan (Mohd Salleh Abas 1985).

Fakta ini menunjukkan Islam, diberikan keistimewaan berbanding agama lain meskipun Perlembagaan turut menjamin hak kebebasan beragama. Dana awam boleh digunakan untuk pembangunan syiar Islam.

Bukan Islam di Malaysia amat bernasib baik, kerana kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembangunan SJK dan juga rumah ibadat, walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan. Inilah toleransi dan keadilan yang tidak ada tolok bandingnya.

Perlu diingatkan, lebih dari 15 buah negara di dunia menjunjung agama dalam perlembagaan negara masing-masing, mengikut siapakah yang menjadi majoriti (Kristian, Islam atau Buddha). Antara negara Kristian adalah Ireland (Perkara 6), Norway (Perkara 1), Denmark (Perkara 3), Sepanyol (Perkara 6), Argentina (Perkara 2), Bolivia (Perkara 3), Panama (Perkara 36), dan Paraguay (Perkara 3). Manakala, negara Islam ialah Afghanistan (Perkara 1), Iran (Perkara 1), Iraq (Perkara 13), Jordan (Perkara 2) dan Syria (Perkara 3) dan negara Buddha ialah Thailand (Perkara 7). Kesemua negara ini memberikan keistimewaan kepada agama mereka. Jadi, apa masalahnya?

Kedua, kesemua pelajar sekolah agama boleh menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu (BM) dengan baik. Majoriti mereka lulus BM dalam peperiksaan.

Cuba ultra kiasu kaji berapa ramai pelajar SJK yang gagal dalam BM dan langsung tidak boleh berkomunikasi dalam BM, sehingga kelas peralihan (remove class) terpaksa diwujudkan bagi membantu.

Ketiga, dahulu SA kebanyakan dibangunkan oleh rakyat atau umat Islam, termasuk dana bantuannya. Ia dikenali sebagai SA Rakyat (SAR). Sekolah agama bantuan penuh kerajaan tidak banyak, berbanding bilangan SJK berganda-ganda bilangannya yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan hari ini.

Keempat, saya adalah kalangan anak Cina pada usia belasan tahun yang mengikuti kelas agama dan mengambilnya dalam peperiksaan. Sepanjang P&P yang berlaku, ustaz atau ustazah tidak pernah tanamkan kebencian kepada kaum lain (bukan Islam), kerana Islam tidak membenarkan.

Kelima, SA menggunakan bahasa pengantar BM, sedangkan SJK menggunakan bahasa asing (ibunda). Sudah tentu tahap kesayangan murid terhadap bahasa berbeza. Murid SJK lebih sayang bahasa ibunda dari bahasa kebangsaan. Mungkin di sini wujud tuduhan perkauman itu.

Keenam,  mungkin kepada sesetengah kaum, agama itu tidak penting. Tetapi tidak kepada umat Islam. SA bertujuan untuk mendalamkan pengetahuan umat Islam terhadap Islam. Mudah-mudahan dengan ajaran tersebut, mereka akan menjadi semakin baik dan bertoleransi.

Kesimpulannya, jika ditakdirkan orang Melayu tidak faham Islam ketika mana penghijrahan itu berlaku, apakah kita ada seperti hari ini? Justeru, berpada-padalah bila bercakap. Ingatlah, melalui kefahaman Islam itulah yang menjadi kita boleh hidup selesa dan kaya-raya di sini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana