Pas degil, DAP terluka yang amat dalam

SUASANA panas hubungan dalam PR dilihat masih belum reda meskipun krisis Menteri Besar Selangor telah menemui noktah apabila Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu pada 23 September lalu.

Perbalahan antara PKR, DAP dan Pas terus berlarutan dan terbaru ketidakhadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR menjadi isu apabila DAP menggesa Abdul Hadi hadir untuk mesyuarat pada masa akan datang.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam Pas, maka kehadiran beliau penting untuk mengukuhkan gabungan dalam PR.

Namun, dikhabarkan ketidakhadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat tersebut adalah atas faktor kesihatan.

Gesaan DAP itu menerima pelbagai maklum balas daripada pimpinan Pas yang rata-rata tidak berpuas hati dengan ‘suara’ DAP tersebut.

Minggu lalu, Guan Eng dilaporkan menyindir parti dalam PR yang disifatkannya ‘cakap tidak serupa bikin’ tetapi beliau tidak menyebut nama parti tersebut namun dipercayai sindiran itu merujuk kepada Pas.

Penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berpendapat, sindiran mahupun teguran DAP terhadap Pas itu merupakan lanjutan daripada krisis-krisis sebelum ini.

“Ini merupakan lanjutan apa yang berlaku beberapa bulan lepas berkaitan dengan isu menteri besar. Akibat daripada apa yang dilihat DAP sebagai kedegilan Pas untuk tidak mahu melenturkan pendiriannya sesuai dengan prinsip dan aspirasi yang dipegang oleh PR.

“Ekoran daripada itu, lukanya amat dalam dan mengambil masa untuk sembuh. Malah, berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang, berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama lagi kalau berterusan tindakan yang bersifat bertolak ansur dan mahu merapatkan balik barisan itu tidak dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan DAP yang terus menghalakan kritikan, teguran atau komen yang negatif kepada kepimpinan Pas, ia akan memberi kesan bukan saja kepada pemimpin tersebut malah kepada penyokong Pas itu sendiri.

“Mereka (penyokong Pas) sudah tentu tidak mahu berdiam diri. Mereka akan bertindak balas dan masing-masing akan menyatakan keburukan (sesama sendiri) di khalayak ramai.

“Ini tidak baik bukan saja untuk DAP dan Pas tapi tidak baik untuk PR ketika mereka seharusnya melupakan saja...tinggalkan di belakang apa pun yang terjadi beberapa bulan lalu. Sebaliknya harus bergerak ke depan untuk memantapkan kedudukan PR,” katanya.

Jelasnya lagi, PR perlu dilihat sebagai satu pakatan yang berwibawa dan parti alternatif yang lebih baik daripada parti pemerintah.

“Kalau mereka asyik berkelahi, mungkin rakyat akhirnya akan bertanya, apa bezanya PR dengan BN?,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain mendakwa, hubungan PR sudah retak menanti belah apabila konflik yang berlaku berterusan sejak dulu tanpa ada penyelesaian.

“Hubungan mereka ke depan ini mungkin berlaku keretakan kerana sekarang ini pun sudah retak tapi belum lagi nak pecah belah. Tapi kalau ada insiden yang memecahkan mereka, saya fikir PR akan habis.

“Pas pun sekarang ini bukan kuat sangat. Ada Pasma (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia)...ada 'Anwarinas'. Pas sekarang kelam kabut tidak seperti dulu. Abdul Hadi berdepan dengan konflik perpecahan dalam Pas sekarang ini malah, ahli Pas kini tidak lagi berpegang pada prinsip perjuangan,” katanya.

Sementara penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ‘permusuhan’ yang diterjemahkan DAP terhadap Pas adalah khusus kepada Abdul Hadi yang memainkan peranan penting dalam beberapa krisis sebelum ini.

“Kalau sekarang ini, nampak macam DAP tidak bersetuju dengan Pas itu...bukan tak setuju dengan Pas tapi lebih kepada tak setuju dengan Abdul Hadi dan kepimpinannya serta penyokongnya," katanya.

Mengulas perkara sama, Ketua Kluster Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Mansor Mohd Noor pula melihat parti komponen dalam PR ini mempunyai matlamat sama namun terlampau sempit.

“Masalah PR ini mereka mempunyai matlamat sama yang terlampau sempit iaitu untuk menjatuhkan Umno dan ke Putrajaya. Matlamat untuk membina budaya politik bersama itu tiada.

“Mereka lebih melihat perbezaan antara satu sama lain daripada banyaknya persamaan. Pada saya, banyak persamaan DAP, Pas dan PKR ini. Teras mereka keadilan.

"Walaupun ideologi parti mereka berbeza tapi cara mereka berfikir adalah hampir sama, iaitu keadilan,” katanya.

Tegasnya, PR perlu membina budaya politik perkongsian bersama bagi mengelakkan pakatan itu rapuh seterusnya roboh.

“Mereka mesti pergi melebihi daripada matlamat asas untuk menjatuhkan Umno.

“Mereka bersama itu untuk apa? Membangunkan negara, memajukan negara, mendamaikan negara...kalau itu tidak ada dalam perjuangan PR, pada saya mereka masih di takuk lama dan tidak boleh menjadi pembangkang yang efektif kerana tidak meletakkan negara sebagai teras,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana