Kes culik pelajar Politeknik... TIPU

Selepas menjadi tajuk berita utama hampir semua media pada Sabtu, awal pagi Ahad polis mengesahkan kes dakwaan seorang pelajar kononnya diculik di Johor Bahru dan sedar di Dungun Terengganu adalah satu pembohongan.
Pelajar berusia 20 tahun itu sebelumnya mendakwa kononnya diculik bersama tujuh kanak-kanak lain untuk dijual di Thailand malam tadi, polis dan media gempar sebelum kes itu disahkan palsu.

Dia yang merupakan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Johor Bahru, membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada pukul 7.15 pagi ini.

Kisah gempar itu yang turut tersebar di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sejak Sabtu, membuatkan polis melakukan operasi khas bagi mengesannya, yang kononnya menuju ke Thailand.

Kes itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberitahu, siasatan polis mendapati pelajar berkenaan gagal menyiapkan tugasan diberikan pensyarah dan kerana ketakutan, dia telah membuat laporan polis palsu.

“Polis akan mendakwa pelajar tersebut kerana membuat laporan palsu,’’ katanya.

Kes itu turut mendapat perhatian pihak pengurusan PIS yang juga membuat laporan polis bagi membantu siasatan pelajarnya yang merupakan penuntut semester lima jurusan Diploma Rekaan Fesyen.

Difahamkan, mangsa ke Dungun kerana ingin berjumpa rakannya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam laporan polis yang dibuat pelajar itu, dia mendakwa telah diculik sekumpulan lelaki dengan menaiki sebuah lori bertutup kanvas untuk dijual di Thailand.

Apa yang mengejutkan, pelajar terbabit mendakwa bersama-samanya di dalam lori tersebut ialah tujuh kanak-kanak lain.

Dalam laporan polis, dia mengaku diculik pada pukul 9.30 malam semasa mahu membuka pintu pagar rumah sewanya untuk membeli makanan sebelum muncul tiga lelaki lalu membawanya menaiki sebuah lori bertutup kanvas.

Dia kemudiannya mengaku tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja tersedar, pelajar itu mendapati telah berada di bahagian belakang lori terbabit bersama-sama tujuh kanak-kanak.

Pada waktu itu, dia mengaku berasa amat takut menyebabkannya tidak sempat mengecam nombor pendaftaran lori terbabit.

Dakwa pelajar itu, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan kesemua mangsa dikatakan menuju ke Kelantan sebelum memasuki Thailand untuk dijual.

Pelajar itu dalam laporannya memberitahu, semasa berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran Hospital Dungun, kira-kira pukul 7.15 pagi ini, iaitu hampir 10 jam perjalanan, dia bertindak terjun daripada lori dan melarikan diri.

Dia kemudian meminta bantuan seorang penjual akhbar di sebuah kedai yang terletak kira-kira 200 meter dari stesen minyak berkenaan sebelum dibawa seorang penduduk ke IPD Dungun untuk membuat laporan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana