‘Kontrak sosial’ tak wujud, Tunku pinda Perlembagaan asal – HINDRAF

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Hak Hindu (HINDRAF), P. Waytha Moorthy berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin perlu berhenti mengingatkan rakyat bukan Melayu negara ini mengenai ‘janji asal’ mereka dalam ‘kontrak sosial’ yang dipersetujui dalam proses mendapatkan kemerdekaan.
Sebaliknya aktivis masyarakat Hindu itu menggesa Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan agar mengkaji semula setiap lembaran dokumen sejarah kemerdekaan negara dari penjajah British yang didakwanya telah dimanipulasi.
Moorthy mendakwa ‘janji asal dalam kontrak sosial’ itu sebenarnya tidak wujud, sebaliknya beliau menuduh perdana menteri pertama dan bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berpakat secara sulit dengan kerajaan British untuk meminda Perlembagaan asal negara untuk diselaraskan dengan agenda ‘ketuanan Melayu’ beliau.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu melabelkan kaum bukan Melayu sebagai ‘anti-Melayu’ dan ‘pendatang’ serta sering dikecam sebagai tidak bersyukur kerana tidak menyokong Barisan Nasional (BN) menegaskan, rakyat bukan Melayu adalah aset kepada negara ini.
“Kalaulah semua kaum India dan Cina meninggalkan negara ini pada tahun 1957, saya secara peribadi boleh mengatakan Malaya akan jatuh muflis serta-merta.

“Saya kata begitu berdasarkan bukti dokumen-dokumen yang telah saya lihat dan miliki,” dakwa Moorthy.
“HINDRAF terkejut kerana polemik ‘kontrak sosial’ terus digunakan pemimpin kerajaan demi kelangsungan cita-cita politik mereka, khususnya pada setiap kali Perhimpunan Agung UMNO,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.
Sehubungan itu, kata beliau lagi HINDRAF menggesa kerajaan agar mengklasifikasikan semula semua dokumen berkaitan dengan kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat melihat sendiri kandungan asalnya.
“Sudah tiba masanya kerajaan mendedahkan semua dokumen berkaitan dengan kemerdekaan dan membiarkan seluruh rakyat Malaysia melihat sendiri apa yang asalnya dipersetujui oleh nenek moyang kita.
“Tunku Abdul Rahman telah memungkiri janjinya sendiri kepada Suruhanjaya Reid untuk menggubal Perlembagaan negara ini berpaksikan prinsip masyarakat berbilang kaum apabila beberapa bulan kemudian beliau dan kerajaan British secara sulit menulis semula Perlembagaan untuk disesuaikan dengan agenda beliau,” dakwa Moorthy lagi dalam kenyataannya.
Moorthy terus mendesak agar konsep ‘Ketuanan Melayu’ ditamatkan dan menegaskan Malaysia hanya boleh maju dan makmur jika mengamalkan dasar terbuka di mana kekayaan negara dikongsi oleh semua rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana