Dua Anggota Polis, Tiga Pembantu Penguat Kuasa DBKL Didakwa Rasuah

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dan tiga pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini Khamis terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,600 antara Oktober 2012 hingga Jun tahun lepas.

Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Lans Koperal Muhammad Nazruldin Chee Chau Vui yang bertugas di Cawangan Peronda, Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras didakwa menerima suapan RM800 untuk melindungi Lanny Ong Boon Hsien, 32, yang didakwa melakukan penyeludupan diesel bersubsidi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran McDonald's Taman Connaught, Jalan Cendikiawan, di sini pada 6.45 petang, 4 Jun 2013.

Sarjan Shaharuddin Abdul Shukor dari Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Keganasan Rumah IPD Sentul didakwa memperoleh RM300 daripada Harcharanjit Singh Ranjit Singh, 50, sebagai dorongan untuk memastikan siasatan dijalankan ke atas laporan kes dibuat peniaga itu pada 1 November 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Penolong Pegawai Penyiasat tempatnya bertugas pada 12.45 tengah hari hingga 7 malam, 1 November 2013.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Shaharuddin juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan menerima RM300 tanpa sebarang balasan daripada Harcharanjit yang diketahui ia ada kaitan dengan tugas rasminya berhubung laporan polis dibuat peniaga itu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Mohd Nasir Danuri, 45, Mohamad Rezuan Chan, 41, dan Ja'afar Ibrahim, 57, masing-masing bertugas di Jabatan Penguatkuasaan DBKL didakwa meminta dan memperoleh rasuah berjumlah antara RM500 hingga RM2,000 daripada seorang pemilik restoran.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat bersama meminta wang tunai RM2,000 dan memperoleh RM500 daripada Chew Hian Tat, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Restoran Suria Teh Tarik kerana tidak memiliki lesen premis perniagaan yang sah.

Mohd Nasir dan Mohamad Rezuan juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memperoleh wang tunai RM1,000 daripada orang sama bagi tujuan yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di restoran tersebut di Jalan MRR2, Batu 4, Lot 4868, Ampang, di sini, antara 1 tengah hari, 22 Oktober 2012, dan 12 tengah hari 24 Oktober 2012, mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Mahkamah membenarkan kelima-lima mereka, masing-masing diikat jamin antara RM6,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan antara 13 November dan 19 November ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana