Hadi sifatkan PKR khianati tahaluf siyasi dan dua ADUN PAS Selangor sebagai barua

BATU PAHAT: Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas PKR sebagai mengkhianati tahaluf siyasi dan menyifatkan dua ADUN PAS di Selangor sebagai  “barua” kerana menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB negeri itu.

“(Mereka) curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat.  Inikah etika kita bertahaluf?,” kata Hadi merujuk kepada PKR.

“Kita (juga) tidak pandang ringan (dua ADUN PAS) yang sanggup menyeberang,  yang jadi broker, yang jadi barua,” kata presiden PAS itu dalam menggulung muktamar PAS ke 60 di sini sebentar tadi.

Hadi berkata masalah yang wujud dalam Pakatan Rakyat bukan angkara PAS tetapi rakan parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

“Pergolakan yang berlaku akhir-akhir ini bukan kerana kita tetapi kerana rakan tahaluf kita. Dengan sebab kelemahan-kelemahan yang ada pada kita menyebabkan berlakunya hal-hal yang begitu boleh mentarbiahkan kita semua,” kata Hadi.

Beliau mengibarat pergolakan itu sebagai ahli pasukan  yang menendang masuk bola dalam gawang sendiri.

Mengulas lanjut krisis jawatan Menteri Besar Selangor, Hadi berkata PAS tidak mengambil kesempatan daripada pergolakan yang berlaku bersabit jawatan MB.

“Dengan menyedari Langkah Kajang yang tidak menyenangkan kita, saya menegaskan bahawa PAS  tidak merebut jawatan MB. Walaupun tidak ada persefahaman atau perjanjian bertulis, PAS tidak lahap jawatan MB,” kata beliau.

Bagaimanapun Hadi berkata beliau terpaksa campurtangan apabila melihat  PKR menampilkan calon berasaskan “kecenderungan” dan bukan kebolehan.

Beliau kemudian memetik hadis yang mengatakan “neraka jahanam”  menunggu sesiapa yang melantik pemimpin kerana kecendrungan dan bukan kerana kelayakkan atau di atas sifat amanah.

“Saya tidak rela membawa ahli PAS  dalam neraka jahanam, Oleh kerana itu kita perlu campurtangan dalam masalah ini. Jangan pandang ringan, nak beri-beri saja. Ada amanahnya. Mesti lihat amanah dan redha Allah” kata beliau.

Hadi dan Majlis Syura PAS sebelum ini menolak tindakan PKR mengemukakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan MB.

Bagaimanapun presiden PKR itu memperolehi sokongan majoriti dalam DUN Selangor apabila ADUN PAS Morib Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Selangor menyokong beliau.

Dua ADUN itu dilihat menyanggah Hadi dan Majlis Syura  dengan memberikan akuan bersumpah untuk menyokong Wan Azizah sebagai MB bersama 13 ADUN PKR dan 15 ADUN DAP yang lain.

Dalam tindak balasnya, Hadi  menghantar senarai tiga calon termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad untuk pertimbangan Istana.

Keputusan itu dipertikaikan oleh beberapa ahli Jawatankuasa PAS Pusat  termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu.

Mereka mahukan PAS akur bahawa kerusi MB itu adalah milik PKR.

Sultan Selangor berkenan melantik Menteri Besar baru dari kalangan ADUN PKR dan PAS sungguhpun namanya belum diumumkan.

Majlis angkat sumpah untuk MB baru itu ditetapkan Selasa ini.

Dalam ucapannya, Hadi dilihat  menghantar mesej tajam kepada pemimpin parti yang cuba membelakangkan pimpinan beliau dan sebaliknya  membawa agenda PKR dan DAP.

“Mereka hendaklah beristiqamah dengan PAS. Jangan jadikan PAS ini hotel tempat persinggahan sementara atau jambatan pendek untuk merentasi sungai, lepas itu lari masuk hutan,” kata beliau.

"Jangan tubuh jemaah lain dalam jemaah. Kalau kita sembahyang jemaah...kalau kita jadi ma'mum, jangan baca lebih kuat dari imam..walaupun suara kita sangat merdu. Kalau nak jadi imam juga..cari tanah lain..buat masjid," kata Hadi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana