KRISIS MB SELANGOR: ABDUL KHALID MASIH MILIKI KUASA EKSEKUTIF

Shah Alam – Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih mempunyai kuasa eksekutif sehingga Sultan Selangor berkenan melantik penggantinya, kata Penasihat Undang-Undang Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.


Beliau berkata ini membolehkan Abdul Khalid mempunyai kuasa penuh dalam melaksanakan tugas, fungsi dan tanggungjawabnya berhubung pentadbiran kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, soal ketidaksahihan apa-apa tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara termasuk kapasiti untuk menandatangani perjanjian air bagi pihak Kerajaan Selangor dengan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berbangkit memandangkan tindakan-tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa eksekutif Menteri Besar dan mengikut lunas-lunas perundangan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nik Suhaimi mengulas kenyataan Anggota Parlimen Klang Charles Santiago yang mempertikai kemungkinan perjanjian air yang akan ditandatangani antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan adalah tidak sah.

Katanya, kerajaan Persekutuan sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan justeru, rundingan serta perbincangan berkaitan perjanjian air masih diteruskan mengikut perancangan.

Nik Suhaimi juga berkata keputusan Sultan Selangor yang menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan Menteri Besar yang baharu ditentukan wajar dijunjung demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dan teratur.

“Selain diakui mengenai prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak Sultan Selangor di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 perlu dihormati demi kesejahteraan negeri dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan, sekiranya dipercayai, berkemungkinan boleh menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini menasihati ahli politik agar lebih berhati-hati dan membuat sedikit kajian ilmiah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Beliau berkata ini bagi mengelak kekeliruan serta pandangan serong masyarakat terhadap pihak lain dan kepada ahli politik.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana