JAKIM Siasat Penyamaran Penganjur Kempen Sentuh Anjing

KUALA TERENGGANU 24 Okt. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat kemungkinan wujud unsur penyamaran oleh penganjur program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ yang mendapat kecaman hebat umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bagi mengenal pasti sejauh mana dakwaan penyamaran oleh penganjur program terbabit.

Katanya, Jakim juga akan memanggil penganjur program berkenaan dalam waktu terdekat bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perkara itu.

“Jakim akan panggil penganjur untuk dapatkan perincian supaya memberikan pandangannya mengenai kedudukan sebenar, jangan kita terperangkap dengan isu ini.

“Sebenarnya Islam tak bencikan binatang tapi atas batas-batas hukum yang ditetapkan syarak termasuk berkaitan najis berat atau mughallazah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Multaqa' Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Rozali Salleh.

Jamil Khir menarik perhatian, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya semalam turut merumuskan empat isu besar iaitu menyentuh anjing, menyertai kumpulan pejuang di negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pendermaan rahim.

Mengenai ISIS, beliau berkata, jawatankuasa itu mendapati hasil kajian serta hujah nas syarak menunjukkan umat Islam khususnya di negara ini masih keliru mengenai konsep sebenar jihad dan mati syahid.

“Perjuangan mereka atas nama jihad adalah sia-sia dan bukan tergolong sebagai syahid. Seluruh ulama di dunia bersepakat dalam menentukan kedudukan ISIS iaitu bukan jihad,” katanya.

Berkaitan isu menyentuh anjing, katanya, muzakarah Fatwa me­negaskan ia bertentangan dengan amalan umat Islam di negara ini yang berpegang kepada mazhab Syafie bahawa hukum menyentuh haiwan itu adalah najis berat atau mughallazah.

“Isu GST pula, agama Islam mengharuskan pemerintah atau kerajaan untuk kutip cukai dan ia perlu dilakukan dengan kerangka syarak manakala dalam isu derma rahim pula, Majlis Fatwa mengambil ketetapan tidak diharuskan kecuali dalam keadaan darurat,” jelas beliau.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana