Saya Akan Terus Berkhidmat Sebagai Ahli Parlimen - Khalid

SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat sebagai anggota Parlimen Bandar Tun Razak walaupun tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata bagaimanapun kedudukannya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang akan diputuskan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, November ini.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen tetapi (jawatan) Adun saya akan tunggu sidang (DUN) nanti baru saya buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perpisahan beliau sebagai Menteri Besar Selangor, Isnin.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya turut berpesan kepada menteri besar Selangor yang baharu supaya menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas.

Ia termasuklah rancangan pemberian saham air kepada rakyat Selangor selepas penstrukturan industri air selesai sepenuhnya.

"Kita hampir menyelesaikan sepenuhnya penyusunan semula industri air Selangor...bererti aset air Selangor melebihi RM14 bilion kembali balik kepada kerajaan negeri dan akan diserahkan kepada rakyat Selangor.

"Ini cabaran kepada pemimpin (menteri besar baharu) akan datang, jika kita tidak lakukan rakyat akan menghukum kita kerana ini sudah kita janjikan dalam manisfesto PRU13 yang lepas," katanya.

Abdul Khalid turut menyeru kakitangan kerajaan negeri supaya meneruskan sumbangan dan khidmat mereka dengan penuh rasa tanggungjawab kepada rakyat tanpa mengambil kira situasi politik di negeri ini.

"Biarlah politik berperang ... ahli politik berlakon, teruskan kerja kita yang betul ... biarkan lakonan mereka akan menjadi lawak jenaka untuk dikenang.

"Bekerjalah ... apabila kita merasakan kita memberi sumbangan, bererti kita melakukan itu dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kerajaan negeri kerana membantunya mentadbir Selangor sepanjang tempoh beliau menjadi menteri besar sejak Mac 2008.

Majlis mengangkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang 10.30 pagi Selasa.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana