Rombak kuota Exco, PKR mahu tunjuk kuasa - Penganalisis

SHAH ALAM: PKR seolah-olah mahu menunjukkan kepada PAS bahawa parti itu mempunyai kuasa politik walaupun mempunyai bilangan kerusi DUN paling sedikit di Selangor.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang menghadkan kuota Exco PAS kepada hanya tiga kerusi brbanding empat sebelum ini.

Malah katanya, tindakan itu juga dilihat sebagai balas dendam kepada PAS kerana enggan menyokong calon tunggal PKR sebelum ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk diangkat menjadi pengganti Khalid.

"Komposisi pelantikan yang lebih menjurus kepada PKR ini adalah rentetan daripada perkembangan yang berlaku sebelum ini terutamanya dalam krisis kepimpinan.

"Kita tahu bahawa sebelum ini parti PAS kepimpinan tertinggi terutamanya agak berbeza pandangan dengan PKR mahupun DAP dalam mencadangkan nama Wan Azizah.

"Ini adalah semacam bentuk 'Payback' (balas dendam) yang menunjukkan bahawa walaupun PAS mempunyai kerusi majoriti namun kuasa berada dalam tangan PKR," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Azmin pagi tadi mengumumkan senarai barisan Exco baru yang menyaksikan beberapa nama digugurkan.

Dua ADUN PAS Dr Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) diganti dengan seorang muka baru iaitu ADUN Taman Tampler, Zaidy Abdul Talib.

Manakala DAP mengekalkan barisan ADUN yang sama iaitu Datuk Teng Chang Kim (SUngai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) dan V. Ganabhatirao (Kota Alam Shah).

Bagaimanapun PKR menyaksikan pertambahan kerusi Exco yang menyaksikan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ADUN Batu Caves, Amiruddin Shaari dipilih mengisi barisan kepimpinan Azmin. Sementara ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dilantik semula.

Perkembangan itu kata Marthada menunjukkan belang sebenar PKR walaupun parti itu belumpun mentadbir Putrajaya.

"Ini menunjukkan bahawa inilah masa dan ketika bagi PKR menunjukkan bahawa oleh kerana mereka memegang kuasa maka mereka mempunyai hak menentukan jumlah keahlian dalam exco itu sendiri dan apabila pelantikan itu menunjukkan bahawa tidak sejajar kerusi yang dimiliki, ini menunjukkan bahawa telah ada usaha untuk PKR cuba menguasai DUN (Dewan Undangan Negeri)," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsuddin Lias berkata komposisi barisan exco ini tidak mencerminkan keadilan untuk PAS namun tidak menafikan Azmin mempunyai kuasa dalam berbuat demikian.

"Memang itu kuasa Menteri Besar tapi ini jelas tidak menggambarkan kedudukan majoriti kerusi-kerusi.

"Ini menunjukkan PKR nak menguatkan kedudukannya di negeri Selangor," ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana