PAS...antara realiti dan fantasi tiada 'salam damai' Hadi pada PKR-DAP

Kecuali pada tahun ada pemilihan jawatan,Muktamar PAS adalah acara tahunan 'biasa-biasa saja'.Sebaliknya pada muktamar kali ke 60 selama tiga hari yang berakhir di Batu Pahat petang Sabtu sekitar 200 wartawan mendaftar untuk buat liputan.
Yang pasti ia bukan berpunca dari muktamar kali ini buat pertama kali diadakan di negeri Johor yang merupakan kubu buat UMNO.

Malah ada media internet yang tarik wartawan dari liputan kempen di Pengkalan Kubor di Kelantan ke Batu Pahat kerana merasa berita mengenai Muktamar PAS kali ini lebih 'boleh jual'.

Sebabnya tidak perlulah cerita panjang-panjang.Isu Menteri Besar Selangor dimana PAS bergasak sakan dengan PKR dan DAP dan juga ketegangan dalaman parti itu kerana isu berkenaan membuatkan semua orang nak tahu segera cerita sekitar muktamar itu.

Tanyalah mana-mana wartawan yang pernah membuat liputan Muktamar PAS selama ini.Semua bersetuju muktamar kali ini memang lain macam.

Seperti yang diduga isu Menteri Besar Selangor dan pertikaian antara pemimpin PAS menguasai perbincangan dan cakap-cakap sekitar muktamar.

Ini bermula dari muktamar sayap Dewan Ulamak,Pemuda,Muslimat di tiga tempat berasingan pada 16 dan 17 September dan seterusnya muktamar utama dari 18 hingga 20 September.

Awal-awal lagi Muktamar Pemuda di Kota Tinggi telah diwarnai dengan tindakan lebih 50 perwakilan yang keluar dewan semasa Timbalan Presiden PAS Mat Sabu berucap merasmikan muktamar itu kerana dipercayai memprotes gelagatnya buat kenyataan bercanggah dengan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Ini belum pernah berlaku dalam sejarah Muktamar PAS.

Orangramai juga dapat menyaksikan sendiri gambar Mat Sabu di papan besar mengalu-alukan kehadiran perwakilan ke muktamar di tepi sebatang jalan di Batu Pahat di sembur cat hitam.

Di muktamar utama semua wakil yang menyertai perbahasan menyentuh isu Menteri Besar Selangor dan gelagat pemimpin PAS yang lawan tauke condong kepada pendirian PKR dan DAP dalam isu itu.

Doa panjang selama lebih 20 minit yang dibacakan oleh wakil Wilayah Persekutuan,Azhari Ariffin menghentam puak ini termasuk Mat Sabu masa perbahasan dilihat sebagai kemuncak melepas rasa geram itu.

Ini ditambah dengan tindakan perwakilan boo terhadap Ahli Jawatankuasa Pusat,Hanipa Maidin yang cuba memberi rasional mengapa PAS tidak harus terima jawatan Menteri Besar Selangor.

Sebelum itu wakil Pemuda PAS yang berucap meminta tolak jawatan Menteri Besar jika Sultan Selangor pilih ADUN PAS juga menerima reaksi ramai menentang.

Dari insiden-insiden ini semua orang sudah dapat membuat tafsiran bagaimana marah dan geramnya sebahagian besar perwakilan PAS terhadap PKR dan DAP serta sikap pimpinan PAS yang tidak menghayati pendirian Presiden PAS dalam isu Menteri Besar.

Paling ketara Dewan Ulamak yang merupakan abang sulong dalam sayap PAS tidak berselindung mahu PAS terima jawatan Menteri Besar jika Sultan pilih ADUN PAS.

Muslimat yakni sayap wanita pula mahu Muktamar PAS membuat pendirian rasmi tentang ini.

Menariknya suasana tenang dan lebih relaks terasa masa Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali,tiga Naib Presiden Salahuddin Ayub,Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa serta Timbalan Presiden Mat Sabu mengulong perbahasan menjelang penutup muktamar.

Mustapha telah cuba tenangkan keadaan dengan menceritakan beberepa kisah belakang tabir isu Menteri Besar termasuk menafikan dakwaan konon Mat Sabu tidak mempertahankan keputusan PAS dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat.

Salahuddin dan Husam pula mengambarkan bagaimana hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat telah banyak manafaat politik kepada parti itu.

Mat Sabu pula nafi beliau hendak jatuhkan Hadi dan menceritakan bagaimana beliau sendiri membantu Presiden PAS itu dan orang kanannya Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Tantawi dalam kempen pilihanraya.

Timbalan Musyridul Am PAS Datuk Dr Haron Din berucap dengan nada tenang meminta memikirkan perlu tidak PAS mengkaji semula kerjasama dalam Pakatan Rakyat.Katanya selagi tidak langgar syarat tidak jadi masalah.

Beliau antara lain menjelaskan Majlis Syura Ulama PAS telah menetapkan enam syarat berlandaskan Islam sebelum membuat keputusan untuk berkerjasama dengan PKR dan DAP.

Haron meminta semua pihak memperkasakan Majlis Syura Ulama dengan mematuhi dan mentaati keputusannya.

Kata-katanya itu dipercayai jelas merujuk kepada tindak tanduk beberapa pemimpin PAS yang membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulama dalam isu Menteri Besar Selangor.

Apa yang sangat ditunggu-tunggu menjelang penutup muktamar itu tentulah ucapan pengulongan Hadi.

Di luar dugaan ramai nadanya jauh berbeza dengan ucapan perasmian muktamar itu pada pagi Khamis dimana Presiden PAS itu nampak lebih tenang membaca teks.

Ibarat gunung berapi yang menunggu masa untuk meletup,Hadi berucap dengan nada garang dan nyaring selama hampir satu jam.

Presiden PAS itu meluah rasa termasuk menghentam perbuatan belot dan mencuri dua Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Selangor menyokong Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk jawatan Menteri Besar.

Semua orang dengar perkataan ' barua' tersuman dicelah kemarahannya.

Beliau berkisah panjang mengenai perlunya ahli PAS kekal setia pada PAS dan tidak membawa agenda parti lain sekalipun berkerajasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Tajam sekali kata-katanya termasuk mengingatkan jangan jadikan PAS sebagai ' hotel' dan ' jambatan pendek'.

Para perwakilan yang tadi tenang jelas memberi reaksi spontan yang terus mendokong kemarahan Presiden mereka.

Senang cakap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang boleh tidak tidor malam mengenangkan masa depan hubungan mereka dengan PAS kalau mereka meneliti setiap ayat dari ucapan Hadi itu.

Jelas sekali tidak ada 'salam damai' dari Presiden PAS itu pada PKR dan DAP.

Hadi bukan sahaja tetap mempertahankan tindak tanduk PAS dalam isu Menteri Besar Selangor malah tegaskan beliau ' tidak mahu bawa ahli PAS ke neraka'.

Ketika analisis ini ditulis,Ahad Sultan Selangor masih belum umum keputusan siapa yang bakal dilantik Menteri Besar Selangor samamada dari PAS atau PKR.

Jika Menteri Besar dari PAS semua orang sudah boleh buat jangkaan bom yang akan meletup.

Juga jika bukan Wan Azizah dan sebaliknya ADUN PKR lain dilantik belum tentu hubungan antara PAS-PKR-DAP akan terus reda begitu sahaja.

Diatas kertas PKR-DAP akan tetap anggap PAS rosakan agenda politik mereka untuk menobatkan Wan Azizah....makala PAS tetap anggap PKR-DAP yang khianatinya menerusi 'Langkah Kajang' dengan menukar Menteri Besar.

Semua orang tertanya-tanya bagaimana Anwar dan Kit Siang hendak bertentang mata dengan Hadi selepas ini.

Mungkin mereka boleh main wayang tepuk tampar dan salam mesra depan khalayak ramai...namun dalam hati ' sendiri mau ingat'.

Dalam konteks politik itu dikira satu senario fantasi.

Bagaimana pula realitinya selepas ini?

Mampukah rajuk merajuk ini bertahan? PAS terus tarik muka pada PKR dan DAP dan begitu juga sebaliknya.

Ada pemerhati politik yang meramalkan PAS akhirnya terpaksa tunduk merafak sembah kepada PKR dan DAP juga.

Atas sebab ini mereka nampak macam Anwar dan Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng tidak hairan ambil pot langsung dengan kedegilan PAS dalam isu Menteri Besar.

Bagi pemerhati ini analisanya mudah yakni PAS yang lebih banyak ' bergantung undi' pada PKR dan DAP semasa pilihanraya.

Ini kerana DAP khususnya yang pegang majoriti pengundi Cina yang undi PAS.

Keresahan PAS ini digambarkan oleh Husam dalam ucapan pengulongannya.Beliau mengingatkan sembilan dari 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor yang dimenangi calon PAS adalah 'sekadar cukup makan'.

Mesejnya jelas bermakna tanpa undi Cina....PAS bungkus.

Ada yang bertanya kemana agaknya dua ADUN PAS yang belot,Saari Sungip (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) nak bawa diri jika mereka dipecat kerana langgar baiah PAS.

Agak selamat untuk meramalkan PKR akan buka pintu yang luas kepada mereka berdua.

Dari situ PAS yang kini 15 ADUN akan tinggal 13.

Bagaimana nanti agaknya masa pilihanraya umum ke 14 tiga tahun lagi?

Juga bagaimana nasib PAS di negeri-negeri lain tanpa dokongan pengundi Cina.

Semua ini sedang bermain dalam mimpi ngeri orang PAS pada ketika mereka cukup marah dengan 'Langkah Kajang' yang dicipta oleh PKR.

Jangan kata Husam,malah Salahuddin,Hanipa Maidin dan ramai lagi pimpinan PAS termasuk Mat Sabu dan tentunya Hadi sedar tentang realiti ini.

Semua orang sedang teropong untuk melihat senario hari-hari mendatang.Fokusnya utama...siapa lagi kalau bukan pada Hadi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana