Dulu ubah sekarang pindah... Satu lagi perkampungan Melayu bakal lenyap di Pulau Pinang

Kebimbangan ramai mengenai lenyapnya kampung-kampung tradisi di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini menjadi nyata selepas sebuah lagi perkampungan Melayu di negeri ini iaitu Kampung Mutiara, Batu Feringgi, bakal lenyap selepas lebih 200 penduduknya diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
Kampung berkenaan yang terletak berhampiran lokasi pelancongan popular wujud sejak 1950-an dan menempatkan kira-kira 48 buah keluarga.

Isnin, penduduk kampung itu mengadakan demonstrasi bagi menyuarakan nasib mereka yang diarahkan berpindah tanpa pampasan dan rumah ganti.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung berkenaan, Ismadi Abu Bakar memberitahu akhbar Utusan, masalah mereka bermula pada 2007 apabila tuan tanah yang menetap di Selangor menyerahkan notis pengosongan kepada mereka.

Menurutnya, keadaan bertambah sukar pada 2012 apabila mereka diarah berpindah dengan notis terakhir diterima kira-kira tiga bulan lalu.

Tambah beliau, arahan pengosongan itu membabitkan sebanyak 48 buah rumah penduduk yang terletak di lot A dan B manakala penduduk tidak dimaklumkan jenis pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut.

"Sehubungan itu, kami meminta pihak berkuasa campur tangan bagi membantu penduduk di sini yang tersepit. Majoritinya adalah penduduk asal di Batu Feringgi dan ke mana kami hendak berpindah selepas ini," katanya.

Terdahulu, Ismadi bersama kira-kira 100 penduduk kampung itu mengadakan demonstrasi sambil mendesak supaya keadilan diberikan kepada mereka dan merayu kerajaan negeri campur tangan menyelamatkan perkampungan mereka.

Pelbagai sepanduk turut dibawa antaranya bertulis 'Jangan Halau Kami', 'Kami Diusir Tanpa Pampasan' dan ' Tuan Tanah Tidak Berperikemanusian' malah ada yang tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata.

Menurut Ismadi, kawasan itu bukan perkampungan haram kerana diiktiraf kerajaan dan pernah mendapat anugerah Johan Kampung Terbaik di negeri ini.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa tiada usaha daripada kerajaan negeri untuk mewartakan perkampungan itu sebagai kampung warisan.

Sementara itu, penduduk, Che Melor Othman, 48, berkata, dia berikrar untuk mempertahankan haknya sebagai penduduk kampung berkenaan dan menuntut supaya pemilik tanah lebih bertimbang rasa.

"Bagaimana saya, suami serta empat anak mahu meneruskan kehidupan kerana kami dihalau tanpa dibayar walaupun satu sen.

"Kami menuntut supaya diberikan rumah di kawasan ini juga kerana kami anak jati kampung ini," katanya.

Saudara kembarnya, Che Bunga pula berkata, mereka mahu terus menetap di situ kerana terdapat masjid di kawasan berhampiran selain mewarisi tempat tersebut daripada nenek moyang.

"Jangan main-main dengan kami orang Melayu di sini kerana apabila keadaan mendesak seperti ini, kami akan bangkit mempertahankan hak kami," katanya.

Bagi Aminah Said, 51, pula katanya, dia dan keluarga terpaksa menanggung kerugian besar kerana rumahnya bakal musnah selain perlu mengeluarkan perbelanjaan menyewa atau membeli rumah baharu di negeri ini yang sangat mahal.

"Saya hanya suri rumah dengan tiga orang anak. Bagaimana saya mahu mencari duit untuk berpindah?" katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan menggesa kerajaan negeri mewartakan perkampungan Siam di Pulau Tikus sebagai kampung warisan bagi mengelak penempatan itu dimusnahkan untuk pembangunan.

Ini berikutan penduduk diberikan notis pengusiran daripada peguam pemaju.

Pemaju juga menghantar permohonan kepada MPPP pada April untuk meroboh tujuh kedai dan 10 buah rumah bagi memberi laluan kepada pembinaan hotel lima tingkat dan tiga lot kedai atau pejabat berkeluasan 2,681 meter persegi.

Selain itu, Bendahari PAS Pulau Pinang Izuree Ibrahim membangkitkan persoalan kerajaan negeri yang lebih pro pemaju daripada rakyat sehingga banyak kampung-kampung Melayu bakal lenyap.

Natijahnya Izuree yang mendedahkan perkara itu dalam ucapan di Muktamar PAS ke 60 di Johor baru-baru ini dipecat daripada jawatannya dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Sungguhpun berada dalam satu Pakatan, namun Izuree mendakwa kerajaan Pulau Pinang gagal menyedia dasar perumahan yang prorakyat dalam menangani masalah perumahan, sebaliknya lebih propemaju.

Menurutnya lagi harga sekaki tanah di Pulau Pinang kini mencecah antara RM300 hingga RM500 dan sebuah rumah kini mencecah jutaan ringgit.
“Itu tidak termasuk (pelaksanaan cukai) GST, ini akan membebankan rakyat,” kata Izuree.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya PAS turut dilibatkan dalam proses merangka polisi perumahan di Pulau Pinang bagi mengemukan cadangan untuk pembangunan lestari di negeri itu.

Beliau juga mengingatkan supaya Pakatan membantu pertikaian penduduk di mahkamah apabila tuan tanah atau pemaju menuntut semula tanah yang mereka diami dalam tempoh yang lama.

Antara kampung terlibat, katanya, ialah Kampung Perda di Teluk Bahang, Kampung Mutiara di Batu Feringghi, Kampung Cik Ti, Kampung Pokok Asam di Jelutong, Kampung Batu Uban dan Kampung Bijai di Bayan Lepas dan Kampung Tok Suboh di Seberang Perai.

“Satu persatu perkampungan Islam dan bukan Islam menjadi mengalami pengusiran daripada menjadi mangsa di mahkamah,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana