LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG YANG TIDAK PANDAI MENTADBIR NEGERI HANYA TAHU BERPOLITIK

Tidak semua pemimpin yang pandai mentadbir biarpun dikategorikan sebagai bijak berpolitik.

Ini kerana politik itu 1001 macam pembohongan yang boleh dibuat hanya kerana mahu mendapatkan undi seperti mana yang dibuat Pakatan Pembangkang dalam pilihan raya.

Pun begitu, biarpun bijak berpolitik, tetapi ini tidak bermakna mereka ini bijak mentadbir seperti yang ditunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terkenal dengan lidah bercabang.

Akibatnya pelbagai macam kontroversi yang melanda pemerintahannya sepanjang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang masuk dua penggal.

Laporan portal berita online The Malaysian Insider bertarikh 14 November 2014 yang bertajuk “As profits rise, Penang spends more on its people” berjaya mencengkam perhatian saya terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang melibatkan beberapa isu kontroversi mengenai pentadbirannya. Hakikatnya, kenyataan beliau bukan sahaja gagal menjawab kontroversi-kontroversi ini malah lebih banyak menimbulkan kekeliruan semata-mata.

Fakta 1
Kenyataan oleh Lim Guan Eng kepada The Malaysian Insider sebagai berkata “tuduhan bahawa kerajaan telah menjual tanah untuk menjana pendapatan tidak benar” (“accusations that the state had been selling land to generate revenue were not true.”)

Jika begitu keadaanya, Ketua Menteri Pulau Pinang ini harus menjelaskan kepada rakyat dari mana datangnya wang untuk dibelanjakan bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri yang meningkat sebanyak empat kali ganda? Adakah hasil daripada cukai taksiran yang dikenakan kepada rakyat?

Malah kenyataan beliau juga bercanggah dengan Laporan Ketua Audit Negara 2012 dengan jelasnya menyatakan bahawa Perbelanjaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkat hampir dua kali ganda daripada RM283 juta pada tahun 2008 kepada RM540 juta pada tahun 2012. Hasil tahunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkat daripada RM371 juta pada tahun 2008 kepada RM654 juta pada tahun 2012. Namun hakikatnya, hasil cukai hanya meningkat sedikit sahaja daripada RM110 juta pada tahun 2008 kepada RM116 juta pada tahun 2012.

Ini jelas bahawa pertumbuhan hasil cukai tahunan adalah rendah sedangkan perbelanjaan kerajaan negeri setiap tahun bertambah dua kali ganda. Persoalannya ialah bagaimana kerajaan negeri menguruskan negeri tanpa mengalami defisit dalam bajet? Jawapannya mudah iaitu melalui hasil bukan cukai.

Dalam jadual 4.13, Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyatakan bahawa “Premium Tanah – Pemberian Hak Milik” telah meningkat 10 kali ganda iaitu RM19 juta pada tahun 2008 kepada RM206 juta pada tahun 2012. Malah, Jadual 4.14 pula menjelaskan berlakunya peningkatan pendapatan kerajaan negeri antara tahun 2011 dan 2012 melalui Premium Tanah iaitu penjualan tanah di Bayan Mutiara melibatkan RM110 juta yang merupakan sebahagian daripadanya ialah pembayaran jualan tanah bernilai RM1.07 bilion yang dilakukan pada awal tahun 2012.

Maka ini menyimpulkan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat masa kini adalah bergantung secara langsung dengan aktiviti penjualan tanah secara drastik dan menyokong fakta bahawa stok tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya tinggal 6% sahaja berbanding 18% pada tahun 2008.

Fakta 2
Kenyataan Lim Guan Eng juga dalam portal berita yang sama bahawasanya “Sejak tahun 2008, negeri ini tidak pernah melupuskan mana-mana lot yang besar milik kerajaan negeri kepada sektor swasta. Tanah yang telah dilupuskan adalah terpencil dan merupakan tanah kediaman untuk Kampung-Kampung Baru, Lim berkata PR hanya menjual 1.1 ekar tanah di Jalan Zainal Abidin (RM10.2 juta) dan 102 ekar tanah di Bayan Mutiara (RM1.1 bilion) sejak mengambil alih pentadbiran negeri (Since 2008, the state did not dispose of any large lots belonging to the state to the private sector. Lots that were disposed of were only secluded ones and residential land for new villages, Lim said PR had only sold 1.1 acres on Jalan Zainal Abidin (RM10.2 million) and 102 acres in Bayan Mutiara (RM1.1 billion) since taking over the state administration.)

Laporan Bernama bertarikh 11 November 2011 melaporkan tanah di Bayan Mutiara dijual kepada Ivory Properties dengan nilai RM1.07 bilion. Manakala laporan The Malaymail Online bertarikh 11 Oktober 2013 pula melaporkan tanah di Batu Kawan dijual kepada PE Land dengan nilai RM65.34 juta. Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu sendiri bertarikh 12 Januari 2014 melibatkan penjualan tanah juga di Batu Kawan kepada Aspen Vision (49% dimiliki oleh Ivory Properties) yang bernilai RM484 juta turut dirujuk. Laporan The Star bertarikh 26 Mac 2014 pula melaporkan penjualan tanah di Batu Kawan kepada Paramount Group yang bernilai RM67 juta serta laporan The Star bertarikh 15 September 2014 pula melaporkan penjualan tanah kepada syarikat Eco World yang bernilai RM1.02 bilion.

Bagaimana seorang Ketua Menteri dengan begitu mudah lupa akan fakta-fakta penjualan tanah ini dan tidak disebutkan langsung dalam kenyataannya?

Fakta 3
Kenyataan seterus yang dibuat oleh Lim Guan Eng ialah PDC menjual tanah kepada pemaju swasta untuk tujuan tertentu. Tanah tersebut dijual adalah untuk tujuan awam,”Kami menjual tanah itu kepada Aspen kerana kita mahu membawa (perabot kedai runcit) Ikea ke Pulau Pinang.” (Lim earlier said at a press conference that PDC sold land to private developers for specific purposes. he lands sold were for public purposes” “We sold the land to Aspen because we want to bring (furniture retail outlet) Ikea to Penang.)

Tanah yang dijual kepada syarikat Aspen adalah berskala besar iaitu melibatkan 245 ekar tanah. Apakah Ikea bercadang untuk membina dan membuka gedung jualan perabut terbesar di dunia bertempat di Pulau Pinang?

Fakta 4
Dan kenyataan beliau mengenai dakwaan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang ketika dibawah Barisan Nasional telah menjual sekurang-kurangnya 3,661 ekar tanah dengan nilai sebanyak RM1.058 bilion sedangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah PR pula hanya menjual 103.1 ekar tetapi pulangan yang lebih tinggi iaitu RM1.11 bilion (BN had sold at least 3,661 acres for RM1.058 billion over the years while PR only sold 103.1 acres. However, we got higher returns at RM1.11 billion.)

Saya memetik kenyataan Lim Guan Eng yang disiarkan dalam www.fz.com bertarikh 28 Jun 2014 mengenai senarai tanah yang dijual oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dibawah pentadbiran Barisan Nasional ialah 980 ekar tanah di Tanjung Tokong (Tanjung Pinang) pada RM1 setiap kaki persegi, 325 ekar tanah di Jelutong Expressway pada RM20 setiap kaki persegi, 750 ekar di Batu Kawan pada RM3.24 setiap kaki persegi dan 1,606 ekar tanah di Butterworth pada RM8.40 setiap kaki persegi. Kecuali tanah di Batu kawan, kesemua isu yang dinyatakan oleh beliau merupakan perjanjian penambakan tanah dan bukannya penjualan tanah.

Perjanjian melibatkan 980 ekar tanah di Tanjung Tokong (Tanjung Pinang) telah ditandatangani pada tahun 1990 dan hakikatnya ia adalah projek penambakan yang telah dianugerahkan 15 tahun yang lalu dan harga RM1 adalah hak untuk menuntut semula tanah yang ditambak dan pemaju masih perlu membayar premium tanah serta memulangkan semula 10% tanah yang ditambak kepada kerajaan negeri secara percuma.

Situasi yang sama juga berlaku dalam isu 325 ekar tanah di Jelutong Expressway yang pada asalnya bukan tanah tetapi ditambak oleh pemaju. Perjanjian ini ditandatangani pada tahun 1997 dan pemaju telah diberi hak untuk menuntut semula 325 ekar tanah sebagai pertukaran untuk membina Lebuhraya Jelutong dengan kos anggaran RM300 juta dengan bayaran RM25.4 juta.

Manakala perjanjian melibatkan 750 ekar tanah di Batu Kawan pula ditandatangani pada tahun 2004 bagi memudahkan urusan pemindahan Penang Turf Club ke Batu Kawan. Pemaju sepatutnya membina pusat ekuestrian baru tanpa sebarang kos bagi pihak Penang Turf Club tetapi projek tersebut dibatalkan. Berdasarkan kenyataan di laman sosial Facebook milik Ketua Menteri Pulau Pinang yang bertarikh 5 April 2011 menyatakan bahawa Parcel 1, 2A, 2B 3A, 3B yang berukuran 450 ekar tanah dan diperuntukkan untuk pembangunan industri dan bukan untuk pembangunan kediaman atau komersial yang menguntungkan.

Sementara parcel 1 dan 2A (150 ekar tanah) telah ditandatangani pada 16 Januari 2004 manakala Parcel 2B, 3A dan 3B (300 ekar tanah) telah ditandatangani oleh Lim Guan Eng sendiri pada 5 Apr 2011 dengan harga RM 3 setiap kaki persegi. Maka jelas bahawa hanya 150 ekar tanah telah ditandatangani oleh kerajaan BN pada tahun 2004 dan dijual pada harga RM3.24 setiap kaki persegi sedangkan 300 ekar tanah telah ditandatangani oleh kerajaan DAP pada tahun 2011.

Nilai pasaran bagi tanah di Batu Kawan pada tahun 2011 adalah hanya RM15 setiap kaki persegi dan kini nilainya lebih tinggi selepas pembukaan jambatan kedua Pulau Pinang. Ini menjadikan tanah dijual pada tahun 2004 pada harga RM3.24 setiap kaki persegi tidak dianggap sebagai berlebihan.

Perjanjian 1997 yang menyaksikan pemaju diberikan hak untuk menambak tanah melibatkan 1,606 ekar tanah di Butterworth. Dibawah perjanjian ini, pemaju telah diberikan hak untuk menambak tanah dengan 900 ekar tanah diperuntukkan untuk kerja-kerja memperluaskan Terminal Kontena Butterworth Utara serta apa-apa kegunaan yang berkaitan dengan pelabuhan dan zon penampan untuk kegunaan pelabuhan pada masa hadapan. Manakala 706 ekar tanah pula diperuntukkan untuk pembangunan oleh firma tersebut dengan kira-kira 200 ekar tanah diperuntukkan untuk infrastruktur awam serta kawasan lapang. Dan ini perlu diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.

Di samping itu, firma berkenaan juga perlu membina tujuh kuarters kerajaan di Bertam dalam masa tiga tahun. Ini bermakna firma berkenaan hanya mempunyai kira-kira 500 ekar tanah untuk dibangunkan dengan selebihnya diserahkan semula kepada kerajaan negeri. Malah, pemegang konsesi juga membiayai lebuh raya 5 kilometer daripada Butterworth ke Kulim Expressway bermula dari Butterworth. Sebagai balasan, syarikat tersebut dibenarkan mengutip tol di plaza tol Sungai Nyior.

Nasihat buat Ketua Menteri Pulau Pinang
Tuan Ketua Menteri, akuilah bahawa anda telah menjual tanah milik kerajaan negeri untuk menguruskan perbelanjaan negeri. Walaupun hakikatnya adalah untuk rakyat namun mengurus negeri dengan menjual tanah milik negeri bukan sistem ekonomi yang mampan dan cekap. Dan secara jujur, mohon untuk hentikan menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional. Adalah sadis bunyinya apabila anda sudah memerintah selama enam tahun tetapi masih berkecendurungan untuk menyalahkan pentadbiran yang lepas sedangkan realitinya itu tidak mencerminkan kredibiliti seorang Ketua Menteri yang berprinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

Sumber: Edwin Michael merupakan pensyarah Universiti Tuanku Abdul Rahman

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana