Mabuk Politik Berterusan Di Selangor....Contoh Yang BAik Ker Begini?

Di sekolah mahupun di universiti, pelajar termasuk guru dan pensyarah dilarang meminum sebarang minuman keras di kawasan awam.

Namun begitu, sehingga kini tiada larangan khusus bagi pelajar dan pensyarah untuk menjauhkan diri daripada minuman keras tersebut di luar kawasan sekolah mahupun universiti.

Akan tetapi, kalau ada guru dan pensyarah yang ingin minum minuman keras, mereka wajib tidak melakukannya di depan pelajar kerana tindakan tersebut akan dilihat sebagai satu tindakan menggalakkan para pelajar untuk turut sama mengambil minuman keras.

Sama ada seseorang itu akan mendekati arak amat bergantung kepada pegangan kepercayaan masing-masing. Bagi pengikut tegar agama Buddha dan orang Islam contohnya, arak dan minuman keras tergolong dalam kategori haram.

Dalam kebanyakan keluarga bukan Islam, kehadiran arak di rumah adalah perkara biasa.

Namun sebagai ibu bapa, jarang ada yang menggalakkan anak-anak untuk minum minuman keras tersebut.

Malah mereka sebenarnya bimbang anak-anak yang minum minuman keras ini tidak pandai mengawal pengambilannya sehingga mendatangkan malapetaka pada diri.

Mereka juga bimbang anak-anak ini kehilangan nyawa ketika memandu setelah menikmati minuman keras.

Walaupun mengambil minuman keras satu perkara biasa di keluarga bukan Islam, ia bukan sesuatu yang digalakkan.

Isu utama mengenai arak ini bukanlah dari segi halal dan haram tapi pada tindakan menggalakkan lebih ramai orang untuk turut sama menikmati minuman keras.

Apakah tujuan syarikat rokok membuat iklan terbuka? Ia bertujuan untuk menarik perokok baru. Akibat itu, kerajaan telah lama menghalang sebarang syarikat rokok daripada membuat iklan secara terbuka, tapi tidak pernah menghalang penjualannya.

Sama juga dengan syarikat arak. Tujuan mereka mengadakan pesta atau iklan adalah sama dengan tujuan syarikat rokok membuat iklan – iaitu untuk mencari pelanggan baru. Apakah mereka akan kisah siapa pelanggan baru mereka? Tidak sama sekali.

Tindakan Pas membantah pesta arak Oktoberfest ini ada positifnya. Mereka sebenarnya membantah tindakan membenarkan promosi menggalakkan lebih ramai orang mendekati minuman keras.

Bantahan Pas itu sebenarnya bagus sebagai satu peringatan kepada Umno sebagai kerajaan pusat supaya jangan lalai pada tanggungjawab sosialnya. Untuk merenungkan – “Mengapa arak diberikan layanan berbeza berbanding rokok?”

Akan tetapi, yang terlebih terasa tertekan dengan bantahan Pas ialah pemimpin politik bukan Islam.

Tidak senang dengan bantahan Pas, ada pemimpin politik bukan Islam yang mengambil tindakan menyebarkan gambar mereka menghadirkan diri di Oktoberfest dengan mesej-mesej politik kononnya tindakan tersebut adalah untuk mempertahankan hak bukan Islam untuk menikmati arak.

Barangkali mereka ini yang sering mengingatkan Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi Perdana Menteri bagi rakyat Malaysia terlupa bahawa mereka juga perlu menunjukkan tauladan yang baik sebagai pemimpin untuk rakyat Malaysia dan bukan sesetengah kaum sahaja.

Apakah mereka masih belum sedar dari mabuk krisis MB Selangor sehingga terlajak dengan aksi ini hanya kerana yang membantahnya datang dari Pas?

Bantahan Pas itu bukanlah bermakna Pas memperjuangkan agar arak dilarang dijual sama sekali di Malaysia.

Seperti rokok, arak kekal boleh dijual di mana-mana. Hak bukan Islam untuk menikmati arak itu tidak pernah dipertikaikan. Yang menjadi fokus ialah bantahan terhadap tindakan menggalakkan lebih ramai orang mendekati minuman keras.

Apa-apa tindakan yang menggalakan lebih ramai orang menjadi perokok dan minum minuman keras secara awam mesti dihalang sebagaimana di sekolah dan universiti.

Mana-mana amalan yang tidak membina generasi bermoral mesti dikawal dan dipantau agar anak-anak kecil dan remaja tidak diambil kesempatan oleh mereka yang inginkan keuntungan semata-mata.

Inisiatif Pas untuk menyuarakan bantahan kepada Oktoberfest adalah berniat baik atas sifatnya sebagai gerakan Islam. Tindakan itu boleh membantu menyedarkan Umno bahawa perkara ini sesuatu yang tidak wajar dipromosikan sebagaimana rokok, bukan sahaja di Selangor tapi juga di negeri-negeri di bawah BN seperti Melaka.

Yang marah pada Pas membantah Oktoberfest ialah orang yang pelik. Kerana kalau Pas tidak membantah, itu lagi pelik. Yang tak pelik ialah tindakan golongan pro-Umno yang tidak membantah Oktoberfest di Melaka tapi membuat bising di Selangor sahaja.

- Timmy Say

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana