Akhirnya Hadi luah perasaan....

BATU PAHAT - Setelah lama berdiam diri, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya meluahkan segala yang terbuku di hatinya berhubung masalah berpanjangan yang dihadapi parti itu dan pakatan pembangkang.

Menggunakan pentas Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang berakhir semalam, Abdul Hadi membidas pihak yang ‘mencuri’ dua Adun Pas bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pada sesi penggulungan ucapan itu, Abdul Hadi mendakwa terdapat 'broker' dan 'barua' yang mencuri dua Adun Pas itu untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR itu untuk jawatan tersebut.

Beliau dalam nada tegas berkata, tindakan berkenaan seolah-olah mengkhianati tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang dijalin dalam PR.

“Curi wakil rakyat kita, adakah ini etika kita bertahaluf? Kita tidak pandang ringan apabila ada dua wakil rakyat kita yang sanggup menyeberang, jadi broker, jadi barua.

“Bukankah setiap wakil rakyat kita sudah berbaiah semasa jadi calon? Mana lebih besar, baiah atau surat akujanji?,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan.

Beliau merujuk kepada tindakan dua Adun Pas Selangor iaitu Saari Sungib dan Hasnul Baharudin yang bersama-sama Adun PKR dan DAP menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor tanpa mendapat persetujuan pimpinan Pas yang pada masa itu masih belum membuat sebarang keputusan rasmi.

Beliau turut berkata, Pas tidak ingin merebut jawatan Menteri Besar Selangor tetapi tidak senang dengan layanan PKR kepada parti tersebut tetapi pada masa yang sama mengakui, usaha PKR untuk menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui operasi ‘Langkah Kajang’ itu tidak disenanginya.

“Pas tidak merebut, pelahap jawatan menteri besar, walaupun tiada persefahaman siapa menteri besar. Tiada perjanjian bertulis siapa yang (patut) jadi menteri besar, walaupun Pas dapat 15 kerusi, PKR 14 kerusi dan DAP 15 kerusi (di Selangor). Ikut Perlembagaan Selangor, menteri besar mesti Melayu Islam.

“Pas tidak rebut jawatan itu. Tapi ingat di sana ada hukum syarak, jangan ikut hukum akal saja,” katanya.


Tak bersedia bawa ahli Pas ke neraka

Katanya, Pas akan tetap perjuangkan peranan sultan dan orang Melayu dalam pemilihan jawatan menteri besar.

“Sultan jaga agama dan Melayu ada peranan dalam negeri itu, jadi Pas tak boleh diam diri. Sabda Nabi SAW, sesiapa yang mengendalikan urusan lalu melantik seseorang kerana kecenderungan bukan sebab kelayakan apatah lagi bukan kerana amanah, maka ALLAH SWT tidak terima tebusan pengampunan sehingga mereka diseret ke neraka.

“Saya tak bersedia nak bawa ahli Pas ke neraka. Kita perlu campur tangan dan jangan pandang ringan nak beri begitu saja (jawatan Menteri Besar Selangor),” katanya.

Jelasnya, krisis yang berlaku di Selangor juga bukan berpunca daripada Pas sebaliknya salah rakan PR yang lain.

“Pergolakan akhir-akhir ini bukan sebab kita, tapi rakan tahaluf. Ibarat bola sepak, saya sepak bola ke tengah ada orang ambil bola dan masuk gol sendiri,” katanya.

Malah, Abdul Hadi turut mengingatkan PKR dan DAP agar tidak menjadikan Pas sebagai loncatan untuk mencapai matlamat mereka.

“Jangan jadikan Pas sebagai hotel tempat untuk persinggahan. Atau jadikan Pas jambatan untuk melintas sungai kemudian masuk hutan.

“Walaupun berbeza, kita terima tahaluf dengan PKR, DAP kerana ada titik persamaan. Oleh itu, kita sebagai satu parti kena dukung titik persamaan itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar ahli Pas tidak menubuhkan parti lain sebaliknya perlu kekal dalam perjuangan Pas.

“Jangan tubuh jemaah dalam jemaah, parti dalam parti. Kalau dalam solat makmum nak baca kuat daripada imam, pergi buat masjid lain.

“Dan walaupun kita berbeza pendapat, jangan kacau parti rakan. Parti rakan juga jangan kacau parti kita,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana