Konflik dalaman PAS umpama 'kocak air dalam cawan' - Ahli Majlis Syura Ulama

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulama PAS menegaskan konflik dua aliran yang berlaku dalam parti itu adalah perkara biasa sambil menyifatkan pertembungan itu umpama 'kocak air dalam cawan'.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, berkata perkara itu terjadi ekoran terdapat salah faham mengenai wala' yang diungkapkan oleh ahli parti.

"Saya berat juga untuk mengatakan bahawa ada pertembungan antara profesional dan ulama sebab ada profesional yang menyokong ulama dan menyokong kepimpinan ulama.

"Adapun ucapan daripada presiden ataupun mereka tidak menyokong presiden ataupun membantah beberapa perkara yang dibangkitkan oleh presiden itu mungkin salah faham mengenai persoalan wala," katanya kepada Antarapos.

Justeru veteran PAS ini menjelaskan percanggahan atau perbezaan pendapat antara golongan ulama dan profesional boleh ditangani dengan berpandukan kepada kaedah wa'la (ketaatan).

"Dalam kita faham wala' itu mesti kepada pemimpin tapi apabila ada sesiapa sahaja bukan pada kalangan profesional sahaja, ada juga kadang-kadang orang yang berlatarbelakangkan agama pun wala' dia tidak kepada pemimpin.

"Jadi kerana itu timbul sedikit (percanggahan) macam bagi saya perkara ini seperti kocak dalam cawan sahaja dan ada hikmahnya sebalik itu," katanya.

Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang melabuhkan tirai pada 20 September lalu 'panas' selepas beberapa perwakilan 'menembak' beberapa pimpinan yang didakwa tidak 'sebulu' dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, Haron turut membidas pemimpin tertentu yang gagal menghormati bidang kuasa dan tindakan Majlis Syura Ulama berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Haron dan golongan ulama parti itu menyokong tindakan Abdul Hadi menolak hasrat  PKR-DAP untuk mencalonkan hanya presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Menteri Besar.

Muktamar kali ini turut dipanaskan lagi dengan insiden perbahasan dalam bentuk doa munajat oleh wakil Wilayah Persekutuan yang turut membidas beberapa individu khususnya yang berkait dengan isu kemelut Menteri Besar Selangor.

**Henti segera perbalahan, elak kesan buruk**

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Dtk Dr Mahfodz Mohamed menggesa pimpinan parti agar menghentikan sebarang perbalahan yang wujud dan memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur organisasi.

Tegas beliau, perbezaan pandangan antara golongan ulama dengan profesional yang berlaku Selangor sekiranya  berterusan boleh menimbulkan kesan buruk terhadap PAS.

"Dalam PAS kedua-dua golongan ini bagi saya memang memerlukan antara satu sama lain dan perkara ini pun dah lama walaupun wujud daripada 1983.

"Tapi PAS sejak daripada awal penubuhannya memang bukan daripada satu kelompok sahaja, bukan ulama sahaja," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, parti berteraskan Islam itu pernah diterajui individu yang bukan berlatarbelakangkan agama.

"Jadi sejak daripada awal penubuhannya walaupun diasaskan oleh banyak ulama tapi pada peringkat yang kedua seorang doktor dah mengetuai PAS," katanya.

Untuk rekod keputusan Majlis Syura Ulama itu ditentang oleh beberapa pemimpin kanan Jawatankuasa Pusat PAS yang akur hak PKR menentukan wakilnya untuk menyandang jawatan itu.

Tindakan Abdul Hadi itu juga mencetuskan perbalahan terbuka di dalam Pakatan Rakyat, malah ia disifatkan krisis paling serius sejak gabungan pembangkang itu ditubuhkan menjelang pilihan raya umum pada tahun 2008.

Namun Haron mengesahkan Majlis Syura ulama PAS menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi berkaitan Wan Azizah.

**PAS tak boleh halang kemasukan golongan profesional**

Tambah Mahfodz, perkara terpenting yang perlu dipegang ahli adalah menyatakan kesetiaan kepada pimpinan selain mematuhi keputusan Majlis Syura Ulama.

"Bagi saya antara ulama dan profesional ini bukanlah perkara baru, boleh diuruskan bila masing-masing tahu tentang matlamat PAS, objektif PAS,  dan juga dasar kepimpinan ulama

"Jadi bagi saya bukanlah semestinya kepimpinan ulama, sebenarnya ulama memang memerlukan antara satu sama lain." katanya.

Ujar Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS ini lagi,  golongan ulama dan profesional mempunyai peranan yang sama penting menambah PAS tidak membuka laluan kepada kumpulan tertentu sahaja.

"Kalau nak supaya PAS terus berjaya bukanlah semestinya dengan ulama sahaja ataupun semata-mata dengan golongan profesional sahaja.

"Mesti ada kedua-dua itu, tak boleh dielakkan kerana bab ini parti yang tentukan bukan hanya kita buka pada satu golongan," katanya.

PAS berpegang kepada Islam menjadi dasar perjuangan selain meletakkan konsep Majlis Syura Ulama pada tahap tertinggi maka setiap tindakan seluruh ahli sama ada presiden atau ahli biasa adalah tertakluk kepada ketetapan badan tertinggi pembuat keputusan parti itu.

Selain itu, ahli PAS juga telah ditarbiahkan untuk menyatakan kesetiaan kepada pimpinan dan satu tindakan yang tidak wajar sekiranya ahli mengeluarkan kenyataan yang membidas presiden.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana