Aziz Bari Dari “Pakar Perlembagaan” Kepada Pakar Temberang?

Dalam satu forum semalam, bekas Profesor, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa kemelut menteri besar Selangor kali ini berbeza dengan krisis jawatan itu di Perlis dan Terengganu pada 2008.

Beliau berpendapat Sultan Perlis dan Terengganu mempunyai hak untuk tidak menghiraukan surat presiden Umno ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan melantik menteri besar dari pilihan istana masing-masing ketika itu.

“Ini kerana ketika itu berlaku krisis selepas Umno yang tidak bermaya selepas pilihan raya umum kehilangan majoriti dua pertiga mereka di Parlimen dan lima negeri di tangan Pakatan Rakyat, memerlukan tindakan dari sultan.

“Saya memberikan ‘benefit of a doubt’ kepada sultan (Terengganu dan Perlis) buat keputusan. Walaupun tak ikut perlembagaan,”

Beliau menegaskan demikian di forum ‘Kemelut MB Selangor: Mampukah PR bertahan?’ anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) di Kuala Lumpur malam tadi dan dipetik oleh Malaysiakini.com

Ukuran Aziz Bari sungguh melucukan kerana jika dibandingkan kedudukan Barisan Nasional di Terengganu dan Perlis selepas pilihan raya 2008 BN jauh lebih kuat daripada kedudukan Wan Azizah hari ini.

Di Terengganu dan Perlis, Barisan Nasional mendapat kerusi 2/3 dan selayaknya membentuk kerajaan secara sah dan memilih siapa Menteri Besar. Ini berbeza dengan Selangor bahawa tiada satu pun parti mempunyai majoriti mudah dalam Dewan Negeri Selangor pada 2008 dan 2013.

Pas, DAP dan PKR tidak bertanding atas satu logo dan tidak diikat secara perundangan sebagai satu entiti di bawah Pakatan Rakyat. Justeru kedudukan politik di Selangor pada 2008 dan pasca PRU 2013 adalah lemah.

Aziz Bari juga secara semberono menutup fakta bahawa telah berlaku krisis pemilihan Menteri Besar selepas pilihan raya 2013 dalam parti PKR apabila Timbalan Presiden, Azmin Ali, secara terbuka mengkritik pemilihan semula Khalid Ibrahim.

Justeru hujahan Aziz Bari menghalalkan tindakan Sultan Terengganu dan Raja Perlis tapi menafikan hak Sultan Selangor bukan sahaja tidak cerdik malah boleh dianggap bodoh jika kita mahu berkata kasar.

Aziz Bari juga seolah-olah seperti katak di bawah tempurung apabila tidak menyedari bahawa punca utama konflik ini ialah apabila usaha PKR untuk menggantikan Khalid Ibrahim tidak mendapat sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri Selangor.

Pas dan Barisan Nasional tidak bersetuju dengan penggantian Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar telah membentuk 27 kerusi Dewan. Khalid Ibrahim turut menyatakan ketidaksetujuan beliau dalam proses penggantian ini. Ini bermakna Dewan Negeri Selangor “stalemate” atau seri. Dalam keadaan ini Tuanku Sultan Selangor perlu mengekalkan Khalid Ibrahim sehingga keputusan yang lain dicapai.

Sungguhpun kemudiannya Tuanku menerima akuan bersumpah daripada 30 orang untuk menyokong Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor, ia bukan jaminan yang kuat kerana Pas masih tidak menyokong Wan Azizah secara total.

Justeru adalah hak baginda Sultan Selangor untuk meminta pilihan nama lain setelah nama Wan Azizah sejak awalnya gagal mendapat sokongan majoriti Dewan.

Menurut Aziz,

di Perlis, sultan bertemu dengan ADUN yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Md Isa Sabu yang bukan calon pilihan Umno dan berpuas hati beliau mendapat sokongan majoriti dewan undangan negeri.

Sementara itu di Terengganu, beliau berkata, sultan mempunyai hujah tersendiri menolak Datuk Seri Idris Jusoh dan melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar.

“Tapi di Selangor Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) ada sokongan majoriti. Ada SD (akuan bersumpah) melampaui keraguan. Mengapa (masih) ditolak? Ini beza Selangor 2014 dengan Perlis dan Terengganu 2008,” katanya.

Beliau turut berpendapat Tan Sri Khalid Ibrahim tidak boleh dilantik semula oleh sultan dalam keadaan sekarang kerana tiada sokongan majoriti dari Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Khalid tak boleh dilantik sebab dia bukan dapat sokongan majoriti. Boleh lantik kalau lepas pilihan raya negeri nanti dia buat parti (politik) baru dan dapat sokongan majoriti.

“Tapi untuk senario sekarang tak boleh,” tegas Aziz lagi.

Pandangan Aziz ini nampak sangat kebudak-budakan. Jika dilihat senario di Terengganu, Perlis dan Selangor, kita akan dapati masalah politik di Selangor lebih serius dan mewajarkan campur tangan sultan.

Jika Aziz Bari boleh mewajarkan campur tangan Sultan Terengganu dan Perlis dalam pemilihan Menteri Besar yang sebenarnya tiada isu sokongan majoriti, mengapa Aziz Bari cuba mengharamkan keputusan Sultan Selangor dalam situasi politik yang jauh lebih huru-hara?

Kita juga tertanya-tanya apakah Aziz Bari masih menggunakan gelaran profesornya? Ini kerana Malaysiakini sering meletakkan geralan Prof Dr Aziz Bari sedangkan beliau tidak lagi layak menggunakan gelaran tersebut.

Gelaran profesor hanyalah untuk tenaga akademik universiti. Jika ada sudah meninggalkan universiti, maka dengan sendirinya gelaran tersebut gugur kecuali mendapat anugerah khas daripada Universiti yang melayakkan beliau menggunakan gelaran Profesor Emeritus.

Lebih melucukan beliau juga dianggap Pakar Perlembagaan oleh pakatan rakyat. Soalan penulis ialah, sudah berapa banyak kes membabitkan pertikaian Perlembagaan Malaysia pernah beliau bicarakan atau cabar di Mahkamah? Apakah sekadar membaca dan mengulas isu perundangan menjadikan beliau Pakar Perlembagaan?

Melihat hujahan Aziz Bari yang jelas bias dan berpihak secara membuta tuli, Aziz Bari bukan sahaja tidak layak dianggap pakar Perlembagaan, malah pakar perundangan negara pun tidak wajar.

Mungkin yang sesuai untuk Aziz Bari ialah pakar temberang atau pakar putar belit?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana