Forum Sabah dalam atau luar Malaysia: Rahman Dahlan jawab isu Perkara 20

Gerakan subversif yang mahu membawa Sabah kelar dari Malaysia nampaknya perlu dilawan dengan cara melawan komunis, iaitu kerajaan memenangi hati dan pemikiran rakyat itu sendiri.
Selain dari tindakan keras pihak berkuasa seperti polis, ahli-ahli politik juga berperanan untuk menerangkan letak duduk perkara tersebut, supaya ianya jelas di fikiran rakyat.

Sebab itu Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan sanggup menghadirkan diri dalam satu majlis Forum dan Dialog Rakyat Bertajuk 'Sabah, Dalam Atau Luar Malaysia' petang Sabtu.

Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Kota Belut bersama Ahli Parlimen PKR Penampang Darrel Leiking menyertai forum yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu itu.

Dalam hujahnya, Rahman berkata, Perkara 20 yang dikemukakan pemimpin Sabah semasa proses perundingan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 masih relevan kerana kandungannya diambil kira dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya 17 daripada 20 perkara yang terkandung dalam dokumen berkenaan, yang disifatkannya sebagai 'wish list' pemimpin Sabah ketika itu, sudah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, tiga perkara lagi termasuk mengenai agama rasmi untuk negeri Sabah, belum diputuskan selepas ada perbezaan pandangan di kalangan pemimpin Sabah sendiri mengenai keperluan untuk mempunyai agama rasmi.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berkata pada tahun 1973, semasa Tun Datu Mustapha Datu Harun menjadi Ketua Menteri Sabah, usul menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Sabah diterima sebulat suara di Dewan Undangan Negeri.

"Pada tahun 1973, Tun Datu Mustapha membawa usul ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negeri. Usul berkenaan dibahaskan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri daripada kalangan Islam, Kristian dan Cina.

"Usul berkenaan diluluskan secara sebulat suara melalui undian," ujar beliau.

Menurut Abdul Rahman sekiranya keputusan yang dibuat kerajaan negeri Sabah pada tahun 1973 berkenaan ingin diubah semula maka usul perlu dikemukakan di Dewan Undangan Negeri dan melalui proses yang sama untuk memperoleh keputusan.

Mengenai isu Borneonisasi, Abdul Rahman menafikan bahawa ketua-ketua jabatan, agensi dan badan berkanun persekutuan di Sabah dibolot oleh pegawai dari Semenanjung kerana berdasarkan statistik majoriti ketua-ketua jabatan berkenaan dipegang oleh rakyat Sabah.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju sekiranya Borneonisasi itu diertikan sebagai semua ketua jabatan dan agensi persekutuan di Sabah mesti disandang oleh rakyat Sabah kerana ia tidak selari dengan konsep semangat Malaysia sebagai negara persekutuan.

Justeru, katanya, sesetengah jabatan dan agensi persekutuan perlu diketuai oleh rakyat Malaysia dari negeri-negeri lain terutama agensi berkaitan keselamatan berdasarkan kosep persekutuan yang memerlukan amalan 'memberi dan menerima'.

Sejak akhir-akhir ini wujud satu gerakan subversif baru yang menghasut rakyat Sabah untuk keluar daripada Malaysia.

September lalu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata tindakan pihak tertentu yang kononnya mahu 'memerdekakan' bumi Sabah daripada Malaysia merupakan satu gerakan bahaya serta mampu menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.

"Kononnya ada 'dendangan' lagu-lagu nak lepaskan (memerdekakan) Sabah daripada Malaysia. Bukan main sedap lagu itu. Kalau dengar cerita mereka, nak bebaskan kita (Sabah), siapa tak mahu bebas. Tetapi ingatlah, banyak negara yang telah lama merdeka sebelum Malaysia, di Syria, di Ukraine, apa nikmat yang mereka dapat? Pertumpahan darah tak kira siapa.

"Ini yang kita nak ingatkan, jangan sia-siakan apa yang ada pada kita (Malaysia) hari ini. Di Scotland, 60 peratus penduduknya sudah mengundi tak mahu keluar dari United Kingdom (UK). Sebabnya mereka tahu ada kesannya nanti (negatif)," katanya.

Baru-baru ini, polis memburu seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung isu membawa keluar Sabah daripada Malaysia yang menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak.

Mohd. Shafie memberitahu, pihak berkenaan perlu menjaga sensitiviti penduduk di kawasan pantai timur Sabah yang berdepan dengan pelbagai ancaman, termasuk ancaman pencerobohan.

"Boleh nak suarakan tetapi perlu lihat kesan kepada kami (penduduk pantai timur Sabah) yang berdepan keselamatan nyawa. Nak jaga (keselamatan) bukan perkara mudah.

"Bayangkan kalau kita (Sabah) keluar, datang lanun bukan di tempat dia (mereka yang gerakkan usaha tersebut), tetapi datang Semporna, Lahad Datu. Kami yang rasa teruknya nanti. Itu lanun, nanti sudah keluar, timbul kucar-kacir yang datang daripada orang dalam dan luar yang mengambil kesempatan untuk menjejaskan masa depan anak bangsa," tambahnya.

Katanya, hasutan serta dakyah berkenaan perlu 'dihapuskan' dan tidak 'disimpan' dalam hati serta pemikiran rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana